KAKI aku atur lemah ke arah motosikalku. Hari terasa panjang sekali ditambah pula dengan kelas yang habis lewat. Kepenatan aku digandakan lagi apabila terpaksa menghadap pandangan-pandangan sinis manusia di sekeliling tatkala aku melangkah masuk ke dalam dewan kuliah pagi tadi. Jujur, aku lelah. Tolong hentikan semua ini.
Penglihatanku jatuh pada sesuatu yang berada di dalam raga motosikalku. Bunga lagi? Kad di bunga, aku capai lalu dibuka dan dibaca.
Please, stay with me. Please, don't go away -Z-
Terletus tawa sinisku. Pergi mampuslah kau, Ziyad. Bunga itu aku campakkan sahaja ke atas jalan tar. Motosikal, aku undur lalu dihidupkan enjinya. Baru dua tiga pusingan roda tayar berpusing, aku undur kembali.
"Argh! Aku betul-betul bencikan kau, Ziyad."
Jambangan bunga itu aku capai kembali. Pedal minyak pantas aku pulas meredah angin petang yang sepoi-sepoi bahasa. Maafkan aku, diri. Aku telah mengkhianati engkau. Aku gagal melindungi engkau dari kelukaan yang datangnya akibat suatu kuasa diberi nama cinta.
Dua minggu berlalu dan selama tempoh itu jugalah aku tidak putus-putus menerima panggilan dan mesej kata maaf daripada Ziyad. Jujur kata, hati perempuan mana yang tidak luluh apabila melihat kesungguhan seorang lelaki yang sebegitu dan hati aku sedikit demi sedikit terubat dek masa yang berputar saban hari. Aku tidak mampu menipu diri aku sendiri bahawa aku menyayangi Ziyad dan aku tidak ingin kehilangan dia.
"Beb, petang ni jom pergi tengok wayang?" ajak Ayim. Aku mengerlingnya sekilas.
"Malas la," jawabku sambil leka membaca mesej-mesej daripada Ziyad yang tidak langsung aku balas.
"Ala tak syoklah kau ni. Jom la jom la?"
Aku terdiam, wajah beria-ria Ayim aku pandang. Melihat anggukkan perlahan daripada aku, lebar senyum Ayim dibuatnya. Namun segalanya mati tatkala mendengar suara seseorang.
"Qash, saya nak ajak awak keluar boleh? Ada sesuatu saya nak bincang dengan awak," ujar Ziyad sambil berdiri tegak di sisiku. Wajahnya tidak lepas dari memandangku.
Aku palingkan wajah darinya. Dapat aku tangkap wajah bengang Ayim saat itu. Ya la, siapa yang tidak marah melihat lelaki yang pernah melukai hati sahabatnya selamba badak sahaja muncul lepas tu ajak keluar. Banyak cantik muka dia!
"Please, sayang?" ujarnya sambil meraih tanganku. Bulat mataku dibuatnya. Ayim tidak usah dikata, macam nak melantun oink oink keluar bebola mata dia melihat.
"Hei, kau buat apa tu? Lepaskan tangan dia!" marah Ayim sambil bangun. Aku turut terbangun.
"Kau sapa? Aku bukan bercakap dengan kau pun," balas Ziyad lantang.
Sudah, gaduh pula dah dua orang ni. Aku perlu cepat-cepat redakan mereka tatkala mataku menangkap pandangan-pandangan mahasiswa dan mahasiswi di pusat itu sudah terarah pada kami. Kalau tak, silap hari bulan melayang pula penumbuk si Ziyad ni. Kalau kutu rayau hari itu pun sanggup dia bagi sebiji.
"Sudahlah, tak payah nak gaduh-gaduh. Okey saya ikut awak."
Senyuman kemenangan Ziyad dilemparkan pada Ayim. Masam mencuka wajah Ayim aku lihat. Ayim, maafkan aku kerana sesungguhnya hati aku bukan milikku lagi. Peluang, itu yang cuba aku beri. Diri, berharap tidak akan disia-siakan lagi. Hati, mohon jangan disakiti lagi. Jiwa, tolong kuat dan terus bertahan lagi.
YOU ARE READING
Maskulin
RomanceQash, seorang gadis yang berkelakuan kasar seperti seorang lelaki dan panas baran yang mendambakan jejaka idamannya yang bersifat maskulin. Sikap Qash yang kasar membuatkan orang di sekelilingnya kurang yakin akan dirinya sehingga dia bertekad ingin...