Seperti kebiasaan, stesen KTMB Kepong sesak dengan orang ramai di waktu petang. Suasana harian untuk orang yang bekerja balik ke rumah masing-masing. Kembali pulang ke sarangnya. Sambil memegang tali beg belakang, aku berlari menuruni tanggga demi mengejar kereta api yang baru sahaja berhenti. Menambah kelajuan, akhirnya aku berjaya sampai masuk sebelum pintu ditutup.
Nafasku kencang akibat kepenatan. Mataku mula meliar di dalam kotak putih itu. Melihat sekeliling untuk mencari kerusi kosong, tetapi hampa kerana semuanya sudah diduduki. Namun mataku tertacap pada suatu ruangan yang lebih lenggang berdekatan dengan bahagian lelaki.
Dengan cepat, aku berjalan ke arah itu dan meletakkan beg belakangku disudut atas lantai. Aku mengeluh perlahan, lega kerana sempat sampai tepat pada masanya, walaupun hampir-hampir ketinggalan.
Bila kereta api mulai bergerak ke hadapan, aku mememegang tiang besi yang tersedia. Dan sejenak, terasa sesak selepas menarik nafas yang menusuk oleh kepelbagaian bau peluh dan aroma minyak wangi yang bercampur-aduk.
Kepalaku pening. Badanku lemah. Sedikit perlahan, aku menarik keluar gula-gula Hacks hitam daripada poket seluar jeansku, membuka balutan plastik tersebut dan memasukkannya ke dalam mulut. Mp3 kecil pemberian kakak aku mainkan lagunya.