Arghhh!!!
Bunyi jeritan panjang kedengaran sebelum tiba-tiba senyap. Nilam dan Julia berlari keluar dari bilik asrama. Mereka yakin sangat itu suara Suria, rakan sebilik mereka.
“Aku panggil kawan-kawan yang lain dulu!” ujar Nilam yang tiba-tiba berhenti berlari.
“Kita tengok dulu apa yang jadi kat Suria. Takkan aku nak ke sana sorang?” Bantah Julia.
“Aku tak sedap hati la. Meremang bulu roma aku ni!”
“ Dah la. Kita kena cepat ni. Sue mungkin dalam bahaya. Dia kan ada asma. Jangan nak fikir yang bukan-bukan!!!"
Kepala Nilam melayari semula aktiviti mereka bertiga setengah jam dari tadi. Mereka sama-sama menyelongkar almari Nadia, seorang lagi rakan sebilik mereka. Itu pun setelah mereka bertiga bersetuju untuk menyiasat kenapa Nadia begitu berahsia sangat tentang barang-barang di dalam almarinya. Langsung tidak boleh dipinjam atau dikongsi!
Setiap bilik di asrama itu menempatkan empat orang pelajar. Mereka bertiga berkongsi bilik dengan Nadia. Nadia pula tidak ada di bilik kerana mengikuti program perkhemahan anjuran kelab outdoor universiti. Nilam menggunakan kunci pendua yang diberikan oleh Nadia kepadanya. Nadia memberikan kunci itu sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya dia kehilangan kunci dimana-mana.
Mereka memilih untuk membongkar almari itu pada awal pagi kerana khuatir perkara itu diketahui rakan -rakan yang lain. Mereka nekad untuk tahu kenapa roomate mereka yang seorang ni terlalu kedekut dan perahsia bila melibatkan barang-barang di dalam almarinya. Tapi kalau bab membelanja kawan-kawan makan, dia tidak pula berkira.
Setelah beberapa ketika menyelongkar. Tiada apa yang pelik dirasakan pelik ditemui. Cuma pakaian dan kelengkapan harian sahaja yang ada. Lebih kurang sahaja isi kandungan almari itu dengan almari mereka. Mereka kemudiannya menyusun semula semua pakaian dan kelengkapan yang ada seperti sediakala. Ketika itu juga Suria mengadu sakit perut dan segera berlari ke tandas.“Sue!!…Sue!!!!!” Jerit mereka berdua di hadapan bilik air. Selain bunyi air menitik,hanya gema suara mereka yang kedengaran.
Nilam mencapai tangan Julia. Tangan kirinya memetik suis lampu. Mereka berdua beriringan tangan masuk ke dalam tandas. Bunyi air menitik semakin dekat dengan telinga mereka. Lampu di tandas itu pula sesekali menjadi malap sebelum terang semula.
Semua itu membuatkan Nilam dan Julia meremang bulu roma.
“Bau kapur barus!” Ulas Nilam tiba-tiba.
Julia hanya mengangguk. Air liurnya ditelan dalam-dalam. Kalau tidak mengenangkan Suria sebagai sahabat baik mereka berdua, sudah lama dia lari mencari warden.
“Sue..Sue.. kau kat mana?” Nilam bersuara. Kalau diikutkan nada suaranya, seluruh kawasan tandas itu mampu didengari.
Kesan leretan darah diatas lantai membuatkan mereka berdua terhenti seketika. Kini bau hanyir darah pula yang menerjah rongga hidung mereka.
“Jom kita blah, Jue. Bukan kerja orang dah kalau sampai macam ni" Semakin kuat Nilam menggenggam tangan Julia.
“Kita ke bilik Warden dulu" Sambut Julia.
Mereka melangkah untuk keluar dari tandas itu.
“ Ampunkan kami Nek..ampunkan cucu Nek” Suara sebak Suria kedengaran dari salah satu kubikel tandas.
“Eh! Suara Sue tu. Kita cari dia dulu!"Satu persatu kubikel tandas diperiksa. Namun kelibat Suria masih tidak kelihatan. Cuma terakhir belum diteroka. Langkah Nilam dan Julia menjadi perlahan kerana rasa ketakutan yang makin mencengkam. Belum pernah pengalaman sebegini mereka berdua alami.
