Well you see her when you fall asleep, but never to touch and never to keep. Cause you loved her too much, and you dived too deep – Let Her Go; Passenger.
Usai makan malam di Restoran Haji Ramli yang sekali lagi dicadangkan oleh Kidd, dia tidak terus pulang ke hotel. Sebaliknya, kesempatan itu diambil, menelusuri persisiran Pantai Cenang.
Sneakers yang bersarung di kakinya pun sudah bertukar kepada sepasang selipar berwarna oren. Yang dibelinya di kedai berhampiran dengan restoran, tempatnya menjamu selera sebentar tadi.
Sepanjang tempoh beberapa jam dia di sini, yang paling kerap didengari adalah bunyi ombak menderu.
Seperti muzik yang dipasang berkali-kali di corong radio.
Di dalam gelap pekat malam, tiada apa yang dapat dilihatnya di hadapan. Kecuali telinganya saja yang mendengar bunyi ombak menghempas ke pantai.
Teringat perbualannya dengan Kidd tadi.
Pantai Cenang ni, kalau waktu siang yang cantik itu bukan lagi pantai tetapi yang duduk 'bersidai' di tepi pantai.
Dia tersengih, faham dengan maksud Kidd itu.
Daripada memandang ke laut yang tak kelihatan itu, dia mendongak ke langit. Sama saja warnanya dengan laut ketika ini.
Gelap, suram. Tiada bulan mahupun bintang. Yang dia nampak, cuma awan yang bergerak-gerak seperti kepulan asap.
Nafasnya ditarik sedalam-dalam, sebelum dilepaskan kuat. Sepertinya dia mengeluh berat.
Daripada berjalan berdekatan gigi air, dia kembali semula ke kawasan yang cerah disimbah lampu-lampu daripada restoran dan chalet berdekatan.
Angin yang menyapa sejuk membuatkan dia memasukkan tangan yang terdedah ke dalam poket jaket yang dipakai.
Mujur saja dia usung juga jaket, tak tinggal di dalam kereta. Sudahlah dia sekadar menyarung t-shirt nipis warna putih cap pagoda.
Apa yang dia tahu, pantai ini antara tempat tumpuan pelancong. Tidak kira dari dalam atau luar negara. Tadi pun sepanjang dia berjalan-jalan di sekitar sini, ramai saja mat dan minah saleh berpapasan dengannya.
Tangannya mencekak pasir pantai yang menjadi alas duduknya ketika ini. Perlahan-lahan dia lepaskan kembali butir-butir pasir itu. Dia leka sebentar bermain-main dengan pasir halus putih itu.
Bunyi petikan gitar mencuri tumpuannya. Daripada ralit dengan pasir, dia menoleh pandang ke arah sekumpulan anak remaja.
Daripada pengamatannya, dia rasa kumpulan itu bukan sebangsa dengannya. Pekat bahasa Mandarin mereka adalah bukti yang telahannya benar.
Si pemetik gitar masih tercari-cari tiun yang betul di dalam keriuhan kumpulannya yang berborak rancak.
Dalam tak sedar, kepalanya juga turut mengikut rentak yang dimainkan. Terangguk-angguk perlahan kepalanya. Mata dipejam rapat, bagai menghayati muzik yang dimainkan.
Caranya itu berjaya mengasingkan bunyi ombak dan muzik. Kini halwa telinganya menapis bunyi muzik sedikit kuat berbanding bunyi ombak.
Staring at the ceiling in the dark
Same old empty feeling in your heart'
Cause love comes slow, and it goes so fast
Lirik itu bagaikan kena dengan situasinya kini. Untuk seketika dia tenggelam di dalam dunianya sendiri. Berseorangan di tempat yang tenang bagaikan membuka satu dimensi membawanya ke masa lalu.
YOU ARE READING
TRIP (tribute version - Jemari Seni Publishing)
RandomPada awalnya TRIP ini ditulis semata-mata untuk merakamkan percutian semasa di Langkawi dulu. Kemudian, cerita ringkas ni mendapat perhatian daripada rakan-rakan pembaca. Jadi, saya berhasrat sambung menjadi sebuah novel dan hantar kepada penerbit J...