Seumur hidupnya, Aqif hanya pernah berbohong tiga kali.
Pembohongan pertamanya ialah ketika dia berusia 9 tahun. Ibunya keluar bekerja dan meninggalkannya seorang di rumah bersama kucing mereka, Belang. Aqif yang bosan mula bermain bola sepak di ruang tamu. Leka bermain, dia tertendang bola dengan kuat sehingga mengenai pasu bunga di atas meja. Habis pecah pasu bunga ibunya. Takut dimarahi, Aqif membohongi ibunya dengan memberitahu pasu bunga itu dipecahkan oleh Belang.
Malam itu Aqif bermimpi melihat dirinya duduk berlutut di dalam gua, dikelilingi beratus-ratus ekor ular. Seekor ular yang besar dan berwarna emas muncul di hadapannya.
Aqif ketakutan namun dia tidak bisa melarikan diri ke mana-mana.
"Pembohong!" desisan suara ular emas itu bergema di seluruh gua. "Pembohong mesti dihukum!"
"Sa...saya..." Aqif terketar-ketar. "Sa..saya tak sengaja..."
"Manusia memang suka berbohong! Kau akan terima padahnya!"
Ular emas itu membuka mulut luas-luas, menampakkan taringnya yang panjang dan tajam.
"Tidak! Tidak! Maafkan saya!" Aqif menjerit kuat.
Dia terjaga daripada tidur.
Akibat terlalu takut, Aqif tidak pernah berbohong lagi. Hinggalah tiba satu hari di mana Aqif terlupa memberitahu rakan-rakan kuliahnya akan tugasan yang perlu dihantar selepas cuti pertengahan semester.
"Macam mana ni Aqif? Kan saya dah mesej awak untuk sampaikan maklumat tentang tugasan SRS tu?" soal Dr. Badri, marah. Aqif menundukkan muka, tidak mampu bertentang mata dengan pensyarahnya. Memang dia bersalah kerana tidak perasan mesej yang diberikan Dr. Badri sehari sebelum cuti bermula. Tapi tidak mungkin dia mahu memberikan alasan itu. "Apa penjelasan kamu untuk ini, Aqif?"
Aqif menelan liur. Dia sudah mendapat satu idea.
"Sa...saya minta maaf Dr. Nenek saya meninggal sehari sebelum cuti jadi saya sibuk dan tak perasan mesej yang dihantar. Saya uruskan pengebumian nenek saya bersama ibu..."
Mendengar penjelasan Aqif, marah Dr. Badri beransur-ansur hilang. Sepanjang 3 tahun di universiti, Aqif sentiasa menjadi topik perbualan para pensyarah kerana prestasi akademiknya yang cemerlang. Tidak mungkin pelajar seperti Aqif akan berbohong.
Dr. Badri menghela nafas. "Takziah atas pemergian nenek kamu."
"Saya minta maaf Dr."
"Tak apalah. Bukan kamu sengaja. Pasal SRS tu, beritahu rakan-rakan kamu saya panjangkan tempoh untuk seminggu lagi."
Aqif lega.
Tidurnya malam itu juga tidak diganggu dengan kehadiran ular emas yang dilihatnya 12 tahun yang lalu.
8 tahun selepas itu, Aqif melakukan pembohongan ketiga dalam hidupnya.
"Sumpah. Abang tak pernah menduakan Rima. Rima isteri abang. Takkan abang tergamak cari perempuan lain?" Bersungguh-sungguh Aqif cuba meyakinkan isterinya.
"Habis tu? Siapa perempuan tu? Kenapa dia cakap abang nak kahwin dengan dia? Kenapa dia cakap dia tak kisah walau terpaksa kongsi kasih dengan saya?" Rima menjerit.
"Dia yang obses dengan abang. Abang tak pernah janjikan apa-apa pun dengan dia. Percayalah, Rima!" bohong Aqif lalu memeluk erat isterinya yang sedang menangis.
Malam yang sama, hujan turun mencurah-curah membasahi lantai Bumi. Namun Aqif tidak dapat tidur lena. Seluruh tubuhnya panas. Tekaknya pula dahaga. Dia bangkit dan keluar dari bilik. Ketika menuruni tangga, tubuhnya hilang imbangan lalu jatuh bergolek ke tingkat bawah. Dia mengerang kesakitan. Ketika dia mahu bangun, barulah Aqif perasan kakinya sudah tiada. Tangan dan tubuhnya juga perlahan-lahan berubah bentuk. Aqif menjerit namun yang keluar hanyalah suara desisan.
Dia sudah bertukar menjadi ular!
*****
650 tahun yang lalu...
Jagat menyelamatkan seekor ular emas yang cedera. Sebagai membalas budi Jagat, ular itu menolong Jagat menjaga kambing-kambing peliharaannya dengan mematuk binatang buas yang menghampiri. Lama-kelamaan, Jagat dan ular emas itu semakin rapat.
Satu hari, raja negara Jagat jatuh gering. Menurut pawang diraja, mereka perlu mencari ular berwarna emas dan merebusnya. Hanya air rebusan itu yang bisa menyembuhkan penyakit raja. Sesiapa yang berjaya membawa ular emas itu ke istana akan dikahwinkan dengan puteri raja. Jagat mulai tamak dan memikirkan cara untuk membawa rakannya si ular emas itu ke istana. Akhirnya dia mendapat satu akal.
Jagat memberitahu ular emas itu dia dipanggil ke istana kerana dituduh mencuri kambing pengembala lain. Sekiranya Jagat tidak datang berjumpa ular emas esok hari, itu bermakna dia sudah pun dipenjarakan.
Seperti yang dirancang, Jagat tidak datang berjumpa ular emas itu keesokan harinya. Ular emas itu khuatir akan keselamatan sahabatnya. Dia menyusup masuk ke penjara istana untuk mencari Jagat. Namun dia tidak menemukan Jagat di mana-mana. Pengawal-pengawal istana yang sedia maklum akan kedatangan ular emas itu terus meluru lalu menangkap ular emas tersebut. Pada waktu itu barulah ular emas itu sedar yang dia telah diperdaya oleh sahabat baiknya. Ular emas itu mematuk kesemua pengawal istana yang ada di situ lalu melarikan diri dari penjara.
Berang dengan pengkhianatan Jagat, si ular emas merancang untuk membunuh sahabat baiknya. Namun apabila teringat yang Jagat pernah menyelamatkannya satu masa dahulu, ular emas itu tidak sampai hati. Akhirnya, ular emas itu mengenakan sumpah kepada Jagat dan keturunannya.
"Anak cucu kau yang berbohong sebanyak 3 kali dalam hidupnya akan bertukar menjadi ular. Inilah balasan untuk kau, Jagat!"