“Sue! Sue !”
Julia bersuara sambil menguak pintu.
Huuu…huuu…
Suara sayu itu datangnya dari tubuh Suria yang berteleku diatas lantai tandas. Lagaknya seakan menyembah sesuatu yang berada diatas mangkuk tandas.
Huuuu…huuu..
“Nenek..ampunkan la cucu ni” Suara Suria kedengaran serak. Kedatangan Nilam dan Suria langsung tidak dihiraukan. Di dahinya mengalir titisan darah yang membasahi keseluruhan muka. Wajah Suria kelihatan menyeramkan dari pandangan sisi. Rambut dia berselerak dan dan dibasahi darah.
“Kenapa ni Sue? Kau Ok ke tak?” Tanya Nilam. Dia tidak berani lagi untuk mendekati Suria.
Hu..huuuuuuuuu
Tiba-tiba sahaja raungan Suria menjadi panjang. Kepalanya pula menghentak lantai tandas berkali-kali seperti orang tidak siuman.
“Ampun Nekk!!”
“Ampun Neekkkk!!!!”
“ Ampunnn Neekkkk!!!!”
Jerit Suria tanpa putus. Nilam dan Julia terus buntu. Bau darah dan kapur barus masih menyesakkan hidung mereka. Untuk menarik Suria keluar dari situ pun agak payah. Aksinya menghentak kepala itu sudah cukup membayangkan ada “Benda” lain di tandas itu.
“Kita cari Cikgu Zaiton” Nilam membuat keputusan. Dia tidak sanggup lagi melihat sahabatnya berterusan begitu. Darah Suria mengalir bersama air paip yang dibukanya sebentar tadi.
“Nak ke mana tu, Cu?”
Suara nenek tua yang kedengaran dalam itu benar-benar mengejutkan mereka. Seorang tua berbaju kurung lusuh dan berkain batik sedang duduk bertinggung diatas mangkuk tandas. Rambutnya yang memutih mengerbang hingga ke lantai. Matanya kelihatan hitam kerana terperosok jauh ke dalam soket mata. Kedut seribu di wajahnya membayangkan usia yang mungkin menjangkau ratusan tahun. Jari jemarinya dengan kuku yang panjang meruncing menunjuk ke arah mereka berdua. Senyumannya kelihatan menakutkan.
Nilam dan Julia cuba untuk menjerit. Namun suara mereka tersekat di kerongkong. Julia cuba untuk mengurut lehernya dengan tangan yang terketar-ketar. Nafas dia tersekat-sekat dengan perasaan untuk jatuh pitam.
“Nenek belum puas bermain” suara perempuan tua itu menerjah lagi ke telinga. Serentak dengan itu dia bangun dari mangkuk tandas dan berjalan dengan memijak tubuh Suria. Kakinya yang hanya kelihatan tulang itu menekan muka Suria ke lantai. Berdegus bunyi nafas Suria menarik nafas menahan beban yang lalu diatas badan.
“Cucu aku dah pesan kan….” Bisik Nenek tua itu ke telinga Nilam. Titis-titis jernih terbit dari tubir mata gadis itu. Dia benar-benar ketakutan. Tubuhnya dirasakan mengeras secara tiba-tiba. Kini, dia dan Julia terpaksa akur sahaja dengan setiap tindakan wanita tua itu.
Julia cuba untuk membaca ayat-ayat suci Al-Quran di dalam hati. Namun setiap kali memulakan ayat, dia akan terlupa sambungan yang seterusnya. Mata nenek tua itu pula akan merenung dirinya tajam, seolah-olah faham yang dia sedang cuba untuk membaca ayat suci Al-Quran. Wajah yang menyeramkan itu menguntum senyum bila Julia terkial-kial untuk membaca kalam Allah itu.
“Degillll..” Bisikan lain pula yang kedengan di telinga Julia.
“Aku akan heret kamu untuk pengadilan..”
