Hari ini merupakan kali kedua semenjak dia berada di sini, dia tidak ditugaskan mengangkat air, menyiram tanaman dan mengembala. Pun begitu, keringat tetap membasahi dirinya. Di tanah lapang yang terdapat di hadapan rumah Kabeer, Ariki kini sedang bergerak selangkah demi selangkah ke kanan, berhati-hati, bersama dua tangannya diangkat separas dada, penumbuk dikepal, menghadap lawannya.
Aifer.
"Aifer? Lawan perempuan? Saya bukan seorang yang dayus, pakcik."
Kabeer tertawa kecil. Aifer sekadar tersenyum sambil menundukkan wajah, kemudian menggeleng.
"Engkau tidak akan mampu memperapa-apakannya."
Dan Kabeer ternyata tidak bergurau. Semenjak pagi tadi, dia masih tidak mampu menumbangkan Aifer. Kini waktu sudah mula menjengah ke petang. Mereka hanya berehat selepas tergelincirnya matahari. Kabeer dan Aifer menunaikan ritual harian mereka dan kemudian mereka makan bersama-sama, sebelum Ariki kembali menjadi rakan kepada tanah, berkali-kali, akibat dibanting Aifer.
Dua hari yang lepas, Kabeer telah bersembang panjang dengan Ariki. Sesuatu yang besar dan berat, membuatkan Ariki merasakan bahawa dirinya selama ini lena, dan kini baru sahaja bangkit.
"Satria-Satria Sejati?" Ariki terkejut. Dia tahu berkenaan kumpulan itu daripada buku sejarah. Namun detailnya dia ingat-ingat lupa, memandangkan dia tidak berminat dengan pengajian tersebut. Tetapi yang dia pasti, sejarah Mukan'Aja tidak menggambarkan mereka sebagai 'Satria-Satria Sejati', lebih kepada 'Penyangak Sesat'.
"Ya. Kami telah tewas 25 tahun yang lalu, dan kalangan kami yang masih hidup, melarikan diri. Bertebaran di atas muka bumi ini. Ada juga yang telah kecewa dan berputus asa. Tetapi aku sentiasa yakin, harinya akan datang untuk kebenaran bangkit semula."
"Bagaimana Ariki? Apakah engkau takut dengan seorang perempuan?" Aifer sedikit melaung. Membuatkan Ariki kembali fokus. Jaraknya dengan Ariki sekitar lima depa. Dia seperti paksi, dan Ariki mengelilinginya dengan berhati-hati.
Ariki tersengih. Menyahut cabaran Aifer, dia mara. Aifer tidak bergerak, menanti dengan kekuda yang terpasak utuh. Dua tangannya seperti Ariki, namun telapak tangannya terbuka.
Ariki melepaskan tumbukan apabila dia menghampiri Aifer. Puteri Kabeer itu lincah mengelak, dan pada masa yang sama selangkah mara ke hadapan, dada Ariki disentuh dengan telapak tangan kanan, ketika itu daya tubuhnya yang bergerak ke hadapan telah membuatkan tolakannya menjadi lebih kuat, Ariki terapung sebentar ke udara, sebelum jatuh sekitar sedepa di hadapan.
"Sentiasa perlu bersedia untuk serangan balas pihak lawan. Jika tidak, kita boleh kehilangan nyawa sekelip mata."
Aifer menggerak-gerakkan tangan dan tubuhnya, seperti menari, namun lebih kemas dan tegas, sebelum berhenti dengan dua telapak tangan terbuka di hadapannya.
YOU ARE READING
Hikayat Satria-Satria Sejati: Generasi Baru
AcciónHikayat Satria-Satria Sejati: Generasi Baru - Novel ini kisah seorang pemuda bernama Ariki. Dia ini anak angkat kepada Maharaja Lutello, yang sedang menguasai hampir 2/3 dunia. Satu hari, sebab nak cuba bantu orang yang dizalimi, Ariki sudah terbunu...