RANDOM MO (POV NASIR)

6.5K 314 27
                                    

"Ngah, bila kau nak kahwin?"

Aku pandang wajah Umi sekali lalu. Rasanya dalam 3 hari ni saja, sudah lebih 5 kali soalan yang sama keluar.

"Umur kau dah nak masuk 30. Kereta dah ada, rumah dah beli. Kau tunggu bidadari turun dari langit ke, Ngah?"

Ippi datang menggesel di kaki. Ditonyoh mukanya ke betis aku. Pelik kan cara kucing mahu bermanja? Tak lama kemudian, datang pula Si Ippo suka menggesek mulutnya, sekaligus bahagian tepi giginya. Yang seekor ni memang lain macam manjanya. Kalau boleh, air liur nya pun mahu ditinggalkan di badan aku. Ada kalanya sampai lembab kaki seluar aku dikerjakan.

"Muhammad Nasir!"

Kepala aku bergerak ke arah suara yang tiba-tiba tinggi nadanya itu. Memandang Umi dengan pandangan tidak senang. Apa perlunya menaikkan suara? Aku bukannya tuli.

"Umi cakap dengan kau ni. Dengar ke tidak?"

"Angah dengar ..." Aku masih ada di sini kan? Di hadapan Umi. Bermakna, pasti lah aku dengar setiap bait bicaranya.

"Cakap dengan kau ni Ngah, menyakitkan hati. Serupa macam Umi bercakap dengan dinding! Abah kau pun diam. Bukannya nak membantu kita ni menasihat anak." Nama Abah tiba-tiba dikait sama. Sedangkan Abah tidak ada pun di sini.

Haih ... tak semena-mena ada rasa kasihan pada Abah muncul dalam hati. Patut lah Abah lebih banyak mendiamkan diri. Mungkin kerana setiap kali Umi bercakap, intipatinya sudah boleh mewakili mereka berdua. Tidak perlu Abah berpenat lelah membuka mulut, segalanya sudah termasuk dalam bicara Umi.

"Kalau kau tak ada teman, biar Umi dengan Abah yang tolong carikan. Banyak anak dara dekat luar sana. Tunggu kau cari diorang, memang tidak lah."

Umi dengan Abah? Bila pula masanya Abah terlibat dalam perbualan ni? Nampak benar yang Umi suka menggunakan nama Abah untuk membuatkan keputusannya tampak muktamad. Tidak boleh dilawan!

"Hmm ..." Setuju saja lah. Umi tidak boleh dilawan. Makin dilawan, makin panjang leterannya.

Aku usap kepala Ippi yang sudah berbaring di hujung kaki. Kasihan kucing aku. Pasti terkena serangan jantung bila sesekali Umi dan Abah datang berkunjung ke sini. Selalunya aku, Ippo dan Ippi bertiga saja menjalani hari. Aman di dalam sunyi. Tapi dari semalam, Umi asyik mengulang isu yang sama saja. Ippo dan Ippi pun stress. Tidur mereka terganggu. Mereka lebih gemar masuk duduk di bawah sofa sejak dari semalam.

"Mak Jang Li cakap ada anak kenalan dia tak kahwin. Umur sesuai dah dengan kau, Ngah. Umi pergi tengok ya budaknya? Boleh Ngah?"

"Hmm..." Sekali lagi, setuju saja. Jangan melawan.

"Umi pinang terus budak tu untuk kau boleh?"

"Tak." Yang ini, aku bangkang. Umi fikir hanya kerana aku tak beri tumpuan, telinga aku juga tak mendengar?

"Ha, saja Umi nak check kau dengar ke tidak. Tu maknanya kau dengar lah kan?"

Malas mahu berterusan diguli-gulikan Umi, aku terus angkat punggung. Sekali dengan Ippi dan Ippo aku sauk masuk ke dalam dukungan.

Lebih baik aku duduk mengulit kucing berdua tu di dalam bilik daripada menghadap Umi yang akalnya cuma ada satu perkataan saja.

Kahwin.

Kahwin.

Kahwin.

Kahwin

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Suami Berat Mulut (Sudah Diterbitkan)Where stories live. Discover now