Tubuh Nilam dan Julia tiba-tiba menjadi lemah. Masing-masing menunduk sebelum rebah di lantai. Kedua-duanya tersepuk diatas lantai bagai ikan yang dikeluarkan dari air. Terkapai-kapai dalam keadaan ketakutan.
Puk! Puk! Puk!..
Nilam melihat Julia menghempas kepalanya ke lantai. Titisan darah mula kelihatan di dahinya yang sudah luka. Nilam turut merasakan yang kepalanya memberat. Serentak dengan itu dia menurunkan kepala dan menghempas ke lantai. Sakit yang dirasakan bukan kepalang. Cuma aksi itu bukan datang dari kerelaan dirinya.
Aksi menghentak kepala mereka bertiga berterusan. Nilam hampir lemas kerana bermandikan darahnya sendiri. Tangan dan kakinya seolah dipaku ke lantai. Untuk bersuara pula dirasakan terlalu perit. Ada benda yang menyekat dari bersuara tertanam di tenggorok.
“Korang jangan sesekali usik barang-barang dalam almari aku tau…Ingat..” Kata-kata Nadia terngiang-ngiang di telinga Julia. Dia cuba mencari kelibat Nenek Tua itu dengan ekor matanya.Hanya ekor rambut yang memutih sahaja yang kelihatan.
Apa hubungan makhluk itu dengan Nadia? Semua itu bermain di benak mereka.
Mereka bertiga terkapai-kapai diatas lantai dengan darah yang semakin banyak mengalir.Suria kelihatan semakin lemah kerana sudah lama berkeadaan begitu. Cuma dia sahaja yang masih mampu bersuara dengan berkali-kali meminta ampun. Nilam dan Julia pula hanya membayangkan ajal mereka yang semakin hampir. Rasa sakit yang dialami semakin serasi dengan rentak nafas yang semakin mengendur.“ Sudah Nek!!” Satu suara lantang kedengan di muka pintu. Nadia terkumat-kamit membaca sesuatu. Pintu tandas ditepuk tiga kali. Dia berlari masuk ke arah ketiga-tiga orang rakannya. Kelibat Nenek Tua tadi ghaib begitu sahaja. Bau kapur barus pun turus sama menghilang!
Barulah mereka bertiga ada kekuatan untuk menggerakkan tubuh sendiri. Julai bangun perlahan-lahan dan bersandar di dinding. Suria bangun dengan berpaut pada mangkuk tandas. Nadia membantu mengangkat Nilam untuk duduk.
“ Siapa tu Nadia?” Tanya Julia dengan suara tersekat-sekat.
“ Penjaga keturunan aku. Aku dah pesan korang. Jangan usik almari aku. Benda tu memang akan jaga apa-apa sahaja milik aku!” Leter Nadia sambil mengelap kesan darah di muka Nilam.
“ Macammana kau balik?” Tanya Suria pula. Dia sudah pulih sedikit selepas membasuh muka.
“Aku minta seorang budak urusetia bawa aku balik. Sekarang ni dia ke bilik warden meminta bantuan”
“Err..macammana kau tahu kami jadi macam ni?”
“Nenek tu datang minta izin aku nak habiskan nyawa kamu bertiga!”
Nilam beristigfar apabila mendengar kenyataan dari Nadia. Suria hanya mengurut dada. Dia tidak tahu apa yang mungkin berlaku kalau Nadia lewat tiba.
“ Lepas ni aku nak minta duduk luar. Aku tahu budak first year macam kita mesti duduk hostel. Tapi aku nak mintak korang bertiga support permohonan aku. Aku tak nak benda ni berulang lagi!”
“ Kenapa kau tak buang jer?” Nilam yang tadi hanya mendengar mulai bersuara.Nadia tidak menjawab tapi hanya tersenyum sinis!
YOU ARE READING
Cerita Seram★
Horrorcopy dri google ★ kalau Bi di tukar kpd bahasa melayu★hope enjoy and loved★ Start:12/12/2017 End: i d n surinyati pemotong daging; ada yg cuba memotong kaki; jangan baca sesorang; kalau tak ada yg memerhati. so jomm enjoy