Apa khabar rakyat biasa? Aku Belphegor. Tapi kamu juga boleh memanggil aku 'Putera', kerana aku memang seorang putera pun. Ushishishishishi~
Memandangkan aku ada banyak masa lapang hari ini, biar aku ceritakan pada kamu kehidupan ahli-ahli Varia.
Pukul 6 pagi, aku bangun dari tidur dan menuju ke bilik mandi. Selepas mandi dan memakai pakaian, aku turun ke tingkat bawah untuk bersarapan.
"Senpai, aku sungguh berharap engkau mati dan tidak datang sarapan," ujar satu suara yang kubenci.
Aku mencebik. 'Katak' yang berambut hijau muda itu memang tidak tahu bagaimana mahu menjaga mulutnya.
Tanganku mengeluarkan 8 bilah pisau daripada kot. Lalu, aku layangkan kesemua pisau-pisau tersebut ke arah si mulut celupar. Dia mengelaknya.
"Mou! Bel-chan, Flan-chan! Jangan bergaduh di meja makan! Nanti ayah marah!" ujar Lussuria. Hari ini rambut mohawknya berwarna merah jambu. Bajunya pula berwarna pelangi. Memang sesuai dengan perangainya yang pondan itu.
"Ayah? Voi!! Kau tak maksudkan Xanxus, bukan?!!" Si komander berambut panjang memekik. Harus aku ingatkan yang pekikannya hari ini lebih kuat daripada biasa.
"Sudah tentulah Xanxus. Siapa lagi yang macam ayah di istana ni?" Selamba Lussuria menjawab.
Aku menarik kerusi lalu duduk. Di atas meja panjang di hadapanku terhidang bermacam-macam jenis makanan. Namun kami semua tidak boleh makan selagi Bos belum sampai.
Aku menoleh ke sebelah. Mammon sedang duduk di atas kerusi bayi sambil mengira duitnya.
"Duit kau tidak akan bertambah walaupun kau mengiranya setiap hari," ujarku. Gaji Mammon dipotong dua bulan untuk membayar kos kerosakan yang dilakukannya di taman tema kanak-kanak.
Mammon memandangku. Aku tidak dapat melihat matanya dengan jelas di sebalik topinya yang besar. Heh! Macamlah dia juga dapat melihat mata aku di sebalik rambutku. Ushishishishi.
"Bel, kau hutang aku 2500 euro. Aku harap kau bayar cepat. Bunganya 25%. Lewat sehari daripada tarikh pembayaran akan dikenakan denda 100 euro. Dan begitulah untuk hari-hari yang seterusnya."
Aku mencebik. Bayi ini sungguh mata duitan! Mungkin aku harus mengikatnya di atas tiang bendera kami. Dia pasti akan kelihatan seperti maskot skuad pembunuhan Varia. Ushishishishishi~
Suasana di ruang makan riuh dengan suara Lussuria dan Squalo. Topik perdebatan mereka masih sama, tentang Bos. Tentang adakah Bos layak digelar sebagai ayah di istana Varia? Aku sudah naik bosan mendengar perdebatan mereka. Mataku kuhalakan silih berganti pada ayam Turki bakar dan stik filet mignon di atas meja. Aku mula berkira-kira. Sebaik sahaja Bos datang dan menjadi orang pertama yang mengambil stik itu nanti, aku akan pastikan aku menjadi orang kedua yang mengambil stik yang tersusun cantik di pinggan perak itu. Ushishishishi. Rancangan aku sungguh sempurna. Mungkin aku patut menggunakan pisau-pisau berhargaku untuk mengambil kesemua stik itu nanti.
"Senpai, aku tahu rancanganmu. Kau pasti mahu membolot kesemua filet mignon itu, kan?" soal si Katak yang duduk berhadapan denganku.
Ah sial! Bagaimana dia tahu?
"Ushishishishishi~Sudah tentu. Aku kan putera. Selepas Bos, aku yang kedua paling tinggi di istana ni," ujarku sambil tersengih.
"Voii!! Aku komander Varia. Jadi secara teorinya aku yang kedua selepas Bos! Aku akan jadi orang kedua yang ambil filet mignon itu!!" jerit Squalo. Matanya merenungku tajam.
