Bandar Baru Bangi.
Bangun pagi, keluar dari bilik, dia tengok Kidd dah tiada di sofa. Selimut dan bantal elok berlipat kemas di atas sofa.
Baru berkira-kira hendak berpatah semula ke bilik, telinganya menangkap bunyi bising dari arah dapur.
Cici? Dia meneka.
Tak jadi balik kolej agaknya. Telahnya.
Mungkin disebabkan itu Kidd cabut balik. Macam-macam ditekanya. Namun, semua teka-teki yang bersarang di dalam otaknya terungkai sebaik saja terlihat susuk tubuh Kidd yang bergaya ala chef yang dalam program 5 Rencah 5 Rasa (dia tahu pun disebabkan emak dan Cici suka sangat menonton program masakan chef itu).
"Ingatkan kau dah balik? Elok berkemas sofa tu," ujarnya sambil mengintai ke dalam kuali.
Kidd tengah goreng telur hancur. Kalau semalam sarapannya Malay style, bernasi lemak sambal ikan bilis juga telur dadar. Hari ini pula dia bersarapan gaya Amerika. Ada sosej (yang dia nampak di dalam periuk sedang direbus), juga satu tin kacang merah yang belum dibuka.
"Nanti kau angkatkan sosej. Aku nak pergi mandi." Selesai masukkan telur hancur ke dalam pinggan, Kidd berlalu pergi tanpa menjawab soalan yang ditanya tadi.
Paat angguk, dijenguk sekejap ke dalam periuk berisi sosej. Masih belum mendidih airnya. Dia tinggalkan periuk sosej, dicapainya alat pembuka tin. Dibuka tin berisi kacang merah instant itu. Kemudian, dituang ke dalam pinggan. Satu untuk dia, satu lagi untuk Kidd.
Baru saja dia angkat sosej hendak diletakkan ke dalam pinggan, Kidd menjerit kuat dari dalam bilik.
"Paat! Aku ambil tuala."
"Ambillah!" Perlahan saja suaranya. Tahu, kalau Kidd tak dengar pun, rakan baiknya itu tetap ambil juga. Lagipun, tadi itu bukannya Kidd buat pertanyaan, tetapi pernyataan.
"T-shirt kau pun," jerit Kidd lagi.
Kali ini Paat tergelak. Teringat zaman mereka duduk bujang bersama-sama. Pinjam meminjam ini perkara biasa. Pinjam buat harta pun pernah dia rasa. Tambah pula zaman masih belajar dulu, kadang itu masa nak pinjam tak bertanya pun. Waktu hendak pulangkan barang barulah cakap, "hari tu aku pinjam. Lupa nak bagitau." Kes kawan-kawan macam itu, memang kena redha jelah.
Sementara menunggu Kidd sip mandi, dia tuangkan air panas ke dalam muk. Kemudian, dia masukkan kopi 3 in 1, dan dikacau sebati. Muk dibawa letak di atas meja makan.
Dah siap! Sarapan untuk hari ini. Betul-betul terasa seperti kembali ke beberapa tahun sebelum ini. Sewaktu Kidd belum mendirikan rumah tangga.
Kidd itu memang suka memasak. Antara Wanie dan Kidd, dia rasa Kidd paling banyak masuk ke dapur.
"Kau dah mandi ke Paat?" Kidd muncul dengan tiba-tiba di dapur.
"Dah," jawabnya memandang Kidd atas bawah. Kemudian dia gelak apabila melihat apa yang dipakai oleh Kidd.
"Kau pakai baju Cici tu," beritahunya menunjuk pada t-shirt berwarna putih bekolar bulat, ada gambar kepala teddy bear berwarna coklat. Rasanya macam kartun aplikasi LINE. Kalau dia tak salahlah.
Kidd tergamam. Lama juga Kidd memandang dia dengan riak tak percaya.
"Padanlah saiz Superman. Aku main sarung je apa yang ada dalam bakul baju kau tu," rungut Kidd. Belakang leher digaru berkali-kali.
"Ambillah kemeja aku yang di dalam almari tu."Gelaknya masih bersisa.
"Kalau aku pakai je tak boleh? Cakap kat Raha nanti aku ganti baru." Kidd siap tarik hujung t-shirt, dihidu lama.
YOU ARE READING
TRIP (tribute version - Jemari Seni Publishing)
RandomPada awalnya TRIP ini ditulis semata-mata untuk merakamkan percutian semasa di Langkawi dulu. Kemudian, cerita ringkas ni mendapat perhatian daripada rakan-rakan pembaca. Jadi, saya berhasrat sambung menjadi sebuah novel dan hantar kepada penerbit J...