Suasana di dalam hutan itu hening. Warna hijau yang menjadi latar memberikan ketenangan. Apabila dibias cahaya matahari, tambah menyerikan pandangan. Bunyi burung sekali sekala bersahutan membuatkan hutan itu benar-benar hidup.
"Bertenang." Suara Jilani memecah keheningan tersebut. Dia sedang berdiri di hadapan Ariki, yang kini sedang membuka kekudanya bersama tangan dalam keadaan siaga. Tangan kanan Ariki bersentuhan dengan tangan Jilani pada pergelangan tangan. Tangan Jilani bergerak, dan tangan Ariki mengekori. Apabila kedua-dua tangan jatuh ke bawah, Jilani pantas mengangkat tangan kiri, dan tangan kiri Ariki segera mengekori. Pergelangan tangan mereka bersentuh seperti tadi. Dan sekali lagi, Jilani menggerakkan tangan itu ke bawah sambil diikuti oleh Ariki. Keadaan itu berulang dan terus berulang.
Beberapa hari telah berlalu semenjak pertemuan mereka.
Jilani telah bersetuju untuk melatih Ariki dan Aifer agar lebih mahir menguasai kelebihan mereka. Walaupun Aifer ternyata berpengalaman, tetapi Aifer sendiri mengakui bahawa dia masih belum benar-benar menguasai seni mengawal aura.
Sedang Jilani melatih Ariki, Aifer duduk bersila tidak jauh dari situ. Bertapa.
"Kawalan aura bukan perkara magik. Ini bukan sihir. Tetapi hakikatnya sains. Seseorang itu perlu benar-benar memahami konsep aura ini untuk betul-betul mampu mengawalnya dengan baik."
"Jadi apakah konsep itu?" Ariki tidak tahu.
"Kuasa yang dipunyai oleh kita ini adalah hasil daripada perubahan DNA tubuh, akibat radioaktif meteor-meteor yang jatuh ke bumi 1000 tahun yang lalu bukan? Kita mewarisinya melalui genetik. Setiap manusia yang mempunyai kelebihan ini, kini mampu untuk mengawal maksimum dua unsur. Setiap tubuh mempunyai penerimaan yang berbeza, namun semuanya hanya mampu mengawal dua daripada lima unsur – api, air, tanah, elektrik dan angin."
Aifer khusyuk mendengar. Walaupun dia sudah tahu itu semua hasil latihan bapanya. Ariki juga tahu yang itu. Kabeer sudah menerangkan kepadanya. Dia masih menanti Jilani menerangkan konsep yang perlu difahaminya.
"Mengapa hanya dua unsur?" Jilani melontar pertanyaan.
"Kerana tubuh manusia tidak mampu mengawal lebih daripada dua unsur." Aifer menjawab.
"Benar. Mengapa dikatakan bahawa manusia tidak mampu mengawal lebih dari dua unsur?"
Aifer menggeleng. Itu dia tidak tahu.
"Kembali kepada asas. Ianya berbalik kepada sel di dalam tubuh badan kita. Sel seorang manusia yang telah berubah akibat radioaktif tersebut, hanya mampu menyerap kemampuan untuk mengawal dua unsur. Apa maknanya di sini?"
Ariki menggeleng. Pening. "Bukankah itu sudah diterangkan tadi? Tubuh manusia tidak mampu mengawal lebih daripada dua unsur?"
YOU ARE READING
Hikayat Satria-Satria Sejati: Generasi Baru
ActionHikayat Satria-Satria Sejati: Generasi Baru - Novel ini kisah seorang pemuda bernama Ariki. Dia ini anak angkat kepada Maharaja Lutello, yang sedang menguasai hampir 2/3 dunia. Satu hari, sebab nak cuba bantu orang yang dizalimi, Ariki sudah terbunu...