mati ketika bersalin

38 2 0
                                    

Masa itu, perkampungan kami masih lagi menggunakan api pelita (tiada elektrik).
Pada satu malam, terjadi satu kejadian yang menyedihkan di mana seorang wanita mati ketika hendak melahirkan anak.

Anaknya juga meninggal kerana tidak sempat dilahirkan. Dikatakan juga bahawa wanita ini bukannya kosong (ada mengamal ilmu hitam). Pada waktu itu, suaminya yang masih dalam keadaan bersedih mengatakan bahawa mayat isterinya harus dikebumikan secepat yang mungkin.

Apa sebabnya, saya pun tidak berapa tahu.
Malam itu juga, oleh kerana tidak sempat menyediakan keranda, kami terpaksa membawa mayat wanita tersebut ke kawasan perkuburan yang terletak agak jauh dari kampung kami, dengan hanya menyimpannya ke dalam keranda buatan yang diperbuat daripada papan.

Badannya dibungkus dengan tikar ‘bemban’ (sejenis tikar anyaman), dan kemudiannya diusung beramai-ramai.

Saya hanya membawa beg pakaiannya sahaja, dan yang lain membawa barang-barang harian si mati seperti tilam, bantal, dan sebagainya.
Hujan mulai turun, tidaklah selebat mana, namun suasana begitu gelap, apatah lagi kawasan yang kami lalui adalah kawasan hutan, dan kawasan yang sememangnya tiada lampu jalan untuk menerangi seluruh tempat.

Gelapnya semacam, mungkin kerana hari hujan tersebut. Sedang kami berjalan mengusung mayat si mati, tiba-tiba terdengar suara menjerit ketakutan,Rupa-rupanya, mereka yang mengusung mayat si mati tiba-tiba dapat merasakan mayat di dalam keranda tersebut seolah-olah bergerak.

Si suaminya, yang turut mengusung mayatnya mula memanggil-manggil sambil menepuk keranda kayu tersebut,

“Umang, kamukah itu? Kamu masih hidupkah Umang? Sila jawab, Umang!!!” kata beliau sambil menepuk-nepuk keranda tersebut. (Umang bukan nama sebenar)

Orang lain kemudian mula mengerumuni keranda itu dan cuba untuk membukanya, mana tahu si mati belum lagi mati.

Ataupun mungkin dia hidup semula. Namun bila dibuka pintu keranda kayunya, alangkah terperanjatnya semua apabila disuluh menggunakan lampu suluh, muka si Umang tetap pucat seperti mayat. Tiada tanda-tanda pernafasan, nadi atau apa jua tanda yang menunjukkan Umang hidup kembali. Orang ramai mula panik, berasa pelik. Ada yang berundur ke belakang.

Pintu keranda kayu itu diketuk semula menggunakan batu, dan mula diusung kembali. Kali ini, pelbagai andaian bermain di benak masing-masing. Tiba-tiba, lebih kurang 10 meter sudah melangkah, kedengaran lagi orang yang mengusungnya menjerit meminta untuk berhenti.

Terasa seperti mayat bergerak-gerak dan mengetuk dari dalam. Orang ramai sudah mula berasa takut. Jam sudah menunjukkan hampir tengah malam. Memang adat orang Iban, orang mati harus dikebumikan waktu siang. Entah kenapa si mati ini harus dikebumikan pada waktu malam.

Hujan sudah mula reda. Namun cuaca berasa amat sejuk. Dalam kekalutan tersebut, seorang daripada penduduk kampung, yang terkenal dengan kehandalannya dalam menangani kes-kes ilmu hitam, makhluk halus, mula berjalan ke hadapan dan berkata,

“Engkau semua jangan takut. Tunggu sebentar, nanti aku tengok apa yang aku boleh buat...”

Kemudian dia berjalan ke hadapan, dan duduk di atas satu tempat sambil menghidupkan rokoknya. Setelah hampir setengah batang rokok dihisap, dia pun berkata, “Baiklah, sekarang korang semua boleh angkat mayat tersebut dan terus hantar ke kawasan perkuburan.”

Mula-mula, memang ada yang teragak-agak. Namun oleh kerana tidak mahu menunggu lama, kami pun terpaksa juga mengangkat mayat si mati dan langsung ke tempat yang dituju. Sampai sahaja di sana, kuburnya mula digali, dan dengan usaha orang ramai, kuburnya siap tak sampai pun sejam.

Wanita tersebut terus ditanam, dan disemadikan di sana.
Selepas kejadian itu, kami semua balik. Kami masing-masing tidak tahu apa yang berlaku. Mengapa kedengaran bunyi keranda seperti diketuk dari dalam? Mengapa kedengaran seperti ada pergerakan?

Dan apa yang dibuat oleh orang tua menghisap rokok, dan terus kejadian tersebut tidak berulang, kami semua tidak tahu.

Apa yang pasti, bagi saya, wanita yang mati ketika beranak, kata orang… akan berubah menjadi Pontianak. Atau nama penuhnya“Perempuan mati beranak”.

Sekian, terima kasih...

===================

Cerita Seram★Where stories live. Discover now