Jam 11 malam. Sarah baring di atas sofa sambil membaca novel seram yang baru dibelinya di kedai buku siang tadi. Malam-malam baca cerita seram, lepas tu nak pergi tandas pun takut. Memang cari penyakit.
"Mama, papa mana?" Tiba-tiba anak Sarah, Mia namanya yang berumur 7 tahun, berdiri di sebelah.
"Papa keluar. Sekejap lagi papa balik." Sarah menjawab sambil matanya terus membaca novel.
"Mama, Mia tak boleh tidurlah. Boleh tak mama tolong ceritakan?" Mia mengadu. Memang kadang-kadang Sarah suka temankan anak gadisnya sebelum tidur sambil bercerita kisah-kisah dongeng. Setelah itu barulah Mia akan tidur.
"Cepatlah mama, tolong ceritakan." Mia merengek sambil menarik tangan Sarah yang masih terbaring di atas sofa.
"Yalah... yalah...! Hish, mama nak santai-santai atas sofa pun tak senang. Dah, Mia pergi masuk bilik dulu. Kejap lagi mama datang."Sarah berkerut dahi apabila aktiviti membacanya terganggu.
"Janji?" Mia menghulurkan jari kelingking.
"Ye, mama janji. Habis je bab yang mama baca ni, terus mama pergi bilik Mia." Sarah menyangkuk jari kelingking anaknya dengan jari kelingkingnya tanda perjanjian telah dicapai. Mia kemudian terus berlalu menuju ke bilik.
Sarah menyambung semula pembacaan. Entah bagaimana matanya semakin lama semakin berat dan akhirnya dia tertidur di atas sofa.
****************
PAP! Novel yang berada di tangan Sarah terlepas dan jatuh ke lantai buatkan dia tersentak lantas terus terjaga.
"Ya Allah. Terlelap pula." Sarah menenyeh mata sambil melihat jam dinding di ruang tamu. Sudah pukul 12.30!
Aduhai... habislah. Mesti merajuk si Mia. Sarah bingkas bangun dan menuju ke arah bilik anaknya.
Pintu bilik ditolak perlahan. Bilik Mia masih terang menderang. Alahai anak, bagaimana hendak tidur kalau lampu dibiarkan terpasang.
Tap! Suiz lampu ditekan dan serta merta bilik Mia menjadi gelap. Mujur limpahan cahaya lampu dari ruang tamu memberi sedikit cahaya kelam. Sarah mengatur langkah menghampiri katil anaknya.
"Anak mama dah tidur ke?" Sarah bertanya sebaik menghampiri katil. Dalam samar cahaya, kelihatan Mia berselimut seluruh badan. Ah, ini mesti sudah merajuk. Getus hati Sarah. Mana taknya, boleh tahan juga lama dia terlelap tadi.
"Ala bucuk-bucuk anak mama. janganlah merajuk." Sarah cuba memujuk sambil tangannya perlahan-lahan memegang selimut yang menutupi wajah anaknya untuk disingkap. Namun dalam masa yang sama tiba-tiba di belakangnya terdengar suara memanggil.
"Mama..." Jelas kedengaran suara Mia menegur.
Sarah terus menoleh. Ya Allah, berderau darah apabila melihat anaknya sedang berdiri di muka pintu sambil memerhati. Habis, siapa yang baring di katil anaknya? Automatik Sarah terus memaling muka melihat susuk tubuh yang berada di sisinya. Kelihatan seorang wanita tua dengan rambut putih terbeliak memandang.
"Hmmm... Sarah..." Susuk tubuh yang terbaring di atas katil bersuara. Tangan wanita itu menggapai ke atas seolah cuba merangkul tubuh Sarah.
"Allahuakhbar!" Sarah menjerit ketakutan dan apa yang berlaku selepas itu dirasakan terlalu pantas. Sedar-sedar Sarah sudah berdiri di muka pintu.
"Mama...!" Mia yang melihat apa yang berlaku terus mendapatkan Sarah.
"Jangan takut sayang. Mama ada. Hantu itu pun sudah hilang." Sarah memeluk anaknya seerat mungkin. Dia merenung katil anaknya yang sudah kosong. Tiada lagi kelihatan susuk tubuh wanita tua yang cuba menerkamnya tadi. Nasib baik hilang. Kalau buatnya benda itu merangkak datang ke arahnya mesti lintang pukang dia lari.
"Sayang, apa yang bising sangat ni?" Rizal kelihatan menghampiri isteri dan anaknya dengan wajah pelik.
"Eh, bila abang balik?" Sarah bertanya apabila melihat suaminya sudah berkain pelikat.
"Lama dah. Tengok awak sedap tidur atas sofa, malas nak kejut. Tadi abang dalam bilik dengar awak menjerit, kenapa? Ada lipas?" Rizal bertanya lagi seakan tidak puas hati kerana soalannya tadi tidak dijawab.
"Abang, ada hantu dalam bilik Mia! Tadi saya nak tengok anak kita dah tidur ke belum. Rupa-rupanya ada makcik tua yang baring atas katil Mia. Dia nak cekik saya bang. Nasib baik saya dapat lari." Sarah menceritakan kepada suaminya apa yang berlaku.
"Astagfirullah..." Rizal terus masuk ke dalam bilik Mia dan membuka suis lampu. Bilik yang tadi gelap terus terang menderang. Dia terus menuju ke arah katil.
"Hantu tu dah lari bang." Sarah memaklumkan kepada suaminya yang kelihatan sedang terjenguk-jenguk mencari sesuatu.
"Itu bukan hantu tetapi mak mertua awak. Kan saya cakap tadi, saya keluar nak ambil mak dekat stesen bas. Bukan ke setiap kali mak datang dia akan tidur bilik ni dan Mia akan tidur bilik kita. Ya, Allah mak... macam mana boleh baring atas lantai ni?" Rizal memapah maknya yang kelihatan lemah.
"Si Sarah tu haa. Mula-mula kejut mak. Ingatkan dia nak salam. Mak nak peluklah hilangkan rindu. Boleh diterajangnya mak sampai terpelanting jatuh dari katil. Aduh..."
Sarah menelan air liur. "Mak... jom saya belanja KFC."
*Jangan lupa komen, vote dan share. Terima kasih :)
YOU ARE READING
Siapa Suruh Baca
AcakKoleksi cerita khayalan tahyul mahyul pendek yang tak terjangkau dek akal dan tak diduga pengakhirannya. Kadang-kadang ketakutan itu hanyalah ilusi dan mainan perasaan. Kalau berani baca waktu malam. Kalau tak berani jangan baca waktu siang. Janga...