Jiwoo memeluk lututnya sambil air matanya mengalir dengan deras. Sesekali dia akan melihat kesan luka yang mencalar-balarkan lengan dan kakinya. Walaupun rasa sakit di badannya tidak tertanggung. Namun, rasa sakit di hatinya melebihi segala-segalanya. Kenapa harus dia melalui semua ini? Kenapa hidupnya tidak sebahagia orang lain?
Gadis itu baru sahaja mengesat air matanya dengan telapak tangannya apabila kedengaran bunyi berkerincing yang kuat dari luar bilik stor itu. Tidak lama kemudian, bunyi selak pintu dibuka berkumandang sebelum cahaya dari luar menerobos masuk ke dalam ruangan yang tadinya gelap gelita. Jiwoo lantas mengecilkan matanya yang silau, cuba untuk menilik gerangan manusia itu. Dalam masa yang sama, pemilik kunci tadi telah menekan suis lampu dan dalam masa sesaat, bilik itu terus dilimpahi cahaya terang, sekaligus mendedahkan susuk tubuh seorang budak lelaki yang tinggi lampai.
Remaja itu yang masih lengkap berpakaian sekolah terus mendapatkan Jiwoo. Beg sandangnya terus sahaja dicampakkan ke tepi. Wajahnya bertukar cemas.
"Jiwoo, kau okay ke?"
Matanya yang bundar memandang Jiwoo dengan penuh kerisauan sebelum dia membelek tubuh gadis itu yang penuh dengan lebam dan luka. Hatinya menjadi runtun. "Ya Tuhan! Teruk mereka seksa kau! Kali ini mereka betul-betul dah melampau!" deram lelaki itu. Tangannya terus digenggam keras, menunjukkan kebencian lelaki itu terhadap pemandangan dihadapannya ketika ini.
"Ni tak boleh jadi ni, aku perlu ajar mereka! Mereka betul-betul keterlaluan!"
Lelaki itu baru sahaja bangun dari duduknya apabila Jiwoo menarik lengan baju lelaki itu dengan lemah. Air matanya berjujuran menitis membuatkan lelaki tadi serta merta terpaku.
"Jiwoo..."
"Jangan, Kai! Tidak perlu! Nanti kau akan dimarahi lagi! Aku tak mahu lihat mereka pukul kau! Cukuplah tempoh hari sahaja! Cukuplah aku sahaja yang mengalami.."
"Tapi mereka melampau! Mana boleh aku mendiamkan diri!! Mereka- seksa kau- Aku- tak boleh..." Budak lelaki bernama Kai itu yang tidak dapat menahan perasaannya lagi terus menitiskan air matanya. Dia jatuh terduduk di hadapan Jiwoo sebelum menangis teresak-esak. Rasa serba salah yang amat menguasai diri Kai, seolah-olah ini semua salahnya.
Jiwoo yang faham benar mengapa Kai menangis mengesot mendekati budak lelaki berusia 18 tahun itu sebelum memeluknya dengan lembut. Walaupun tubuhnya masih lagi berbisa kesan disepak bertubi-tubi tadi, dia menguatkan dirinya untuk menepuk-nepuk bahu Kai.
Jiwoo kemudiannya berkata, "Tak apa, Kai... Ini bukan salah kau! Kau tak-"
"Tapi mereka mak dan ayah aku!!" bentak Kai. "Pakcik dan makcik kau! Kita sekeluarga! Tak sepatutnya mereka seksa kau begini! Lagipun keluarga sepatutnya melindungi ahli keluarganya yang lain! Hanya kerana harta..." Kai terus tenggelam dalam tangisannya sendiri. Jiwoo ketika itu hanya mampu mendiamkan dirinya sahaja. Dia sendiri tidak tahu hendak berkata apa. Dia tidak dapat menafikan apa yang dikatakan oleh Kai itu kerana semuanya adalah realiti. Realiti pahit yang perlu ditempuhinya sejak setahun yang lalu.
Ya, namanya Choi Jiwoo. Berusia 17 tahun. Bekerja sebagai orang gaji di rumah agam Kim yang sangat besar ini. Gadis itu masih lagi di bawah umur tetapi dia telah dipaksa berhenti sekolah oleh pakcik dan makciknya sendiri untuk berkhidmat sebagai pembantu rumah sepenuh masa.
Sejujurnya rumah agam Kim bukanlah rumah agam Kim pada awalnya tetapi ianya adalah rumah agam Choi. Ya, ianya pernah jadi rumah Jiwoo atau patut dikatakan masih lagi rumah gadis itu tetapi telah dirampas dengan tidak adil sekali darinya. Untuk memendekkan cerita, setelah kematian ayahnya setahun yang lalu (ibu Jiwoo telah meninggal dunia sewaktu dia kecil lagi), mahkamah telah memutuskan bahawa hak penjagaan gadis itu akan diserahkan kepada pakcik yang merupakan adik kepada ibunya. Dan dari sinilah bermulanya mimpi ngeri yang sangat menakutkan ini.
YOU ARE READING
Enchanted :: JJK
FanfictionDihina. Diherdik. Dipukul. Dicaci. Kesemua ini sudah menjadi makanan ruji bagi Choi Jiwoo apabila dia dijaga oleh keluarga pakciknya sejak setahun yang lalu. Gadis itu yang sudah kehilangan kedua orang tuanya hanya mampu bersabar dan mengharapkan ke...