NOMBOR, cuba aku dail lagi. Tidak cukup panggilan, pesanan ringkas turut aku hantar. Seminit, dua minit kemudian masih tidak berbalas. Dari baring, aku bangun untuk duduk. Kaki, aku silakan di atas katil.
"Mana dia ni? Buat aku hangin betul la,"
Aku cuba untuk membuat panggilan lagi. Suara operator yang masuk. Keluhan, aku lepaskan. "Dia ni memang nak cari pasal betul dengan aku,"
Sudah seminggu lebih Ziyad seakan-akan menjauhkan dirinya dari aku. Panggilan tidak berjawab, mesej tidak berbalas. Kalau jumpa pun sekejap sahaja, itu pun kalau terjumpa la. Hati aku kuat mengatakan bahawa dia sudah berubah. Tiada lagi tarikan, tiada lagi senyuman, tiada lagi usaha-usaha seperti yang pernah dia lakukan untukku sebelum ini. Kenapa? Aku ada buat salah ke?
Aku tidak boleh biarkan ini berterusan. Aku bangun dari dudukku lalu mengatur langkah ke almari, ingin bersiap untuk keluar. Sedang aku bersiap, Sarah melangkah masuk ke dalam bilik. Dia memandangku sekilas sebelum melirikkan matanya pada jam di dinding.
"Kau nak pergi mana malam-malam ni, Qash?" soalnya.
Tanpa memandangnya aku jawab, "Jumpa Ziyad."
Sarah kelihatan sangat terkejut. "Kau gila? Malam-malam macam ni? Agak-agaklah sikit. Haritu ayah kau dah marah kau teruk sebab kau balik lewat. Hari ni kau nak keluar pula malam-malam macam ni. Eh kau ingat sikit, ayah kau tu ada sakit jantung tau,"
Aku menarik nafas sedalam-dalamnya. Pandangan aku buang dingin tepat ke arah mata Sarah. "Kau tak payah sibuk hal aku la," Sarah, aku jeling sebelum mengatur langkah ingin keluar, namun tanganku ditariknya.
"Sejak bila pula aku tak boleh sibuk hal kau? Qash, kau dah banyak berubah sejak kau kenal Ziyad. Kau dah tak macam Qashrina yang aku kenal."
Sinis aku tarik. Rasa jelik mendengar tutur katanya. "Memang aku dah berubah, sejak semua orang di sekeliling aku mula tipu dan sakitkan hati aku!" ujarku berang.
"Ziyad tu tak macam yang kau kenal la. Dia tu talam dua muka. Kau tolonglah dengar cakap aku," rayu Sarah.
"Diamlah! Hei Sarah, aku belum puas hati lagilah dengan kau pasal Ayim. Kau tak perlu nak tutup kesalahan kau dengan mereka-reka cerita pasal Ziyad. Henti-hentikanlah pembohongan korang tu. Aku rimaslah dengan kau!" tengkingku. Mencerlung mataku memandang Sarah. Gigi aku ketap kejap menahan marah.
"Oh sekarang kau dah rimas dengan aku? Kenapa? Sejak ada si Ziyad tu la? Qash, sejujurnya....aku tak pernah jumpa orang yang ego tinggi macam kau ni. Kau terlalu pentingkan diri sendiri! Kau rasa macam semua oranglah yang sakitkan hati kau, buat kau marah, lupakan kau tapi hakikatnya, diri kau sendiri yang macam tu. You're too selfish!" suara Sarah lantang.
Penumbuk aku kepal. Pintu bilik aku buka lalu aku hempaskannya. Tanda protes. Sampai hati Sarah cakap macam tu padaku. Dadaku berombak menahan amarah.
Ayah datang menjenguk dari dapur. Matanya meliar memandang sekeliling. "Apa yang kamu berdua bising-bisingkan ni? Kau nak pergi mana pula tengah-tengah malam ni, Aisyah?"
Tanpa memandang ayah, aku bersuara, "Nak keluar kejap,"
"Allah....Aisyah....kenapa dengan kamu ni?"
Ayah, aku pandang. "Ayah jangan panggil nama tu boleh tak? Nama tu khas untuk ibu saja," tuturku, masih mengawal nadaku.
"Apa kena pula dengan kamu ni?" Ayah mengerutkan dahinya. Mungkin pening memikirkan kerenahku.
"Qash tak suka ayah panggil Qash macam tu. Panggilan tu untuk ibu saja,"
"Kamu pun anak ayah juga,"
Aku senyum sinis. "Baru hari ni Qash dengar ayah buat pengakuan macam tu tapi Qash tetap tak izinkan."
Ayah cuba mendekatiku dan meraih tanganku, tapi aku mengundur. "Apa salah ayah pada kamu? Kenapa marah ayah sampai macam ni sekali? Sejak ibu kamu meninggal, hubungan kita berdua tak pernah baik,"
Aku tergelak kecil memandang ayah. Aku tahu perlakuanku ini seperti kurang hormat pada insan yang aku gelarkan sebagai ayah tapi aku sendiri tidak tahu apa yang merasuk diri aku saat ini. Aku berasa sangat marah. Emosi aku tidak mampu dikawal. Aku seperti ingin melepaskannya pada semua orang tanpa memikirkan perasaan mereka. Mungkin Sarah benar, aku pentingkan diri sendiri.
Mak tiri aku tiba-tiba sahaja keluar dari bilik sambil memandang kami berdua dengan pandangan yang keliru. Dia, aku kerling sekilas sebelum kembali merenung ayah.
"Ayah nak tahu sangat apa salah ayah selama ni? Okey Qash beritahu sekarang, sebab ayah tak pernah ada untuk kami! Dari kecil, ibu sorang saja yang besarkan Qash. Ibu saja yang ada untuk jaga dan didik Qash. Ibu saja yang ada untuk peluk dan pujuk Qash bila dunia seakan-akan tidak menerima Qash dan sampai hari ibu meninggal pun, ayah tak ada. Ayah tak balik pun untuk tengok jenazah ibu. Sekarang ibu dah tak ada, Qash dah hilang kekuatan hidup Qash dan ayah masih bertanya apa salah ayah?!" suara tidak sengaja aku tinggikan.
"Qash, jaga adab sikit!" marah mak tiriku. Aku memandangnya sekilas. Ayah aku lihat terkesima. Sudah, aku sudah tidak mampu lagi untuk berdiri di sini. Pantas aku loloskan diriku keluar dari rumah.
Air mata yang jatuh di pipi aku biarkan. Biarlah, biarlah ia jatuh untuk kali ini. Maaf ayah, emosi sudah mengawal diri Qash sepenuhnya. Maafkan Qash kerana terpaksa pindahkan luka ini kepada ayah. Maafkan Qash, ayah. Suaraku, hanya dalam hati.
YOU ARE READING
Maskulin
RomansaQash, seorang gadis yang berkelakuan kasar seperti seorang lelaki dan panas baran yang mendambakan jejaka idamannya yang bersifat maskulin. Sikap Qash yang kasar membuatkan orang di sekelilingnya kurang yakin akan dirinya sehingga dia bertekad ingin...