Deringan loceng membuatkan aku membuka mata. Aku lantas mengangkat kepala yang dibaringkan sedari tadi di atas meja. Pada masa yang sama, aku melihat yang lain mula berpusu-pusu keluar dari kelas. Sorotan mataku pun mendarat ke jam tangan. Terkeluh sebentar aku seraya menunduk untuk mengambil bekal di dalam beg.
Saat kelas sedikit lengang, kerusi kualih menghadap tingkap. Tanganku bergerak mengoyakkan bungkusan roti yang dibawa sebagai sarapan untuk hari ini. Aku sekarang berada di meja paling belakang, duduk pula seorang diri.
Roti kudekatkan ke mulut dengan basmalah dan aku mula makan. Rasa strawberi perlahan-lahan memenuhi tunas rasa di lidah. Sambil-sambil itu, pandangan kutala ke arah padang sekolah yang luas menghijau. Sudah lama aku tidak melihat pemandangan ini. Pemandangan yang membuatkan aku bernostalgia dengan rindu yang amat berat.
Dada tiba-tiba terasa sebak dengan sendirinya.
Sedih.
Pedih.
Jerih.
Semuanya berbaur. Memori lama tiba-tiba muncul dan diulang tayang dalam kepala, seakan-akan tidak mahu aku lupa. Mana mungkin aku lupa? Tidak mungkin aku boleh lupa.
Walaupun mereka telah tiada.
Aku menarik nafas sedalam yang mungkin. Sedaya-upaya, aku menghasut minda agar berhenti membuatkan aku terus dilanda perasaan yang tak berpenghujung ini. Kerana aku tidak sepatutnya terkenang. Aku tahu itu lebih dari sesiapapun.
Aku terus makan dan makan dengan jiwa yang kosong. Menyumbat roti masuk ke dalam mulut tanpa menunggu kunyahan sebelumnya selesai. Dan ketika inilah, tekakku tiba-tiba terasa sendat.
Tidak membuang masa, aku berpusing ke belakang dan tangan dihulur untuk mencapai botol air yang berada di atas meja. Aku terus minum untuk melancarkan tekak yang terasa cukup padat itu. Tidak cukup dengan itu, dada ditepuk-tepuk dengan perlahan. Sempat aku menzahirkan kutukan ke atas diri sendiri kerana terlalu mengikut perasaan.
Usai minum, aku tak sengaja terlihat ke depan dan pada waktu itu juga beberapa orang rakan sekelasku yang lain turut memandang ke arahku. Saat mereka sedar aku sedang berbalas pandangan dengan mereka, mereka cepat-cepat memusingkan kepala ke arah lain.
Aku mengerutkan dahi lantas kembali menghadap tingkap. Fikiranku tiba-tiba berlayar mengingati peristiwa tadi. Aku masih ingat lagi akan reaksi mereka ketika aku berjalan melintasi meja mereka. Aku terperasan. Belum sampai satu meter pun aku mendekat, mereka cepat-cepat bergerak menjauhkan diri. Seolah-olah aku ini pembawa penyakit yang berjangkit.
Bukan itu sahaja, mereka mengelak daripada melakukan kontak mata denganku. Adakah itu kerana wajahku kelihatan terlalu bengis dan garang? Menakutkan sangatkah diriku ini kepada mereka? Ataupun mereka sebenarnya gerun rentetan peristiwa pagi tadi? Kejadian di mana aku nyaris lagi mendapat bahana kerana masuk campur akan hal orang?
Ah. Lantaklah. Kenapalah pula aku mahu peduli?
"Woi woi woi, Tijani datang bawak geng woi!" Seseorang tiba-tiba berteriak.
Aku menoleh ke depan semula. Aku dapati ada seorang pelajar lelaki berdiri di sisi pintu dengan riak teruja. Saat dia selesai, yang lain mula berpandangan sesama sendiri. Terpancar kerisauan di wajah mereka.
