BAB 1

790 14 0
                                    

"AKU terima nikahnya Qaira Nur Imani binti Qamil dengan mas kahwin tiga ratus ringgit tunai," sambut pengantin lelaki selafaz.

"Sah?" tanya tok kadi yang bernama Imam Mahathir.

"Sah!" sahut beberapa orang saksi.

"Alhamdulillah!" ucap Imam Mahathir sekali gus membaca doa.

Tetamu-tetamu yang berada di situ turut sama menadah tangan dan mengaminkan doa. Senyuman terukir di bibir masing-masing.

Usai berdoa, pengantin lelaki bingkas bangun dari duduk. Dia melangkah menuju ke arah Qaira yang sedang duduk bersimpuh di sisi keluarga. Nafas ditarik dan melepaskannya ringan. Misinya untuk memperisteri Qaira Nur Imani, gadis yang diidamkannya selama ini berjaya. Tidak menyangka semudah itu dia berjaya memikat hati Qaira Nur Imani.

Qaira berdebar-debar. Semakin pengantin lelaki menghampiri, semakin laju jantungnya berdetak. Belum pernah lagi dia melihat wajah pengantin lelaki. Dia juga tidak mengenali siapa bakal suaminya. Semua itu diatur oleh keluarganya dan dia menerima seikhlas hati perkahwinan ini.

"Aira, jari!" suruh Lija, tiba-tiba.

Qaira tersentak. Dihulurkan jari manis ke arah pengantin lelaki. Sebentuk cincin pengikat kasih tersemat indah di jari manisnya. Kemudian, huluran tangan suaminya disambut lalu mencium lembut tangan itu. Hatinya berkira-kira untuk mengangkat wajah. Malu untuk menatap wajah suami.

"Terima kasih kerana sudi menjadi isteri abang," ucap pengantin lelaki. Dahi Qaira dikucup lembut. Dia tersenyum buat seketika.

Qaira mengangkat wajah. Buntang matanya melihat wajah di hadapannya itu.

"Hai, sayang!" suara suaminya lalu tersengih.

"Tidak!!!" jerit Qaira sambil bingkas bangun. Sungguh, dia terkejut melihat wajah lelaki itu. Bertambah terkejut melihat gigi lelaki itu yang rongak dan berlubang.

"Tidak! Tidak!" Qaira menjerit buat kali yang kedua.

"Aduh!" rengek Qaira kemudian. Pantas, dia membuka mata. Melilau matanya melihat keadaan sekeliling. Adakah dia di majlis perkahwinan atau di tempat lain?

"Hahaha..." gelak Lija, tiba-tiba.

Qaira terkejut. Dihalakan mata ke arah suara ketawa.

"Kau ni dah kenapa sampai cium lantai bagai? Kau mimpikan apa?" tegur Lija seraya melangkah menghampiri Qaira.

Qaira tidak membalas. Dia bangun dari jatuhan dan mengusap punggungnya yang terasa sakit.

"Kau mimpikan hero-hero ciptaan kau tu ke? Hero yang mana satu yang kau mimpi kali ni?" tanya Lija pula. Berminat untuk tahu.

"Hero rongak!" balas Qaira, geram.

"Rongak?" ulang Lija, berkerut dahi.

"Mamat rongak tu la!"

"Maksud kau, Kamal rongak?"

"Huh! Kacau daun betul. Punya la best mimpi aku ni. Bukan senang aku nak mimpi kahwin kau tahu tak?"

Lija yang mendengar ketawa besar. Kepala menggeleng kecil.

"Ingatkan handsome la suami aku tu. Tup-tup keluar muka Kamal rongak. Langkah seribu aku bagi. Kalah Michael Jordan."

Semakin galak Lija ketawa. Wajah tegang Qaira ditatap.

"Buang karan betul!" geram Qaira lagi.

"Siapa suruh tidur tengah hari rembang macam ni? Kan dah mimpi Kamal rongak."

Qaira mendengus kasar. Dia bersandar di sofa. Jam di dinding dikerling buat seketika. Masa baru merangkak ke pukul satu petang.

"Kau keluar tak hari ni?"

CALON SUAMI BUAT NOVELIS - ELIZA A.BWhere stories live. Discover now