Hari akad nikah aku tiba, membawa sejuta debaran untukku. Keluarga Nasir datangnya membawa rombongan 5 buah kereta. Awal-awal lagi emak sudah mengarahkan aku bertanya pada Nasir untuk memudahkan kerja-kerja menghidang.
Seperti biasa, aku hanya menghantar pesanan melalui aplikasi whatsapp. Keluarga mereka mengambil dua homestay di taman bersebelahan dengan taman perumahan aku. Dari semalam lagi mereka sudah sampai.
+ Assalamualaikum. Emak saya suruh tanya, family awak datang berapa kepala?
Dan seperti biasa juga, mesej aku hanya berbalas selepas 3 hingga 4 jam. Nasib baik lah aku ni dah expert dengan sikap dia yang satu ni. Jadi, aku hantar mesej tu lebih awal sehari dari hari akad nikah aku.
- 20 badan dan 20 kepala
Diam seketika aku selepas membaca mesej dari dia. 20 badan dan 20 kepala? Apakah? Tak mungkin lah ada yang bercerai badan dan kepala kan?
Bergidik bahu aku kegelian bila membayangkan ada tubuh yang berjalan tanpa kepala datang ke majlis akad aku nanti. Kenapa Si Nasir ni loyar buruk sangat? Dia fikir dia lucu?
+ Lawak sangat lah tu?
- Apa?
Pap! Aku tepuk dahi kuat. Lambat menangkap betul bakal suami aku ni. Aku terus diam tidak membalas. Membiarkan dia tertunggu-tunggu. Kononnya, aku fikir dia tak akan senang duduk kerana aku mendiamkan diri.
Mana tahu, rupa-rupanya dia langsung tak hiraukan aku! Bila aku membisu, dia pun ikut membisu. Tak pun ditanya kenapa aku tidak menjawab, atau kenapa aku tiba-tiba marah.
Memang failed! Failed bab-bab berkasih sayang!
Itu mesej terakhir yang menjadi perbualan kami berdua sebelum hari kami disatukan.
Majlis di rumah aku biasa-biasa sahaja. Hari akad nikah, kecil saja. Keesokan harinya baru lah hari kenduri yang sebenar. Ayah mengambil 4 khemah daripada pakatan kenduri dan jemputannya hanya saudara mara terdekat dan jiran-jiran selorong yang nampak di mata. Nampak di mata itu maksudnya, yang ada mata untuk melihat khemah yang dipasang dan yang ada hidung untuk mengesan bau lauk-pauk yang dihidangkan.
Kad yang dicetak ada dalam 300 keping semuanya. Aku pos 10 keping untuk Nasir. Khas jika dia mahu menjemput rakan-rakan yang duduk di kawasan utara ni.
Sampai hari yang dinanti-nanti, lagak aku sudah berubah menjadi seperti lipas kudung. Lintang pukang ke sana ke mari, tapi hasilnya satu pun tak mendapat. Gementar punya fasal, habis semua kerja yang aku sentuh tidak menjadi.
"Kau ni gelabah kenapa?" Ayu bercekak pinggang melihat aku yang sedang memunggah barang di bawah katil pengantin.
Aku sendiri pun tidak tahu apa yang aku cari. Diam-diam duduk menunggu waktu untuk ke masjid, tangan dengan sendiri menarik kotak-kotak yang semalam sudah aku atur kemas di bawah katil. Ini namanya tak ada kerja, tapi sengaja mencari kerja.
"Takutlah wei!" Jerkah aku semula. Keluarga aku memang pakar bab jerkah-menjerkah ni. Menurun dari sebelah pihak emak. Kami anak-anaknya memang hebat dalam bab copy paste sikap negatif. Sikap positif dari sebelah keluarga ayah, tak pula kami semua cuba nak jadikan contoh.
"Buat relax sudah. Tak rock la macam ni. Malu-malu macam perempuan pula!" Ayu menempelak.
Terus terhenti pergerakan tangan aku. Aku toleh memandang wajah Ayu. Sejenak, ketawa kami berderai. Lucu dengan gaya percakapan Ayu yang ala-ala rock gitu. Langsung tak mencerminkan imej seorang ibu yang sudah beranak satu. Perliannya tentang sikap aku juga mengundang rasa lucu di hati kami berdua.
"Nanti kan, masa dia akad nikah, mesti jantung kau rasa macam nak melompat keluar." Ah, sudah. Ayu dah mulakan teori gila dia.
"Iya ke?" Kalau bab-bab menakutkan orang, boleh serah pada Ayu. Memang dia pakar. Tapi disebabkan aku adalah adiknya yang sejati, aku sudah boleh meneka yang dia sengaja mahu menakutkan aku.
YOU ARE READING
Suami Berat Mulut (Sudah Diterbitkan)
Чиклит-Ni cincin merisik. Sekali dengan nombor telefon laki tu. Hang kenai-kenai tengok. Kalau tak berkenan, hang habaq elok-elok- Itu dialog emak semasa memberitahu yang aku dirisik orang. -Maksud saya....err...awak betul-betul serius ke nak kahwin...