Terjatuh dan jatuhlah lagi
kita ditolak keras
di negeri sendiri
di kala bersorak lantang
demi nasib anak kecil
yang masih di rahim ibu.
Tertumpah dan tumpahlah lagi
darah perjuangan
di tanah ini
di kala mata asing
tertawa sendiri
dan saling memerhati.
Bertumbuh dan tumbuhlah lagi
kuntum demi kuntum
mengutip sisa-sisa amarah
pesan nenek moyang
untuk dibaja
demi anak bangsa.
Berani dan beranilah lagi
bersuara dalam dendam
melawan ketika karam
menangis siang ke malam
dengan api dalam tangan
penuh kudrat yang terus bertahan.
Bangkit dan bangkitlah lagi
kerana masa
tidak menunggu sesiapa lagi.
Telan dan telanlah lagi
hanya kita yang mengerti
rasa pahit ini.
Bangun dan bangunlah lagi
kerana kita hanya ada kita
untuk negeri ini.

YOU ARE READING
Sejarah Dari Mata Pengalah
PoetryKumpulan puisi dan prosa tulisan M. Firdaus Kamaluddin.