Bahagian lapan

1.1K 89 2
                                    

Suara menjerit memanggil di luar rumah menyebabkan Wan Mahora yang sedang asyik menyisir rambut di bilik, bingkas bangun untuk menjenguk. Kakinya dihentak-hentakkan tanda marah kerana diganggu. Sebaik sahaja daun pintu dibuka, Wan Mahora disambut dengan sekumpulan orang kampung.

Tanpa mempedulikan wajah mereka yang kelihatan bimbang dan gusar, Wan Mahora lantas mengherdik, “Apa yang kalian mahukan? Tingkah seperti monyet. Berbuat bising di halaman rumah orang.”

Meskipun kelihatan terganggu dengan kata hinaan Wan Mahora, orang kampung tetap bertanya, “Adakah Datuk Pekerma Jaya ada di rumah? Ada khabar penting perlu disampaikan.”

“Datuk tiada di sini. Semalam Datuk berpergian bersama-sama Panglima Hitam, menghadap baginda tuanku di Kota Setar!”

Tanpa diduga, jawapan Wan Mahora itu menyebabkan keadaan menjadi kecoh. Setiap orang kelihatan cemas dan berbual sesama sendiri.

“Sekiranya kalian mahu berbuat bising, pergilah dari sini! Usah mengganggu orang lain!”

Apabila melihat Wan Mahora cuba menutup pintu, salah seorang daripada orang kampung itu bertanya, “Bagaimana Datuk boleh bertemu baginda Sultan di Kota Setar? Sultan dan seluruh keluarganya telah pun berundur dari istana untuk mengelakkan serangan Siam!”

Marah Wan Mahora, "Ah, kalian hanya bercanda!" Meskipun begitu, sekilas kegusaran melintas di wajah.

"Wan Derus yang pulang dari perang telah mengkhabarkan, kita kalah di Kuala Kedah."

Nama Wan Derus menyebabkan Wan Mahora menjuihkan bibir. "Dia ada datang ke sini. Marahkan Datuk, padahal isteri sendiri yang curang."

"Entah-entah sumpahan Mahsuri akan menjadi nyata?" Sekali lagi berlaku kekecohan. "Orang laut itu bukannya boleh dipercayai. Mungkin juga mereka diupah orang."

Tempelak Wan Mahora, "Ah, apa yang ditakutkan dengan kata-kata perempuan pendosa?"

Namun begitu, tiada yang pedulikan Wan Mahora. Masing-masing kelihatan bimbang, “Adakah Datuk Pekerma Jaya dan Panglima Hitam telah melarikan diri terlebih dahulu?”

Soalan itu membuatkan Wan Mahora melangkah turun ke tanah dengan wajah yang memerah. Jerkahnya, “Apakah maksudmu? Datuk melarikan diri? Datuk bukan manusia berhati tikus! Datuk tidak akan tega meninggalkan saya sendirian.”

Bantahan Wan Mahora itu dijawab orang kampung dengan gelengan. “Apakah lagi jika bukan melarikan diri? Barangkali khabar Siam bakal melanggar Langkawi telah dalam pengetahuan Datuk Pekerma Jaya."

"Siam melanggar Langkawi?" Wan Mahora ketawa terbahak-bahak. "Kisah lucu apa yang kalian karangkan? Mana mungkin Siam datang ke sini!"

"Orang laut mungkin gemar berbohong, namun kali ini mereka berkata benar. Malahan, orang-orang laut telah pun meninggalkan Langkawi."

Soal Wan Mahora, "Apa yang orang laut sampaikan kepada kalian?"

Jelas salah seorang daripada orang kampung, "Mereka beritahu, tentera Siam dalam perjalanan menuju ke Langkawi. Mereka akan tiba ke sini tidak lama lagi!”

Sampuk seorang yang lain, "Kita tidak mempunyai pahlawan yang dapat mempertahankan Langkawi. Adalah lebih baik kita juga pergi meninggalkan Langkawi dan berlindung di tempat lain.”

Kemudian, seorang lelaki tua memberi usulan, “Kita kumpulkan semua orang kampung. Kita akan pindahkan orang perempuan, budak-budak dan orang yang uzur terlebih dahulu. Manakala orang lelaki yang masih kuat tenaga, harus menghunus apa sahaja senjata untuk menentang Siam.”

Bantah seseorang, “Tenaga kita tidak akan cukup untuk menentang orang Siam!”

Lelaki tua tadi menggeleng. “Kita akan bertahan sehingga semua orang dapat dipindahkan. Setelah itu, kita akan sama-sama berundur.”

Meskipun perbualan itu berlangsung di hadapan mata kepalanya, Wan Mahora tidak dapat menerima kenyataan. Perlahan-lahan dia melangkah longlai masuk ke dalam rumah. Daun pintu ditutup rapat. Memisahkan dia daripada orang kampung yang cuba memujuknya berpindah.

Bisik Wan Mahora, “Datuk tidak akan meninggalkan saya. Datuk akan kembali mendapatkan saya.”

MahsuriWhere stories live. Discover now