Chapter 4:
'The right man comes at the right time' - Quotes of the day.
Suasana sunyi. Basement parking agak lengang. Suram dan agak menakutkan. Zara mengerling jam di tangan. Sudah hampir pukul 11.30 malam. Patutlah kawasan tempat letak kereta bawah tanah ini hampir kosong. Hanya ada dua tiga biji kereta masih tersadai menunggu pemiliknya datang. Hati Zara semakin diterjah rasa takut dan seram. Dia mengerling ke kiri dan kanan. Sepi. Dia tolak sejauh mungkin ketakutan yang mula menjalar di dalam diri dan memanjangkan langkahnya menghala ke arah CX-5 miliknya.
Ketika dia tunduk sedikit mencari kunci kereta di dalam handbag, terasa seperti ada seseorang memerhati. Meremang bulu roma. Namun Zara memberanikan diri untuk menoleh ke belakang. Dia terperanjat besar. Serentak dia menjerit nyaring. Tubuhnya sudah ditangkap oleh sepasang tangan kasar lelaki berbadan tinggi dan sasa. Mulutnya ditekup kuat. Zara meronta-ronta minta dilepaskan. Kudratnya tidak setanding dengan lelaki berkulit gelap yang sedang mengheret tubuh tinggi lampainya itu. Seorang lelaki yang berbadan agak rendah melangkah laju ke arah van hitam yang di letak di satu sudut agak tersorot dan gelap di ruangan parking. Mereka berdua memakai topeng hitam yang hanya menampakkan kedua mata mereka. Zara semakin panik. Dia semakin meronta kuat dengan seluruh tenaga wanitanya. Dia memijak kuat hujung kaki lelaki tegap yang sedang mencengkam kuat tubuhnya itu. Lelaki itu terjerit kecil. Zara ambil peluang untuk menggigit kuat jemari kasar yang menekup mulutnya. Cengkaman tangan jahat di tubuh Zara terlepas secara tiba-tiba. Zara mengambil peluang yang ada untuk berlari memecut sekuat hati. Jelas kedengaran derap larian lelaki jahat yang cuba menculik Zara di belakang. Sekuat tenaga Zara berlari ke arah bangunan yang menempatkan lif sambil menjerit meminta pertolongan.
Dia menoleh ke belakang melihat lelaki durjana masih mengejar lariannya. Zara semakin takut dan panik. Dia memecut sekuat hati. Dia tidak ingin jadi mangsa keadaan. Dia takut andai dirinya ditangkap oleh lelaki yang tidak dikenali. Entah apa akan terjadi terhadap dirinya yang lemah itu.
Pap! Lariannya terhenti. Badannya bertembung dengan sesuatu yang mantap dan keras. Kepalanya terhantuk dengan dada tegap seseorang. Laju pandangan Zara mencari pemilik tubuh sasa di depannya. Mr Stranger!
"Tolong saya. Help me!" Dalam nafas yang tidak teratur, Zara meminta pertolongan dengan Zarul yang turut berada di tempat kejadian. Pandangannya liar memandang ke belakang. Kelihatan dua lelaki sedang mengejar dan menghampiri mereka yang berada agak hampir dengan pintu kecemasan. Zara segera lari bersembunyi di belakang tubuh tegap Zarul. Zarul telan air liur kesat melihat bahaya datang di depan mata tanpa di pinta. Dapat dirasakan jemari halus milik gadis specky menarik kemejanya dari belakang. Mata Zarul naik mencerlung tajam memerhati dua lelaki yang telah mula mengepung mereka berdua. Zarul mengerling sekilas ke arah keretanya yang berada dua meter dari tempat mereka berada. Dia menghitung dan mencatur pertimbangan. Mereka tidak akan sempat melarikan diri ke arah kereta miliknya. Tiada jalan lain. Dia perlu bertarung menyelamatkan gadis specky dari jatuh ke tangan penjahat bertopeng di depannya.
"Kasi perempuan tu! Kau jangan masuk campur!!" Suara kasar lelaki berbadan rendah kuat melantun mengisi ruangan tempat meletak kereta. Zara menggigil ketakutan mendengar suara syaitan bertopengkan manusia yang cuba menangkap dirinya. Nafasnya singkat tidak teratur. Panik. Takut. Kalut.
"Huh! Korang siapa? Kenapa kau nak tangkap awek aku?" Jelas suara Zarul memberi amaran bahawa gadis itu miliknya. Sejak bila? Zarul bersiap sedia. Tubuhnya sudah lama tidak aktif berlawan dengan lelaki bangsat. Ilmu taekwando sudah lama tidak diasah. Dia sudah lama tidak ketemu teman untuk sparring. Dia pemegang tali pinggang hitam. Bukan mudah untuk menundukkan dan mengalahkan ketangkasan Zarul berlawan dengan musuhnya. Pantang anak jantan berundur.
YOU ARE READING
My Dear Mr Stone Cold (READY STOCK)
RomanceGenre: Action, Romance (Highest rank: #9) Zara terperangkap dalam kenangan silam. Zarul bersumpah tidak akan mencintai sesiapa setelah cintanya berkecai ditengah jalan. Tan Sri Hakim perlukan pewaris untuk memacu empayar perniagaan. Dia merancang un...