Bab 3 (Part 2)

6.5K 376 54
                                    

AHAD jam 10.45 pagi, aku sudah berdiri di depan Just Bread. Telefon di tangan aku genggam kemas. Itu senjata penting! Tepat jam 11.05 pagi, kalau dia masih tidak muncul, aku akan bambu dia dengan mesej panjang berjela. Aku nak basuh dia cukup-cukup sebelum aku balik menyampaikan keputusanku kepada emak.

Pagi tadi, baru dia hendak membalas mesej aku. Itupun hanya 'OK'. Nasib baik di pagi hari begitu, udara masih nyaman sejuk. Kalau waktu itu tengahari, memang dah lama ada yang kena bidas dengan ekor buaya.

Kaki aku menari sesama sendiri sambil meneropong kawasan sekeliling. Langsung tak ada klu bagaimana rupa Si Nasir. Semalam aku cuba meminta gambar dia dari emak. Tapi makin lama aku renung wajah emak, makin berat pula hati aku nak menyuarakan soalan 'Mana gambar dia?'

Sebabnya, aku ni berlagak. Kononnya nak menjaga pride. Kalau aku minta gambar dia, nanti emak akan mengejek. Kiranya, sebelum sampai gambar tu ke tangan aku, telinga aku pasti sudah penuh dengan ceramah tak berbayar emak tentang 'jangan berlagak' 'jangan jual mahal' 'bersyukur la ada orang nak' dan macam-macam lagi.

Padahnya, aku datang pagi ini membuta tuli. Langsung tak tahu macam mana rupa si teruna. Gemuk atau kurus? Bermisai atau berjambang? Cerah, sawo matang , atau hitam manis? Agak-agaknya, siapa yang lebih tinggi di antara kami berdua?

Perghh ... banyak sungguh tanda soal. Aku dah mula membayangkan wajah seorang lelaki yang ditempek dengan kertas, penuh lukisan tanda soal.

Aku hela nafas panjang dan lepaskan perlahan-lahan. Sama seperti yang diajar cikgu Pendidikan Jasmani di zaman persekolahan dahulu. Itu cara untuk mengatur pernafasan katanya. Berkesan sedikit dalam memberi ketenangan.

Tangan aku rapat melekap ke dada. Cuba memujuk hati. Tenangkan hati Zatul ... bukan rupa yang kau cari, tapi hati dia yang kau pandang. Bak kata emak, rupa tak kan mampu membahagiakan rumahtangga. Yang penting hati. Kalau rupanya sempurna tapi perangai macam kera, baik tak usah.

Kalau dulu, aku pasti akan gelak tergolek gara-gara kasihankan si kera yang tak bersalah dijadikan contoh. Tapi sekarang, bila aku menghadapi suasana begini, baru aku nampak di mana kebenarannya kata-kata emak. Adat lah tu. Benda bila dah terjatuh atas batang hidung sendiri, baru tahu sakitnya setara mana, kan?

Aku tilik sekali lagi jam di tangan. 10:58:40. Jam 10 pagi, minit ke-58 dan saat yang ke-40. Punya lah semangat, aku sampaikan sanggup meminjam jam digital adik lelaki aku, Si Aswad. Tekad hendak melihat sama ada Si Nasir ni jenis punctual atau tak.

"Assalamualaikum."

Tiba-tiba ada satu suara menyapa dari belakang. Tanpa sempat aku menoleh, mata aku terlebih dahulu sudah membulat. Eh, tak mungkin lah ini suara Nasir? Suara yang memberi salam itu bunyinya seperti suara perempuan.

Perlahan-lahan aku berpusing ke belakang sambil menjawab salam yang diberi. Bergendang sakan jantung aku berbunyi. Suspense betul kalau Si Nasir ni sebenarnya mak nyah!

Bertembung saja mataku dengan mata pemberi salam tadi, jantung aku kembali berdetak di paras normal. Lega. Yang memberi salam itu memang wanita tulen. Manis bertudung lengkap dengan baju kurung moden.

"Hai! Ini Kak Zatul ke?" Ceria benar nada soalannya. Teruja!

Dari raut wajahnya, aku rasa umurnya pasti lebih kurang sebaya dengan aku. Mata aku terkebil-kebil seketika. Dia kenal aku?

"Ya, saya Zatul. Err... awak siapa ya?" Teragak-agak aku memperkenalkan diri sebelum bertanya perihal dirinya.

Dia tiba-tiba ketawa. Eh, seronok benar nampak. Tak mahu berkongsi ke apa yang lucu tu?

"Angah! Sini! Betul la ni Kak Zatul." Dia menoleh be belakang. Bercakap dengan seorang lelaki yang sedang berdiri meneliti pameran roti dari luar Just Bread. Aku ikut menoleh untuk melihat gerangan 'Angah' yang disebut gadis tersebut. Memikirkan kemungkinan Si Angah adalah Nasir yang aku tunggu.

Suami Berat Mulut (Sudah Diterbitkan)Where stories live. Discover now