Chapter 30:
"I am trying to make sense of this war inside my head" ~ Thought of the Day.
Lama Zarul termenung panjang, fikirannya menerawang entah ke mana. Kertas kerja yang berlambak di atas meja langsung tidak berjaya menarik perhatiannya. Jiwanya resah. Hatinya gelisah. Serba salah. Rasa sangat bersalah.
Kenapa dia menghukum Zara kerana luka yang ditoreh oleh Bella? Kenapa dia menyinggung perasaan Zara demi membenteng hatinya yang teruk dilapah oleh kenangan silam? Kenapa?
Zarul mengeluh kasar. Dia tidak sedar sejak bila dia telah bertukar menjadi lelaki kejam seperti itu. Puas sudah ingatannya mengulang tayang pertemuan singkat dengan Zara semalam.
Semakin perasaan bersalah menghentam kuat sekeping hatinya. Masih terbayang wajah keruh Zara. Mungkin bengang dan marah kerana dia memberi alasan dia tidak akan menolak tawaran Tan Sri Hakim kerana projek berbillion ringgit di dalam tangan. Mungkin saja Zara kecewa kerana dia membiarkan Zara berdepan dengan Tan Sri Hakim untuk memutuskan ikatan jodoh yang tidak pernah tersimpul di antara mereka.
Huh! Kali ini Zarul mengutuk kekhilafan diri sendiri. Ini bukan diri Zarul yang sebenar. Dia bukan lelaki yang suka lepas tangan. Dia bukan lelaki yang suka mengambil kesempatan. Dia bukan jenis lelaki yang tidak pandai menjaga hati seseorang.
Tapi kenapa apabila berhadapan dengan Zara, dia tidak pernah terfikir untuk menjaga hati Zara? Sepertinya dia ingin menunjukkan kepada Zara dia tidak akan pernah perlukan Zara di dalam hidupnya!
Sebenarnya dia bimbang. Dia takut. Benteng hatinya yang selama ini terbenteng kemas untuk tidak menerima sebarang wanita hampir goyah hanya dengan lirikan mata Zara. Cukup dengan segaris senyuman di dua ulas bibir Zara, imannya hampir rapuh. Naluri lelakinya cukup tergoda. Dia mencemuh diri sendiri. Namun, sering saja fikirannya membunuh tarikan itu dengan mengingati tindakan Bella. Jenuh dia cuba menyamakan Zara seperti bekas kekasih hatinya dulu. Dia paling takut andai pisang berbuah dua kali. Luka lama yang ditinggalkan Bella masih berbekas di dasar hati.
Zarul sedar Zara dan Bella adalah dua insan berbeza. Peribadi anggun Zara jauh berbeza dengan Bella yang gedik dan mengada-ngada. Kalau difikirkan sedalam-dalamnya, tiada apa yang kurang dengan Zara. Zara adalah calon isteri yang sempurna. Jelas dia tertarik dengan Zara.
Namun, tiada daya Zarul untuk membuka pintu hatinya untuk menerima Zara. Dirasakan terlalu awal. Terlalu awal untuk membina sebuah hubungan dengan desakan Tan Sri Hakim. Terlalu awal untuk meletakkan sekeping hatinya ditangan Zara. Zarul jenis lelaki yang setia. Sekali dia terpaut, susah untuk dia melepaskan gadis itu. Tengok saja dia sekarang, hanya kerana kecewa gagal bercinta dengan Bella, dia sanggup menyendiri tanpa teman istimewa. Hatinya yang hancur dipermainkan Bella masih lagi koma. Koma dan beku. Mampukah Zara menghangatkan sekeping hatinya? Zarul kurang pasti. Dia tidak ingin memberi harapan palsu.
Dia menarik nafas panjang. Lama termenung. Akhirnya bangun berdiri bercekak pinggang. Dia menutup fail yang terbuka di atas meja. Tangan kirinya naik mengurut leher yang tegang. Pelipis dipicit beberapa kali. Dia memejamkan mata. Yang terbayang ditubir mata hanyalah wajah Zara yang merah menahan marah. Hatinya terusik disaat melihat Zara mengetap bibir. Oh tuhan, apa yang tak kena dengan Zarul sekarang?
Kedengaran ketukan bertalu-talu di pintu bilik CEO. Kemudian tersembul wajah Liyana, setiausaha sementara Zarul di balik daun pintu.
"Yes, anything Liyana?" Sedikit kasar suara Zarul bertanya kepada pembantunya. Jelas tergambar keresahan di riak wajah Zarul. Liyana sedikit kecut perut melihat keadaan Zarul sekarang. Tidak ubah seperti singa kelaparan!
YOU ARE READING
My Dear Mr Stone Cold (READY STOCK)
RomanceGenre: Action, Romance (Highest rank: #9) Zara terperangkap dalam kenangan silam. Zarul bersumpah tidak akan mencintai sesiapa setelah cintanya berkecai ditengah jalan. Tan Sri Hakim perlukan pewaris untuk memacu empayar perniagaan. Dia merancang un...