1.01 Nasib

6 0 0
                                    

"Kau...!"

Bibir pakcik itu kelihatan terketar. Bibirnya hitam, terdapat sedikit rekahan-rekahan penunjuk usianya yang tak terteka. Aku terdiam dengan sergahannya. Sedikit kaku hingga terlupa untuk bernafas.

"Kau keluar dari sini! Keluar sekarang!" pakcik itu hentakkan tangannya di meja kopi. Bergegar meja itu hingga hampir terpercik air kopi ke lantai.

Entah tiba-tiba terasa cahaya lampu dalam rumah itu semakin malap dan bertukar kekuningan. Atau mungkin ini cuma kesan dari perasaan aku yang tiba-tiba terkejut dengan perubahan mendadak emosi pakcik Musa. Aku tergamam dengan sergah pakcik itu. Misainya bergerak-gerak melambai-lambai seolah mengikut telunjuk tangan pakcik itu yang menunjukkan ke arah pintu. Aku pandang Adam. Adam pandang aku.

"Tapi pakcik, kenapa?" Adam bersuara, kedengaran bergetar suaranya menahan takut.

Pakcik Musa diam. Dadanya kelihatan berombak, dan matanya tertutup. Mungkin dia sedang cuba untuk tenangkan dirinya. Rumah itu senyap sepi. Kami semua terkaku. Yang bergerak hanyalah dada kami yang bernafas laju, dan air kopi yang masih lagi bergoncang selepas meja dihentak pakcik Musa tadi.

"Kau bawa kawan kau keluar sekarang! Nasib dia malang! Nasib dia sial! Cepat keluar sebelum nasib sial malang dia bersangkut paut dengan aku!" Sekali lagi pakcik itu sergah tetapi nadanya lebih tenang.

Mata aku terkebil-kebil, hasil refleksi dari pendengaran aku yang aku pasti masih lagi baik. Apa yang orang tua ni cakapkan? Gilakah? Entah tiba-tiba cakap aku sial kenapa? Dada aku yang berombak kerana terkejut tadi bertukar menjadi marah. Telinga aku terasa panas.

"Aku dah cakap, benda ni semua mengarut!" Aku bingkas bangun, tangan aku tertolak bantal merah kecil yang diletak di sofa.

Bantal merah itu terkena pasu bunga yang dihias disebelah sofa aku duduk tadi dan pasu itu jatuh pecah berderai.

Aku tak hiraukan itu semua. Aku terus melangkah keluar dari rumah itu. Tapi bila aku cuba untuk pakai kasut, berulah aku terasa pedih di tapak kaki. Rupanya aku terpijak serpihan seramik pasu yang pecah tadi hingga luka berdarah.

 Mulut kurang ajar pakcik Musa itu lebih menyakitkan hati.

"Hoi Adam! Kau buat apa lagi dalam rumah tu! Jom balik!" Aku jerit dari luar rumah sambil tangan aku memgang kasut. Dahi aku masih lagi berkerut. Tak tahu kenapa, mungkin masih lagi menahan marah dan sakit. Sakit di hati dan di kaki.

Adam tergesa-gesa keluar dari rumah pakcik Musa dengan mulutnya tak henti-henti menyebut 'maaf'. Maaf itu dia tujukan untuk pakcik Musa. Celaka. Aku yang dipanggil sial, dihalau rumah, tapi pakcik Musa itu pula diberi 'maaf'.

Aku melangkah terhincut-hincut menuju ke kereta tanpa berkasut. Sempat aku menoleh ke belakang melihat pakcik Musa yang masih duduk di tempatnya. Tangannya menggulung rokok daun dengan tenang. Sedikit pun dia tak memandang kami.

Gila!

"Sekali lagi kau ajak aku datang tempat mengarut macam ni, dengan kau sekali aku panggil gila!" Aku cuba untuk lepaskan marah pada Adam. Aku tahu tak berjaya, tapi aku terasa mahu menjerit.

"Aku tak tahu pula pakcik Musa tu tiba-tiba angin macam tu. Tadi elok saja kita bersembang," Adam hidupkan enjin kereta dan kemudian mengundur perlahan-lahan ke belakang.

"Aku rasa ada sesuatulah dengan mimpi kau tu. Lepas kau bercerita mimpi kau pada pakcik Musa tu yang tiba-tiba dia melenting macam orang gila tu," samung Adam.

"Tu mimpi je lah! Kau tak faham-faham lagi kenapa? Nak aku cakap Jawa dengan kau ke?" Aku lepaskan tumbukan ke peha Adam.

"Sakitlah, bodoh!"

"Kaki aku lagi sakitlah! Kau nampak luka ni!" Aku angkat kaki aku, tunjukkan pada Adam. Ah, sialnya, darah aku menitik-nittik ke lantai kereta. Terasa semakin pedih sakitnya.

"Entah-entah, betullah kot kau bawa sial, hahaha" Adam gelak pada lawaknya yang langsung tak lawak, tapi menyakitkan hati. Terasa mahu menyiku rahang Adam.

Tak guna bersuara lagi. Aku diam, mengetap gigi sekuatnya. Tangan aku menekan luka di kaki. 

Ada apa dengan mimpi aku ni? Kenapa pakcik Musa tiba-tiba mengamuk lepas aku ceritakan mimpi aku tu?

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Apr 03, 2018 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Paradoksi ButaWhere stories live. Discover now