Seperti yang dijanjikan semalam, Eja betul-betul nak bawa dia ronda-ronda, pusing pulau.
Jadualnya pun Eja dah siap susun, padat.
Seawal pagi selepas solat Subuh, dia dan Eja dah keluar. Bersarapan pagi di kawasan berdekatan bangunan Haji Ismail Group.
Warung kecil saja, tetapi masakannya sedap. Kopi yang dicicipnya tadi sudahlah kaw, murah pula tu. Kat K.L memang payah nak jumpa kopi sedap kat tepi jalan begini.
Kopi yang sedap pula dipadankan dengan roti canai. Berbeza dengan menu pilihan Eja. Mak we tu sekadar minum teh o kosong tanpa gula dan kuih-muih tradisional.
Habis makan dia temankan Eja membeli-belah di bangunan Haji Ismail Group. 'Syurga' coklat. Tempat begini memang kegemaran Suzy.
Dia teringat lagi. Payah untuk dia kikis ingatannya terhadap Suzy. Segala perkara yang dilakukannya pasti mengheret Suzy ke dalam memorinya.
Waktu dulu kalau dia nak hadiahkan apa-apa pada Suzy, coklatlah pilihan terbaik. Bukan bunga atau teddy bear. Kata Suzy, kalau nak berikan sesuatu, berilah yang boleh dimakan.
Zaman bercinta mereka pun selalu dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti jalan-jalan cari makan.
Ah, dukanya diundang lagi gara-gara Suzy.
"Tak nak beli apa-apa ke?"
Jedanya ketika ini bukan kerana memikirkan jawapan untuk Eja, tetapi kerana masih terkejut apabila disapa makwe tersebut secara tiba-tiba ketika sedang berkhayal.
"Nanti saya datang lagi," matanya memandang ke bakul di tangan Eja. Hampir penuh dengan bungkusan-bungkusan coklat.
"Ole-ole buat kawan-kawan," beritahu Eja tanpa ditanya.
"Perempuan memang suka benda-benda begini kan?" Sepatutnya soalan itu cuma bermain di dalam fikirannya, tetapi terluah tanpa sedar. Pula itu kedengaran agak sinis. Sekaligus mengundang pandangan pelik Eja.
"Yes. Perempuan dengan benda-benda manis ni macam magnet." Eja koyak senyum lebar.
Seperti tidak terkesan dengan apa yang diperkatakannya tadi. Nafas lega ditarik. Dia kutuk diri sendiri. Cepat sangat ikut emosi. Childish!
Rasa bersalah membuatkannya menyaingi langkah Eja yang menuju ke kaunter bayaran.
Sejak masuk ke gedung coklat tadi, dia dan Eja buat hal masing-masing. Eja sibuk mencari coklat-coklat. Dia pula sekadar berjalan mencuci mata.
"Actually, benda-benda manis ni bagus untuk kita. Contoh, coklat boleh hilangkan stress. Tapi kena ingat setiap benda tu perlu diambil secara sederhana. Jangan kurang, tak boleh berlebihan," terang Eja seperti seorang pakar pemakanan.
Waktu Eja keluarkan duit untuk membayar, dia secara sukarela menolong membawa beg-beg plastic berwarna hijau yang berisi pelbagai coklat.
"Eh, biarlah saya yang bawa," tegah Eja.
"Tak apa. Bukannya berat pun. Nampaklah sikit saya ni gentleman orangnya," guraunya.
"Okey," Eja angkat bahu, senyum nipis.
"So, kita balik ke hotel dulu kan?" tanyanya kepada Eja. Walaupun sudah dimaklumkan tentang jadual perjalanan mereka hari ini, dia tetap mahu menyoal.
"Boleh kan?"
"Boleh. Check out tengahari kan?"
Eja angguk, "patutnya pukul 1. Tapi, saya minta extand sampai lepas Zohor."
YOU ARE READING
TRIP (tribute version - Jemari Seni Publishing)
РазноеPada awalnya TRIP ini ditulis semata-mata untuk merakamkan percutian semasa di Langkawi dulu. Kemudian, cerita ringkas ni mendapat perhatian daripada rakan-rakan pembaca. Jadi, saya berhasrat sambung menjadi sebuah novel dan hantar kepada penerbit J...