Chapter 7:
'It all comes down to the last person you think of at night. That's where your heart is' – All Great Quotes of the Day.
Papa meninggalkan Zara dengan kucupan kudus diubun-ubunnya. Zara tersenyum gembira. Sedikit kegusaran di minda berjaya di halau pergi dengan kehadiran bapanya. Dia mengiring ke kiri dan memeluk erat bantal golek ke dada. Cuba melelapkan mata. Namun, memorinya kembali menyelak rentetan peristiwa pagi tadi.
Masih jelas diingatan, disaat lenanya terganggu pagi tadi dengan bunyi alarm yang menjerit nyaring, tubuhnya kemas berada di dalam dakapan seseorang. Dia menyangkakan kekasihnya Ammar hadir menemaninya di dalam mimpi. Jelas kedengaran degupan jantung selari dengan naik turun dada sasa milik Ammar. Dalam kantuk yang masih memberat di kelopak mata, tangannya naik meraba dada bidang milik Ammar. Dia mengukir senyuman bahagia. Dia ingin berlama-lama dalam mimpinya. Jarang benar mimpi indah menghiasi tidurnya. Dia mengemaskan pelukan. Pipinya masih rapat melekat di dada bidang Ammar. Terasa ada gerakan dari pemilik dada sasa itu. Jelas terasa lengan sasa yang memeluk pinggang rampingnya. Lain benar dirasakan mimpinya ini. Cukup realistik! Cepat Zara membuka kelopak mata dan mengangkat wajah mencari wajah kekasih hatinya.
Sepasang mata yang terbuka separuh itu turut mencari sinar matanya. Zara terkejut besar. Begitu juga Zarul. Seminit dua mereka kaku dalam renungan. Dunia bagaikan berhenti berputar. Sekali lagi alarm di telefon Zara menjerit nyaring. Hancur berderai waktu indah yang menyelit di antara mereka. Rasa malu bertandang di kamar hati. Cepat saja Zara dan Zarul menjarakkan diri. Zara mengengsot ke hujung sofa. Sementara Zarul bingkas bangun berdiri membelakangkan Zara. Sungguh dia tergoda melihat dreamy face milik Zara. Dia membetulkan Tshirt yang tersarung di badan. Dia berdehem kecil.
Zara juga turut membetulkan blousenya yang berkedut seribu itu. Tudung instant Bokitta yang masih tersemat di kepalanya dirapikan letak duduknya. Entah bagaimana rupanya waktu itu, dia kurang pasti. Dia menarik nafas sedalam mungkin sebelum menghela nafas panjang. Tidak sangka imannya cukup lemah. Dia tewas dengan kerinduan terhadap Ammar sehingga dia berani memeluk tubuh sasa Zarul. Pipinya semakin merah hangat menahan malu.
Zarul memusingkan badan untuk memandang Zara yang kelihatan agak kelam kabut itu. Dia mengeluh kecewa dengan kedangkalan imannya. Dia sepatutnya tidak membiarkan keadaan ini terjadi. Entah di mana silapnya, dia hanya membiarkan saja Zara memeluk tubuhnya semalam. Mungkin kerana kasihan dan simpati terhadap situasi yang di hadapi Zara membuatkan dia berlembut dan mengalah. Kalau tidak, sumpah dia tidak akan pernah membiarkan perempuan memerangkapnya di dalam situasi memalukan ini. Selepas apa yang terjadi di antara dirinya dan Bella, dia sudah memahat prinsip di dada. Tidak mungkin prinsip itu dilanggar sewenang-wenangnya. Perempuan tiada tempat di dalam hidupnya. Huh! Rasa kecewa semakin membuak di dada. Zarul sekali lagi mengeluh kasar.
"Zara, I'm sorry. We're not supposed to...." Pandangan Zara naik beradu pandang dengannya. Terus Zarul hilang kata-kata. Hatinya cukup terpesona menatap sinar mata cantik milik Zara. Dia menelan air liur berkali-kali. Ini bukan kali pertama dia rasa tertarik dengan sepasang mata milik gadis di depannya itu. Zarul memalingkan wajah. Sedikit marah dengan kelemahan diri.