"Ushishishishishi...kau cuma komander. Aku seorang putera. Kau cuma rakyat biasa dalam negara ini." Aku tidak akan mengalah.
"Voi!! Kau cuma seorang putera tanpa negara, Bel!"
"Putera tetap seorang putera walaupun di mana dia berada. Rakyat biasa tetap rakyat biasa walau di mana pun mereka berada. Dan hamba makan gaji seperti kau tetap hamba di mana pun kau berada." Aku mula memberi hujah. Muka Squalo bertukar merah, mungkin kerana menahan marah. Aku lihat ada beberapa helai rambut panjangnya terpacak ke atas.
"Kau patut bunuh diri dan minta dilahirkan semula sebagai raja atau putera barulah kau boleh mendapat status yang sama seperti aku." Aku memprovok Squalo.
"Bel!" Lussuria memanggil, mungkin tidak mahu aku terus memprovok komander yang mukanya kini merah bagaikan tomato.
"Kau memang cari mati, Bel!!" jerit Squalo sambil melibas-libaskan pedangnya ke arahku.
Aku bangun dari kerusi lalu mengeluarkan pisau-pisauku.
"Kau nak kematian yang lambat atau cepat, komander?"
"Kau memang berani nak lawan aku dengan pisau-pisau kecil kau tu!" Si komander menyeringai. "Marilah, putera sialan!"
Belum sempat aku melayangkan pisau-pisauku yang tajam dan cantik ke arah Squalo, sebuah pasu bunga kristal melayang ke kepalanya. Squalo rebah serta-merta. Mata kami semua menghala ke arah datangnya pasu bunga kristal tadi.
Di depan pintu, bos sedang berdiri dengan renungan mata merah yang tajam memandang tepat ke arah kami. Sepeti biasa, Levi berdiri di belakang Bos.
"Pagi-pagi lagi dah menyalak, sampah!" marah Bos.
Bos menapak langkah ke arah meja dan duduk di kerusinya. Lagaknya bagai seorang CEO syarikat. Levi, si anjing setia, mengambil tempat duduk berhampiran Bos.
"Ushishishishishi~ Maaflah Bos," pintaku. Aku kembali duduk di kerusiku. Lussuria mendekati Squalo yang sedang terbaring.
"Tidak!!!" Lelaki pondan itu menjerit sebaik tersedar sesuatu. "Pasu bunga ni diperbuat sepenuhnya daripada kristal Swarovski dan berharga 150,000 euro!" Dia kemudian berpaling dan memandang Bos. "Bos kena berhenti melempar barang-barang yang mahal!"
"Hmph!" Bos langsung tidak mempedulikan Lussuria. Tangannya mengambil pinggan perak yang berisi filet mignon.
"V...Voi...kau lebih risaukan pasu bunga tu berbanding kepala aku?" Squalo perlahan-lahan bangun. Rambut putihnya bertukar merah kerana darah yang mengalir. Ada serpihan-serpihan kristal di atas kepalanya.
"Kepala kau tidak semahal pasu bunga ini, komander," jawab si Katak Flan.
Aku bersiul. Untuk kali ini, aku bersetuju dengannya.
"Sudah-sudah. Jangan bergaduh di meja makan. Squalo, nanti aku balutkan kepala kau tu. Sekarang, mari makan." Lussuria memberi kata putus.
Mungkin kerana kehilangan terlalu banyak darah, si komander tiada tenaga yang cukup untuk membantah Lussuria. Dia menarik kerusinya lalu duduk.
Selepas memindahkan 3/4 daripada filet mignon yang berada di pinggan perak tadi ke pinggannya, Bos meletakkan pinggan itu di atas meja kembali.
Aku, Mammon, Flan, Levi, dan Squalo memandang satu sama lain. Sebentar lagi pertarungan mendapatkan filet mignon yang selebihnya akan bermula.
YOU ARE READING
Diari Harian VARIA
Fanfiction"Cuma catatan harian ahli VARIA. Dan sudah tentu catatan senpai ialah yang paling hambar." - Flan