Bab 14 (Part 1)

8K 422 24
                                    

Pagi esoknya, sehari sebelum kami sama-sama mula bekerja, semuanya berlalu dengan aman dan damai.

Aman kerana tiada pertandingan tarik mulut antara aku dan Abang Nasir.

Dan damai kerana dia buat kerja dia, aku buat kerja aku.

Lebih spesifiknya, aku seorang saja yang buat kerja. Abang Nasir pagi-pagi tadi selepas Subuh terus keluar ke pasar. Baliknya, langsung tidak menyentuh sebarang kerja. Memang dasar lelaki. Pun begitu, pagi tadi dia yang lebih awak bangun dari aku

"Abang pergi pasar." Diusap dua tiga kali kepala aku yang ketika itu tengah asyik tidur. Lepas Subuh, aku terus terjun ke atas katil single Abang Nasir. Tak sempat pula aku tanyakan kenapa ada katil single sahaja. Mungkin dia masih tidak mampu menyediakan satu benda itu lagi. Aku tahu set bilik tidur mahal. Jangankan set, beli asing-asing pun mahal. Zaman sekarang, duit hilang seperti dibakar. Sekelip mata sahaja kabur dari penglihatan.

"Kunci pintu," gumamku berpesan dalam kantuk. Nanti kalau ada orang masuk, siapa pun tak sedar. Kena pula aku jenis hantu tidur.

Entah berapa lama kemudian, sekali lagi kepala aku diusap. Aku mendengus. Siap tepis lagi tangan tu menjauh.

"Jom breakfast." Suara Abang Nasir kembali muncul.

Baru nak terbuntang mata aku. Selamba saja aku tepis tangan dia tadi. Lambat-lambat aku bergerak bangun. Menggeliat ke kiri dan ke kanan, baru rasa segar sedikit.

Mata Abang Nasir khusyuk memerhati setiap pergerakan aku. Aku menjeling tajam. Tahu apa yang bermain dalam fikiran dia.

"Hesh! Mata tu!" Aku tujah jari hantu dan telunjuk ke depan matanya. Sikit pun tak berkelip. Siap tangan naik mengelus-ngelus lengan aku lagi. Semuanya dilakukan dalam sepi. Langsung tidak berbunyi. Membuatkan aku kembali tertanya. Dia sedang fikir ke arah 'itu' atau dia sebenarnya tengah fikir hal lain?

Bila aku bangun berdiri, dia dengan baik hatinya tolong menyisir rambut aku yang kusut. Hanya sekadar melarikan jemari untuk meleraikan pintalan di hujung. Kemudian dikirai-kirai ke belakang sebelum tersenyum dengan matanya memanah mata aku.

"Cantik kan saya?" Sengaja aku meminta dipuji. Dah kalau ditenungnya aku seolah-olah mahu ditelan, bukan kah itu bermakna aku ni cantik? Gosok gigi pun belum. Dengan mata sembap selepas bangun tidur begini, kalau masih ada yang mahu memuji, memang kembang setaman aku dibuatnya.

Seperti yang aku dah jangka, memang tiada jawapan keluar dari mulut berat Abang Nasir. Yang ada cuma lah senyuman manisnya. Senyuman yang kalau hendak aku gambarkan, kelihatan seperti puncak gunung everest. Tampak sejuk dan mendamaikan.

"Terima kasih abang ..."Menganggap yang itu adalah kata setuju darinya, aku bergegas mengucapkan terima kasih. Makin lebar senyuman Abang Nasir. Kali ini bukan kerana bersetuju, tetapi pasti kerana dia lucu dengan tingkah aku. Senyumannya naik sehinggakan matanya menyepet di hujung.

Dapat isteri yang penuh dengan keyakinan seperti aku, bukan kah itu satu keuntungan untuknya? Mana lagi mahu dicari wanita seperti aku? Amizatul Shima cuma ada satu. Dan aku akan pastikan Abang Nasir berbangga kerana wanita ini adalah milik kekalnya.

Keluar tadi, Abang Nasir ada membeli nasi lemak dua bungkus dan beberapa jenis kuih. Air pun sudah siap dibancuh. Seketika aku melongo di tepi meja makan. Isteri jenis apa aku ni? Suami sediakan semua. Yang aku , sedap terbungkang tidur di dalam bilik!

Nak minta maaf ke tak nak? Nak ke tak nak? Akhirnya aku diamkan saja semua di dalam tekak. Terus duduk dan tarik satu nasi lemak bila Abang Nasir sudah mula menyuap.

"Petang nanti pergi ambil kereta saya kan?" Sebelum menyumbat mulut dengan nasi, sempat aku bertanyakan tentang rancangan kami untuk hari ini.

Abang Nasir pandang aku sekilas sebelum mengangguk. Dia kembali meneruskan suapannya.

Suami Berat Mulut (Sudah Diterbitkan)Where stories live. Discover now