Bahagian akhir

1.6K 136 55
                                    

Ketika itu, mata Wan Derus terbeliak luas. Langit yang cerah bertukar gelap. Bukan kerana awan mendung berarak datang, tetapi disebabkan ribuan anak panah turun seumpama hujan lebat membasahi bumi. Seperti dalam kisah tentera bergajah yang diserang burung Ababil. Anehnya, tiada sebatang anak panah pun yang singgah menghinggap tubuh Wan Derus.

Seorang demi seorang tentera Siam yang kebal itu tumbang. Anak panah yang tajam menusuk tubuh mereka dengan mudah. Sekejap sahaja jumlah yang ramai itu berkurangan.

"Bantuan dari mana?" Wan Derus menoleh ke sekeliling. "Adakah tentera sultan datang menolong Langkawi?" Namun begitu, tiada yang mampu memberi jawapan.

Tentera Siam yang masih berbaki, kelam-kabut berlari menuju ke arah kapal. llmu kebal yang tidak lut dek senjata penduduk Langkawi, langsung melemah di mata panah. Perasaan gerun dan gusar barulah terlukis di wajah mereka. Memadam air muka angkuh ketika menjarah tanah Langkawi.

Tiba-tiba letupan kuat kedengaran. Beberapa buah kapal yang mengangkut tentera Siam terbakar dan mulai karam. Wajah tentera Siam terus memutih, seperti melihat hantu. Langkah mereka kaku, keras terpasak ke bumi. Menyaksikan api menjulang, membakar kapal mereka.

“Serang!” Sepasukan pahlawan berpakaian serba hitam muncul, menyerbu garang ke arah tentera-tentera Siam. Mengambil alih tugasan melindungi Langkawi daripada wira-wira yang telah terkorban.

Entah kenapa, tentera Siam yang terkenal dengan kekebalan mereka, tidak dapat bertahan dengan serangan pasukan berbaju hitam itu. Tubuh yang biasanya tidak boleh ditembusi oleh sebarang senjata itu kelihatan rapuh dan mudah dikalahkan. Setiap libasan senjata oleh pahlawan berbaju hitam mampu melukai tentera Siam. Kali ini darah mereka pula yang membanjiri dataran Mat Saman.

Dalam tempoh yang singkat, tentera Siam berjaya dikalahkan. Kumpulan kecil yang masih berbaki, terpaksa berundur.

Apabila semuanya telah berakhir, Wan Derus yang masih berdiri bertongkatkan pedang di tangan bertanya, “Siapakah kalian semua? Busana kalian bukan seperti orang Kedah. Siapa yang menghantar kalian?”

Tetapi, tiada seorang pun yang menjawab. Pasukan berbaju hitam itu sibuk memeriksa setiap orang yang rebah. Mencari kalau-kalau masih ada yang bernyawa. Namun hanya gelengan yang mengiringi.

“Abang.…” Suara halus itu menyebabkan Wan Derus segera berpaling. Seorang daripada ahli pasukan berbaju hitam itu berdiri di belakang Wan Derus. Lengkap dengan busur dan panah.

Belum sempat Wan Derus berkata apa-apa, pemanah itu membuka kain penutup muka dan mendedahkan wajah sebenar kepada Wan Derus.

Air mata Wan Derus mengalir deras, tidak tertahan-tahan lagi. Senyuman mekar sehingga ke telinga. Wan Derus tertawa kecil dan berkata, “Mahsuri.”

MahsuriWhere stories live. Discover now