:: chapter 2 ::

886 65 7
                                    

Pagi itu, Jiwoo menyapu halaman rumahnya seperti biasa. Sesekali dia akan mengesat peluh yang menitis di dahinya dek kerana sinaran matahari yang boleh tahan memancar. Dia segera melepaskan keluhan berat. Sekiranya ayahnya ada lagi, pasti dia tidak akan mengalami perkara seperti ini.

Gadis itu kemudiannya memandang Aera yang sedang bersantai di tepi kolam renang dengan cemburu. Kalaulah aku juga boleh berehat seperti itu... Kakak sulung Kai yang berusia 23 tahun itu sedang menjemur dirinya ketika itu. Bentuk badannya yang ramping jelas kelihatan apabila dia hanya mengenakan pakaian mandi sahaja. Aera kemudiannya membetulkan cermin mata hitamnya yang senget sebelum menghirup jus oren dari gelas di meja berdekatan. Jiwoo yang melihat situasi itu hanya mampu mengeluh lagi. Pasti seronok dapat hidup dengan aman seperti itu.

Gadis genit itu baru sahaja ingin menyambung semula pekerjaannya apabila dia terdengar seseorang atau lebih kepada 'sesuatu' memanggilnya. Suara itu sangat halus dan lembut sehingga Jiwoo menyangka bahawa itu adalah mainan perasaannya. Namun, apabila ianya tetap berterusan, Jiwoo terus mengangkat keningnya kehairanan. Gadis itu segera berpaling ke belakang sebelum memandang sekeliling dengan aneh. Siapa yang panggil...?

"Nak... Makcik yang panggil... makcik dekat sini..."

Seorang wanita tua berusia kira-kira separuh abad muncul secara tiba-tiba di halaman rumah itu. Dia masuk dari mana pun Jiwoo tidak tahu kerana setahu gadis itu semua pintu pagar rumah itu dikunci rapat dan temboknya juga agak tinggi untuk dipanjat. Pakaiannya agak compang camping dan kelihatannya dia seperti seorang pengemis yang tersesat. Jiwoo yang cemas segera meletakkan penyapunya sebelum mendapatkan wanita itu.

"Makcik tak boleh duduk dekat sini. Nanti kalau tuan rumah nampak, dia akan marah. Baik makcik pergi dari sini dengan segera," gesa Jiwoo sambil menarik lengan wanita itu, memandunya untuk bergerak ke belakang rumah. Dalam masa yang sama, Jiwoo memandang ke kanan dan kiri dengan cemas, takut-takut Aera, pakcik atau makciknya terlihat mereka.

"Tapi, dahulu makcik pernah datang sini. Tuan rumah ni sangat baik. Dia suka membantu orang miskin..."

Jiwoo menggigit bibirnya dengan sebak. Matanya mula kemerahan. Ya, mendiang ayahnya memang seorang yang baik. Dia sering membantu orang miskin dahulunya. Sungguhpun begitu, Jiwoo dengan segera membuang lamunan itu dari kepalanya. Takkanlah dia mahu menangis depan makcik yang tidak dikenalinya pula ini kan?

"Itu dahulu makcik. Sekarang tuan rumah dah berubah. Makcik kena pergi dari sini dengan segera. Kalau tak, makcik boleh dimarahi nanti."

Wanita tua itu mula akur. "Baiklah... makcik pergi. Tapi, kalau makcik nak segelas air boleh? Makcik haus sangat-sangat... Tolonglah..." pintanya lemah.

Jiwoo spontan melemparkan senyuman lembutnya. "Boleh. Tunggu sekejap ya. Makcik jangan ke mana-mana," balasnya sebelum segera berlari ke dapur. Beberapa minit kemudian, Jiwoo kembali semula dengan sebotol air sejuk serta beberapa bungkusan roti.

"Apa ni?" soal wanita tua itu kehairanan apabila Jiwoo menolak bungkusan roti itu ke dalam tangannya. "Anak, kasi makcik ke?" soalnya lagi dengan mata bergenang, menunjukkan betapa terharunya wanita itu dengan tindakan Jiwoo.

Gadis itu menganggukkan kepalanya. "Ya. Makcik ambillah. Mungkin tak seberapa tapi..."

"Ni dah lebih dari memadai. Anak sangat baik. Terima kasih," ucap wanita tua itu sambil tunduk hormat beberapa kali, bersyukur atas pemberian Jiwoo.

Jiwoo spontan membalas tundukan hormat itu. Dalam masa yang sama, dia juga turut membantu wanita tua itu untuk tegak semula sekaligus mencerminkan budi pekertinya yang baik. "Tak apa, makcik. Tak ada apa pun. Tapi sekarang saya minta maaf sangat-sangat... Makcik perlu perlu tinggalkan rumah ni... Kalau makcik duduk sini, saya risau tuan rumah akan marah nanti..." pohon gadis itu serba salah. Dalam masa yang sama, matanya masih lagi tidak henti-henti memandang ke kanan dan ke kiri dengan cemas.

Enchanted :: JJKWhere stories live. Discover now