PROLOG I

4.8K 127 4
                                    

PERKAHWINAN ini sesungguhnya tidak pernah terlintas di fikiran. Dia tidak mengimpikannya tetapi demi keluarga tercinta, inilah pilihannya. Klise bukan kisahnya? Seakan memainkan watak dalam drama di mana heroinnya dipaksa berkahwin dengan pilihan keluarga.

Berbezanya, dia tidak tahu bagaimana kesudahan perkahwinan ini. Berkekalan bahagiakah atau... Sebaliknya? Sukar untuk dia jangka kerana urusan jodoh bukanlah urusannya, sebaliknya Allah lebih mengetahui.

Dadanya mula berdebar kencang bila pintu bilik dikuak terbuka. Dia sudah tiba. Lelaki yang sah menjadi suaminya sejak mereka diikatkan dalam satu hubungan dengan akad nikah.

Percaya atau tidak, inilah teman hidupnya mulai sekarang yang perlu dia patuh dan taat kerana di bawah tapak kaki lelaki itu, adalah syurga buatnya.

"Assalamualaikum," ucap si lelaki menyapa si isteri. Agak kekok, namun masih dalam tahap membiasakan diri.

"Waalaikumusalam." Si isteri menjawab penuh sopan.

"Ermmm... Tak sangka kita dah jadi suami isteri."Azyah... Kelu. Dalam diam, dia mengakui kebenarannya. Lelaki yang bernama Fakrul itu, adalah suaminya mulai sekarang.

"Mungkin masa ini, kita tak boleh biasakan diri antara satu sama lain, tapi saya harap selepas ini kita boleh cuba kenal antara satu sama lain," ujar Fakrul, tenang dalam gugup.

"Apa-apa pun, saya harap awak dapat beri kerjasama yang baik. Ermmm... Awak ada benda nak cakap, ke? Mungkin, ada apa-apa yang patut saya tahu tentang awak."

Azyah menarik nafas sedalamnya. Mulut ini terasa berat mahu mengungkap, tapi mengenangkan bahawa inilah peluang untuk dia meluahkan apa yang dia rasa, dia cuba juga membuka mulut.


"Sebenarnya, saya tak pernah setuju dengan perkahwinan ini."

Fakrul tersentak. Mengapa? Itulah persoalannya. Tetapi, dia boleh meneka apa jawapannya. Maka, dia tidaklah terluka mana di hati kerana sudah bersedia dengan segala kemungkinan.

"Saya takut perkahwinan ini tak akan memberi makna kepada saya. Kalau boleh, biarlah ini menjadi perkahwinan saya yang pertama dan yang terakhir." Azyah mencari anak mata Fakrul.

Fakrul bingung dengan pandangan Azyah yang seolah-olah membawa sesuatu makna.

"Perkahwinan ini, antara kita berdua... Saya tak nak awak khianatinya. Bagaimana saya cuba untuk bersetuju dengan perkahwinan ini dan cuba menerima awak dalam hidup saya, saya harap awak boleh lakukan perkara yang sama. Boleh, ke?"

Perlahan-lahan, senyuman mula terukir di bibir Fakrul. Lantas, dia mengangguk kepalanya. Setuju dengan kata-kata isterinya.

"Abang janji, abang akan setia dengan Azyah sehingga ke hujung nyawa Azyah. Abang tak akan menduakan Azyah. Biarlah kita belajar mencintai antara satu sama lain."

Adakah janji itu akan dikotakan?


Hanya takdir yang akan menentukannya.

TATKALA CINTA TERUJIWhere stories live. Discover now