Ketika itulah, beberapa orang perempuan menapak masuk. Yang lain menundukkan kepala saat mereka datang. Waktu ini juga, kawasan di luar kelas semakin dikerumuni.
"Hello, people."
Perempuan itu muncul di tengah-tengah mereka. Siapa lagi kalau bukan perempuan dari pagi tadi? Sebelah tangannya memeluk tubuh, manakala yang sebelah lagi diangkat sebelum dia memeriksa kuku-kuku di tangannya. Bicaranya dilepaskan.
"You all nak tau? Hari ni ada yang berani langgar peraturan Raja tau. Cuba teka siapa." Satu kelas senyap menunggu ayatnya yang seterusnya.
Saat inilah perempuan itu mula bergerak mengatur langkah dan laluan demi laluan pun dibuat untuknya. Akhirnya, dia berhenti tepat di tempat duduk asalku. Menghampiri gadis berkaca mata bulat yang sedang statik di hadapan bekalnya yang tidak terusik itu.
"Inilah gerangannya. Janna." Tanpa amaran, tangannya bergerak mencengkam kuat kedua-dua belah pipi gadis berkaca mata bulat yang dipanggil Janna itu.
"Tak serik-serik lagi kau ni eh. Dari dulu lagi."
Selesai sahaja dia berbicara, cengkaman pada pipi gadis itu dilepaskan, sebelum...
PANG!
Yang lain sudah menutup mulut kerana terkejut. Janna sudah jatuh terjelepok di atas lantai sambil memegang pipi kanannya. Wajahnya terteleng ke tepi.
"Bangun." Arah perempuan itu dingin. Janna bangkit perlahan-lahan dengan tangan yang terketar-ketar. Namun, lengannya disepak pula oleh seorang konco perempuan itu. Meletus tawa mereka apabila melihat dia jatuh tersungkur menyembah lantai.
Di mana pengawas? Apa yang ketua kelas sedang lakukan?
"YOU BANGUN SEKARANG!!!!" Keras perempuan itu mengherdik. Matanya terbeliak tajam. Yang lain berundur mendengar amukannya. Terpampang ketakutan di wajah mereka.
Pada saat inilah aku mula dihurung rasa ingin tahu. Siapa sebenarnya perempuan ini? Mengapa dia terlalu ditakuti?
Bahunya tiba-tiba dicuit dari belakang. Dia lantas memalingkan wajah ke sisi. Seorang lelaki merapat seraya membisikkan sesuatu di telinganya. Wajah ketatnya serta-merta menjadi longgar.
Dengan senyuman lebar, dia mendekati meja Janna. Tangannya bergerak mencapai bekal makanan yang terletak kemas di atas meja, sebelum,...
SPLASH!
"And now you don't have the excuse to not get up." Seusai itu, Janna terus bangun lalu berlari keluar bersama tudungnya yang sudah lencun dengan kicap dan nasi.
"Nice meal." Kata perempuan itu selepas kelibat Janna menghilang. Langsung tiada belas. Komennya membuatkan kawan-kawannya ketawa berdekah.
Hal ini tidak habis di situ. Dan inilah bahagian yang paling tak kuduga. Perempuan itu memalingkan wajahnya ke arahku. Saat kami bertentang mata, ibu jarinya diangkat lalu diseret dari bawah dagu sehinggalah ke hujung leher. Lidahnya dijelir keluar sebelum bibirnya bergerak-gerak.
'You.
Are.
Next.'
.
.
.
.
.
YOU ARE READING
Dia Raja Buli
Teen Fiction3 | Ruthless Saviour "Sekolah ni walaupun bukan bapak aku yang punya, aku yang paling berkuasa. This is my territory. Sekali kau pijak lantai sekolah ni, kau, dah jadi milik aku." --- Tengku Adam Naufael. Baru sehari aku belajar di SMK Empirik, d...