Bab 16

12 1 0
                                    

BUKU-BUKU aku di atas meja aku kemas, bersiap-siap untuk pulang. Tegukan air yang terakhir aku habiskan. Sarah yang masih sibuk menari-narikan jarinya pada papan kekunci komputer riba miliknya, aku pandang.

"Sarah, aku nak balik dah ni. Kau nak balik sekali tak?"

Sarah menggeleng laju. "Naik motor kau tu? Tak naklah, aku lebih rela berpanas tunggu bas datang. Kau dahlah tunggang motor macam nak pergi merempit," ujarnya.

Aku mengecilkan mata memandang Sarah. Kurang asam betul. Berani dia kutuk aku depan-depan muka ni. "Hm tak sudi tak apalah, aku tak paksa pun. Eh mana si Ayim ni eh? Dah lama aku tak nampak batang hidung dia. Esok dan hari-hari seterusnya dahlah aku ada ward around dekat hospital. Dia tak rindu nak jumpa aku ke?"

Sarah kelihatan tersentak mendengar pertanyaan aku. "Entah, ada la hal dia tu. Busy." jawabnya.

"Busy sampai tak sempat nak jumpa member, puihh!"

Aku meminta diri untuk pulang. Dari jauh, dapat aku lihat sejambak bunga di dalam raga motor aku. Seperti biasa, kad pada bunga itu aku baca.

Bangunan siswa 2, rooftop -Z-

Entah kenapa jantung aku seakan-akan berubah rentak tatkala membaca kad itu. Aku keliru dengan perasaan aku sendiri. Adakah benar tekaan aku selama ini bahawa Ziyad yang memberi aku bunga ini? Tapi Ziyad pernah nyatakan bahawa dia tidak sukakan bunga. Atau tekaan aku sebenarnya meleset? Bukan Ziyad yang beri. Habis tu siapa?

Aku memanjat anak-anak tangga itu dengan penuh debaran. Topi aku kemaskan apabila anak tangga yang terakhir sudah aku sampai. Siapa sebenarnya yang cuba memenangi hatiku selama ini? Siapa sebenarnya yang sentiasa membuat aku berasa bahawa diri aku berharga buatnya? Siapa sebenarnya yang meminta, memohon padaku untuk tidak meninggalkannya?

Pintu besi itu aku tolak. Aku terpaku, namun kaki aku gagah melangkah ke hadapan. Deretan bunga yang tersusun indah mengiringi langkahku aku pandang. Belon-belon yang bebas bertebangan di setiap penjuru menambah warna pada sudut pandangan itu. Di hadapan aku, terbentang satu kain rentang tertulis...

"Happy birthday to you...happy birthday to you..."

Terdengar nyanyian seseorang dari arah belakangku. Aku tergamam. Suara itu...

"Happy birthday to Qashrina...happy birthday to you.."

Aku menoleh. Mata aku tidak berkerdip untuk lima saat. Atas sehingga bawah aku pandangnya. "Kau buat apa ni, Ayim?" Seseorang yang aku gelarkan sahabat selama ini nampak berbeza saat ini. Dia tidak seperti Ayim yang aku kenal, yang lembut, yang suka bawa beg tangan sana dan sini, yang suka bersikap kepoh. Ayim yang aku lihat di hadapan aku ini......berpakaian seperti seorang lelaki maskulin.

"Apa dah jadi dengan kau ni, Ayim?" Aku berjalan mendekatinya. Risau aku melihat dirinya saat ini. Manalah tahu, dia terlalu tertekan kerana jadual yang sibuk untuk dua tiga bulan ini sehingga berubah menjadi orang lain.

"Kau tak nak tiup lilin ni ke? Letihlah aku pegang,"

Terbeliak mataku mendengar caranya cakap. Hilang habis segala kelembutannya selama ni! Suaranya sangat macho weh! Namun, aku tetap meniup lilin-lilin itu.

"Kau suka tak dengan apa yang aku buat ni?" ujarnya sambil memandang sekeliling. Aku pun turut memandangnya. Untuk sesaat kemudian, aku tersedar. Akibat terlalu terkejut melihat perubahan Ayim, aku hampir lupa tujuan aku datang ke sini.

"Kau...."

"Ya, akulah Mr Z misteri kau tu."

Terasa seperti bunyi guruh berdentum dalam hati aku. Aku mengundur setapak ke belakang.

"Aku yang hantar bunga-bunga tu. Aku cuma berlakon saja depan kau selama ni...."

Aku mengerutkan dahi. Tidak mengerti bicara yang baru dilontarkan Ayim. "Apa maksud kau dengan berlakon?" Jujur, aku perlukan penjelasan. Aku benar-benar terasa seperti dipermainkan saat ini.

"Aku berlakon jadi lelaki lembut supaya aku dapat berkawan dengan kau. Aku tahu Qash, kau bencikan lelaki. Kau tak suka berkawan dengan lelaki. Aku terpaksa minta tolong Sarah untuk bantu aku dekatkan diri dengan kau,"

Tersentak aku tatkala nama Sarah disebut sekali. Sarah...tahu semua ni? Tiba-tiba sahaja Ayim melutut di hadapan aku. Sebuah kotak baldu dikeluarkan dari poketnya lalu dibuka. Dapat aku lihat sebentuk cincin bertakhtakan permata menghiasi ruang mataku, namun aku sedikitpun tidak tertarik. Dadaku berubah rentak. Nafasku sukar diatur saat ini. Aku berasa seperti ditipu hidup-hidup selama ini.

"Qash, will you be a part of my life?" soal Ayim ikhlas, menatap mataku dengan penuh makna.

Aku mengetap bibir. "Kau tipu aku, Ayim. Kau seronok buat aku macam ni?" Kolam mataku mula bertakung tetapi aku cuba menahannya semampuku.

Ayim bangun memegang tanganku, cuba memujukku. "Qash, dengar dulu apa aku nak cakap. Aku buat semua ni untuk..."

"Sudahlah! Cukup-cukuplah. Kenapa kau main-mainkan hati aku macam ni? Kau tak, sejak hari pertama aku dapat kad tu, segalanya berubah. Kau buat aku terasa dihargai. Kau buat aku sandarkan harapan pada seseorang. Kau buat aku terasa disayangi walaupun pada hakikatnya aku tak tahu siapa orang tu. Sampaikan...aku ingat orang tu Ziyad. Tapi ternyata, aku silap besar!" bicaraku lantang

"Maafkan aku, Qash. Maafkan aku," rayu Ayim.

"Aku bencikan kau, Ayim. Kau jangan cari aku lagi!" tengkingku. Maaf sahabat, andai aku berlaku kejam tapi aku terpaksa kerana jika benar kau mengenali diriku, pasti kau akan tahu yang aku tidak akan mampu memaafkan kesalahan kau ini.

Tangan, aku rentap dari pegangannya. Kaki, aku hanyunkan lemah menuruni tangga. Mutiara-mutiara jernih jatuh jua membasahi pipi. Hati aku terasa sakit sekali, sakit sangat-sangat. Kenapa? Kenapa lelaki-lelaki yang aku izinkan wujud dalam hidupku selalu menyakiti hatiku? Kenapa mereka sanggup buat aku macam ni? Adakah diri aku ini dilihat mudah untuk dipermainkan dari sudut pandangan mereka? Memang luaran aku kasar, namun hakikatnya aku juga memiliki sekeping hati yang rapuh. Yang ingin dipeluk dengan kasih-sayang. Bukannya yang dapat dilempar sana dan sini.

Aku tak kuat, tak mampu bertahan lagi.

Maskulin Where stories live. Discover now