Sedari tadi, matanya langsung tak beralih daripada memandang makwe yang berdiri berdekatan kaunter daftar masuk hotel di tempatnya menginap.
Dia rasa, mak we itu pernah dilihatnya sebelum ini, tapi tak pasti di mana.
Kotak memorinya diselongkar satu persatu. Mencari, kalau-kalau wajah yang sedang dipandangnya ketika ini ada di dalam kotak ingatannya.
Herot sedikit mulutnya ke kanan, tanda dia sedang berfikir secara serius.
Aaaa, mak we kat KLIA 2 tadi rupanya. Patut macam pernah nampak.
Senyum nipis terukir saat fikirannya berjaya menjawab persoalan yang bermain di benaknya tadi.
Mak we baik hati yang tolong kutipkan boarding pass miliknya. Kalau tidak, tak sampailah dirinya ke sini.
'Sorry Kidd. Harapan kau, tinggal harapan. Harapan aku lagi kuat agaknya daripada kau.' Diskusinya bersama-sama dengan sekeping hati.
'Betullah orang kata, dunia ni kecik je. Tak sangka boleh jumpa balik mak we baik hati tu kat sini.' Monolognya bersambung lagi.
Telefon bimbit yang bordering, mengalihkan perhatiannya daripada terus bermonolog. Pada skrin telefon bimbit, nama Kidd terpapar.
Ibu jari tangan kanan bertindak dengan pantas, skrin ditolak ke kanan.
"Apasal tak call aku?" Kidd tujah soalan, sebaik saja dia menjawab salam yang diberikan.
"Kau tau kan, selagi kau tak call aku nak kentut pun tak senang."
Logamaya Kidd itu ternyata meledakkan tawanya tetapi masih boleh dikawal laras suaranya, tidak terlalu kuat. Sekadar didengari telinganya kembali.
"Nak call la ni. Tapi, kau tu tak menyabar," rungutnya.
"Ni hah, aku baru saja check in hotel. Tak sempat juga nak kentut." Gurauan Kidd tadi dibalasnya dengan gurauan juga. Dan disambut Kidd dengan ketawa juga. Ketawa yang kuat sehingga dia terpaksa menjarakkan telefon bimbit yang tadinya melekap rapat di telinga.
"Kidd. Tadi, aku tercicir boarding pass kat airport." Terasa hendak mengadu peristiwa yang menimpanya sewaktu dia belum berlepas tadi.
"Hang ni kan, loklaq!" Kidd bercakap, pakai loghat utara.
Gelaknya kedengaran lagi. Nampak sangat gagalnya seorang Kidd dalam cubaan berbahasa utara.
Serius, kedengaran sangat pelik pada pendengarannya.
"Mujur ada mak we baik hati ni tolong kutipkan." Adunya lagi, disusuli bunyi berdecit.
Senyuman terbit tatkala teringatkan mak we yang baik hati tadi.
Sepasang matanya disorotkan semula ke kaunter daftar masuk hotel. Tetapi, kelibat makwe yang dia nampak di KLIA 2 tadi sudah tidak kelihatan. Buat dirinya mengeluh tanpa sedar.
"Cun?"
Pertanyaan daripada Kidd itu membuatkan perhatiannya beralih kembali ke perbualan mereka di talian telefon.
"Apa?" Dia tak dapat menangkap maksud di sebalik pertanyaan Kidd yang tiba-tiba itu.
"Mak welah."
Dia ketawa sampai mata terpejam.
"Okeylah Kidd. Aku nak pergi cari makan ni. Dah sampai sini, lapar tu baru terasa-rasa."
Sengaja dialihkan topik perbualan mereka cepat-cepat sebelum Kidd mengheret ia menjadi perbualan yang serius. Berat jadinya nanti.
YOU ARE READING
TRIP (tribute version - Jemari Seni Publishing)
RandomPada awalnya TRIP ini ditulis semata-mata untuk merakamkan percutian semasa di Langkawi dulu. Kemudian, cerita ringkas ni mendapat perhatian daripada rakan-rakan pembaca. Jadi, saya berhasrat sambung menjadi sebuah novel dan hantar kepada penerbit J...