Lapangan Terbang Langkawi.
Telefon ditangan dibelek sebaik terdengar bunyi, isyarat bahawa ada mesej yang masuk.
+Salam Kak Eja.
+Saya tunggu kat luar.
+Betul-betul depan pintu masuk.
+Tang tempat ambil-hantar penumpang.
Dia baca satu persatu mesej yang dia terima daripada adik sepupu Bid melalui aplikasi WhatsApp.
Tanpa menunggu lebih lama, dia terus berjalan menuju ke arah pintu utama lapangan terbang.
Mujur sangat balai ketibaan dengan pintu utama di sini tak jauh macam kat KLIA 2. Kalau tak menangis lagilah dirinya.
Imbas semula...
15 minit lagi penerbangan bakal berlepas, dirinya masih tersangkut menunggu giliran pemeriksaan di pintu Jabatan Kastam.
Tuhan saja yang tahu betapa debak-debuk hatinya ketika itu. Rasa bimbang kalau-kalau dia tak sempat tiba di pintu untuk menaiki kapal terbang.
Tak pernah dia jadi kelam kelibut seperti hari ini. Dia jenis yang bersedia awal. Tidak kiralah sama ada menaiki kapal terbang, keretapi, mahupun bas. Yang melibatkan dirinya untuk menunggu, memang dia akan berada di tempat yang sepatutnya sekurang-kurang setengah jam sebelum bertolak.
Tetapi, hari ini di dalam sejarah hidupnya sepanjang beberapa tahun jadi pengguna kapal terbang, dia hampir-hampir hendak terlepas penerbangan dia berlari dari pintu pemeriksaan Jabatan Kastam hingga ke pintu bernombor 20.
Nombor 20 kut! Rasa macam masuk rancangan Explore Race. Tidakpun variety show Running Man yang Bid suka sangat menonton itu.
Nasiblah dia sempat tiba. Itupun mamat Airasia yang jaga pintu itu sudah mula memanggil penumpang supaya beratur.
Tadi, sebelum masuk ke dalam perut AK 6318, sempat juga dia menoleh melihat jarak lariannya tadi.. Rasa macam tak percaya. Jauh jaraknya, seperti dia hampir membentuk separuh bulatan, mengelilingi lapangan terbang tersebut.
Mujur sangat dia menyarung sneakers, memakai seluar. Kalau sarung heals dan dress tak ke haru jadinya. Dan mujur lagi, dia cuma galas bagpack semata, tak heret luggage. Itupun dah rasa nak tertanggal kakinya.
Kali terakhir dia berlari pun sebab ikut program marathon kat Putrajaya beberapa bulan yang lepas. Tapi, kalau sudah bernama marathon itu faham-faham sajalah, acaranya berlari secara berjemaah. Dan dia bukannya berlari sangat, berjalan dan berborak yang lebih.
Terasa hendak semput jadinya.
Semua berpunca daripada mamat yang dia nampak di kedai kopi tadi.
Boleh pula mamat itu tercicir boarding pass. Kalau tak dikutip rasa bersalah pula nanti. Itupun dekat 10 saat dia main timbal hendak ambil lihat atau tidak.
Sudahnya, dia memilih untuk menjadi warga prihatin menolong mamat itu dengan mengutip boarding pass tersebut.
Tergesa-gesa dia keluar dari kopitam. Melilau mata mencari mamat berbaju kemeja kotak-kotak berwarna merah dan bertopi besbol berwarna hitam.
Mujur saja dia nampak kelibat mamat tersebut, masih tidak jauh dari kopitiam.
Mula-mula dia berjalan secara laju. Tetapi, apabila jaraknya dan mamat itu menjadi semakin besar, dia mula berlari-lari anak.
Walaupun berlari-lari anak, azab jugalah. Kakinya jenis yang langkah pendek-pendek. Sedang mamat itu, kaki panjang macam player basketball. Faham sajalah langkah itu sebesar mana.
YOU ARE READING
TRIP (tribute version - Jemari Seni Publishing)
RandomPada awalnya TRIP ini ditulis semata-mata untuk merakamkan percutian semasa di Langkawi dulu. Kemudian, cerita ringkas ni mendapat perhatian daripada rakan-rakan pembaca. Jadi, saya berhasrat sambung menjadi sebuah novel dan hantar kepada penerbit J...