Bab 12

15 1 0
                                    

TERKEPIT-KEPIT aku berjalan mendekati pintu kafeteria kolej. Kain yang bagi aku agak ketat ini menyukarkan langkahku. Jarak yang lebih kurang dua meter pun boleh jadi dua puluh meter rasanya. Aku mendengus kasar. Macam ni ke pakaian orang perempuan pakai? Terseksa jiwa batin dan nafas aku betul la. Sewaktu aku berjalan, dapat aku tangkap mata-mata yang tepegun melihatku. Ah! Akhirnya terserlah juga kecantikan yang aku pendam selama ini. Hm baru hampa tau noh!

"Ehem...Ziyad?" panggil aku manja di belakang Ziyad. Rakan-rakan yang duduk semeja bersama Ziyad turut terpegun melihat aku. Sorry okay, I, Ziyad punya.

Aku cuba untuk mengukirkan senyuman yang termanis buat Ziyad saat dia menoleh ke belakang dan seperti yang lain, dia juga terpegun melihat diriku.

"Err, maaf, siapa ni?" Tanya Ziyad keliru. Aku kecewa. Takkan aku baru berubah sikit macam ni dia terus tidak mengenali diriku? Hebat betul penangan ajaran si Sarah ni.

"Ziyad, takkan la awak tak kenal saya," Terkerdip-kerdip mataku melihat matanya yang tidak berkerdip walau sekalipun.

"Takkan la.....Qash? Awak ke ni, Qash?" Aku angguk laju sambil bibir masih menguntum senyuman khas buatmu Ziyad.

"Cantik tak saya hari ni?" Ziyad pasti bangga melihatku. Hei perempuan yang berdampingan bersama Ziyad tempoh hari, aku sarankan kau lupakan sajalah Ziyad kerana dia, milikku. Fuh!

"Er...apa pendapat korang?" soal Ziyad pada rakan-rakannya.

"Cantik...." ujar salah seorangnya sambil melirikkan mata pada teman di sebelahnya.

"Cantik macam Hantu Kak Limah masuk hospital bahagia!" sambung seorang lagi. Maka, terletuslah tawa mereka memenuhi ruang kafateria itu. Disambut pula dengan mahasiswa dan mahasiswi lain yang berada di situ. Wajah-wajah mereka, aku tatap satu-persatu. Suara-suara mereka bergema di gegendang telingaku. Aku seakan-akan tenggelam, hilang sebentar dalam nyaringan suara itu.

Wajah Ziyad, aku tatap. Dia juga begitu, tertawa bersama mereka. Aku tersedar saat tanganku ditarik oleh Ziyad menuju ke arah cermin pada sinki kafeteria. Pantulan diriku pada cermin aku tatap penuh.

"Qash, tengoklah muka awak dekat cermin tu. Macam nenek lampir. Pakaian awak ni, kebaya zaman bila pula ni? Awak ada fashion show ke dekat kolej ni? Adoi, macam ni ke awak kata cantik? Terhibur pula saya," suara Ziyad sambil ketawa yang cuba dikawalnya.

Liur aku telan. Penumbuk aku kepal kejap. Muka aku terasa membahang panas. Aku tidak tahu arah mana lagi perlu aku lemparkan pandanganku. Semua mata kini tertumpu padaku. Tolong seseorang...tolong..selamatkan aku.

"Eh korang buat apa ni? Beb, kau ke tu?"

Suara itu...aku menoleh ke belakang. Ayim datang lalu pantas melindungi wajahku dengan beg tangannya. Dia menarik aku keluar dari kafeteria itu. Aku cuba menahan kolam mataku.

"Wuuu, hero lembut dah sampai la,"

Suara-suara itu cuba aku usir. Ayim, terima kasih sahabat.

Tergeleng-geleng kepala Sarah melihat kesungguhanku. Dia berdiri sambil memeluk tubuh memandangku atas dan bawah. "Sudah-sudahlah tu Qash," ujarnya.

Aku tidak mempedulikannya. Aku meneruskan gosokanku dengan lebih laju dan sekuat hati. Melepaskan amarah dan malu di hati. Air mata? Sudah kering. Aku benci air mata. Jadi aku tidak akan sesekali menjemputnya singgah pada pipi aku.

"Sampai bila kau nak macam ni?" tanya Sarah.

Aku bangun, merenung Sarah tajam. "Kau jangan cuba halang aku." Aku meneruskan kerjaku. Baldi aku ambil lalu aku isi air sabun ke dalamnya. Apabila sudah penuh, aku simbahkan air sabun itu ke atas mangkuk tandas. Berus aku capai lalu aku mula menyental mangkuk tandas pula.

Sarah mengeluh. "Kalau kau sental tandas ni sampai berkilat menyinar satu dunia boleh nampak pun, masalah kau tak akan selesailah. Apa tak kecut ke jari-jari kaki dan tangan kau? Dah tiga jam tau kau bertapa dalam ni. Menyampah pula aku tengok," bebel Sarah.

Aku tidak menghiraukan kata-kata Sarah. Aku nak bersembunyi di dalam tandas ni sampai aku puas. Aku malu nak berjumpa semua orang. Tolonglah faham. Melihatkan aku yang hanya mendiamkan diri, Sarah masuk ke dalam tandas lalu mencapai tanganku. Tubuhku diheret keluar bersama-sama berus sekali aku angkut.

"Qashrina Aisyah yang aku kenal tak lemah macam ni. Aku tau kau kuat, Qash. Kau kena hadap masalah ni. Pergi jumpa Ziyad dan sembur dia cukup-cukup macam yang kau selalu buat dekat orang lain. Mana Qash yang aku kenal ni?"

Qashrina Aisyah yang kau kenal dah lama terkubur Sarah, sejak aku mengenali Ziyad.

Maskulin Where stories live. Discover now