"It's okay. It's my fault. I'm so sorry..." Zara rasa cukup serba salah. Dia yang sebenarnya bersalah di dalam hal ini. Kalau tidak kerana kekhilafannya semalam, Zarul pasti sudah pulang ke rumahnya. Tidak perlu menemaninya sehingga tertidur keletihan seperti tadi. Melihat keadaan tidak keruan Zarul membuatkan dia semakin dikejar rasa bersalah.
"Hmm... Probably, I should go. We... We should forget about this!" Jelas Zarul cuba menutup kesilapan mereka berdua. Sesaat dua mereka berpandangan sebelum Zarul melangkah pergi tanpa menunggu jawapan daripada Zara. Zara terduduk lemah sambil meraup muka beberapa kali. Dia menarik nafas dalam. Cuba menenangkan diri. Tangan kanannya naik menekan dada. Cuba meredakan detakan jantung yang masih bergendang hebat tanpa irama.
Zara memejam mata rapat. Bantal golek semakin erat di pelukan. Kenangan indah pagi tadi berulang tayang berkali-kali. Masih terasa kehangatan tubuh sasa Zarul yang dipeluknya umpama bantal golek. Masih melekat haruman tubuh Zarul yang berjaya menenangkan perasaannya. Sudah lama dia tidak dapat tidur lena seperti pagi tadi. Namun, satu persoalan terbit di benak fikiran. Kenapa dia boleh tertidur lena di dalam dakapan jejaka asing itu? Apa istimewanya dia?
*********************************
Zarul memicit pelipis beberapa kali. Matanya turut ditala ke luar tingkap. Cuba melegakan bebola matanya yang sedikit memerit setelah menatap laptop berjam-jam lamanya. Terasa tegang urat bahu. dia bangun meregangkan badan. Lehernya dipusingkan beberapa kali.
Matanya kembali memandang skrin laptop. Dia tekan butang save dan menutup laptop. Sudah hampir pukul 1 malam. Dia rasa amat mengantuk. Laju dia menapak ke tandas, menggosok gigi dan mengambil wuduk untuk menunaikan kewajipan sebagai seorang muslim. Usai solat isyak, dia melangkah gontai ke katil. Disaat kepalanya menyentuh bantal, dia rasa cukup nikmat. Penat dan letih. Namun, mindanya masih belum bersedia untuk berhenti berputar. Ingatannya singgah kepada peristiwa pagi tadi. Segarit senyuman terukir di bibirnya. Tidak sangka dia tertidur lena memeluk tubuh ramping milik gadis yang diselamatkannya itu. Mereka baru saja berkenalan tapi sudah berkongsi malam hangat bersama. Rasa dangkal sungguh iman di dada. Lelaki mana yang tidak tergoda dengan gadis secantik Zara? Zarul cuba membela diri walau prinsip diri dilanggar sewenang-wenangnya tanpa berfikir dua kali.
Benar mereka tertidur tanpa terlanjur berbuat perkara yang bukan-bukan, tapi kalau dilihat orang luar, cukup untuk menimbulkan rasa syak dan curiga. Nasib baik tiada pencegah maksiat datang buat serbuan. Kalau tidak, sudah pasti dia dapat kahwin percuma. Zarul tersenyum kecil. Kalau dapat kahwin percuma dengan gadis secantik Zara, dia mungkin dapat bertolak ansur dengan prinsip ketat yang dicipta selepas pemergian Bella. Prinsip itu semuanya tercipta demi membenteng hatinya daripada dipermainkan kaum Hawa. Tapi, kalau perempuan itu Zara? Bolehkan Zarul melanggar prinsip dirinya?
Sedar fikirannya mula mengarut entah ke mana, cepat saja Zarul mencantas angan yang mula terbit di minda. Dia menolak jauh ingatannya terhadap Zara. Lebih baik dia tidur. Masih banyak kerja menunggunya esok.
**************************
Hello dear,
short chapter. probably my last before my Umrah trip.
Hope you like it and do press "Vote" for me ya. thanks for your support!
YOU ARE READING
My Dear Mr Stone Cold (READY STOCK)
RomanceGenre: Action, Romance (Highest rank: #9) Zara terperangkap dalam kenangan silam. Zarul bersumpah tidak akan mencintai sesiapa setelah cintanya berkecai ditengah jalan. Tan Sri Hakim perlukan pewaris untuk memacu empayar perniagaan. Dia merancang un...