"Siapa ni?"
Sufandi dan Kamsiah tersenyum malu-malu. Kamsiah menghulur tangan kepada Sakinah. Lama tangannya tergantung namun huluran belum bersambut. Sakinah masih merenung Sufandi. Jawapan yang diharapkan masih belum diperolehi.
"Ini mak baru untuk Kinah." Sufandi memaut bahu Kamsiah. Digosok-gosok lembut bahu wanita itu sambil mempersilakan isteri barunya duduk di sebelah Sakinah.
"Panggil ibu aje sayang. Jangan risau. Ibu tak garang macam ibu tiri yang Kinah tengok di televisyen tu." Kamsiah cuba mencuit mesra hidung Sakinah.
Sakinah beralih ke sofa lain. Kemas dia berpeluk tubuh. Janggal benar rasanya apabila Kamsiah berada di antara dia dan Sufandi. Selama dua tahun, hanya mereka berdua sahaja di rumah ini. Sakinah belum bersedia untuk menerima ahli baru.
"Kenapa ayah tak beritahu Kinah?" Keras suara Sakinah bertanya.
"Ayah tengah beritahulah ni." Sufandi menjawab lembut. Dalam keadaan begini tidak sewajarnya dia berkasar. Dia faham, Sakinah perlu masa untuk menerima Kamsiah.
"Cepatnya ayah lupakan mak." Dia berpaling ke arah lain di saat matanya sudah tidak mampu mengempang airmata yang semakin mengaburi pandangan.
Kamsiah mencuit lengan Sufandi. Dia ingin memujuk. Tetapi dalam situasi begini ada baiknya dia mengunci mulut. Bimbang akan memburukkan lagi keadaan. Dia sudah maklum akan reaksi yang bakal berlalu. Sedikit pun dia tidak berkecil hati dengan Sakinah. Bukan dia tidak pernah meminta Sufandi menemukan mereka berdua. Tetapi Sufandi ingin berikan kejutan buat Sakinah. Ternyata kejutan yang diberikan tidak seperti yang dirancang. Sufandi silap perhitungan. Penerimaan negatif Sakinah pasti akan menyukarkan lagi hubungan yang baru bermula ini.
"Ayah tak pernah lupakan mak Kinah." Sufandi mengambil tempat di sisi Sakinah. Tangan anak gadis kesayangan digenggam penuh kasih.
"Kita berdua perlukan seseorang sebagai pelengkap. Kinah pun dah lama kenal Mak cik Kamsiah, kan? Cubalah berbaik-baik dengan dia," sambung Sufandi lagi.
"Kinah tak nak sesiapa pun ganti tempat mak. Ayah memang pentingkan diri sendiri. Kinah benci ayah!"
Sakinah berlari masuk ke bilik. Berdentum pintu bilik ditutup. Kamsiah dan Sufandi berpandangan. Tangan Kamsiah Sufandi raih perlahan. Lembut usapannya. Seakan faham perasaan isteri barunya yang tersinggung.
"Bagi masa sikit ya. Dia masih terperanjat tu."
Kamsiah senyum nipis. Dia melirik ke tingkat atas. Bukan sedikit masa yang diperlukan untuk remaja seperti Sakinah. Silap-silap hari bulan mungkin seumur hidup mereka tidak akan sefahaman.
"Silap kita juga bang. Sepatutnya kita tanya pendapat dia dulu. Kinah pun berhak tahu siapa pengganti mak dia."
"Kalau nak tanya pendapat dia sampai bila-bila pun kita takkan kahwin. Abang kenal sangat dengan anak abang tu. Keras kepala macam arwah dulu. Sebab itulah sampai sudah abang tak tahu Safura tu ada kanser. Terlalu berahsia. Bila sakit tak nak ke klinik. Makan ubat pun sorok-sorok."
"Dia tak mahu abang risau tu..."
"Risau? Huh! Perbuatan dia tu membuatkan abang rasa bersalah seumur hidup tau tak? Isteri sendiri. Teman sekatil. Tapi abang langsung tak tahu yang dia tengah sakit. Depan abang dia nampak sihat. Tapi..." Sufandi menumbuk peha sendiri.
Terkemam bibir Kamsiah. Sedih dan rasa bersalah menjadi satu. Di dalam benak sudah terbayang kehidupan yang bakal dilalui nanti. Walaupun sudah lama mengenali Sufandi dan Sakinah namun dia pasti keadaan sekarang terlalu berbeza. Dia bukan lagi pekerja Sufandi. Dia bukan setiausaha yang sentiasa menolong Sufandi untuk menjemput Sakinah di pusat asuhan ketika dia sibuk di pejabat. Sekarang dia adalah pengganti rakan baiknya, Safura. Kamsiah adalah ahli baru di dalam rumah ini. Segala perihal makan, minum dan segala keperluan Sufandi dan Sakinah akan digalas oleh Kamsiah mulai sekarang.
"Jomlah masuk tidur. Besok-besok ajelah kita sambung pujuk Sakinah," ajak Sufandi.
"Err, abang masuk dulu ya. Kam nak jenguk Kinah kejap."
"Tak payahlah. Angin dia belum okey tu."
Sufandi menarik tangan Kamsiah. Namun lengannya pula dipaut erat. Mata saling bertenungan beberapa saat. Melihat gelengan Kamsiah menerbitkan senyum kelat di bibir Sufandi. Dalam keterpaksaan dia melepaskan pegangan tangan lalu beralih ke pipi Kamsiah.
"Kalau dia masih belum okey Kam biarkan aje tau. Abang takut dia makin agresif nanti."
Kamsiah senyum. Tangan suaminya diraih lalu dikucup lembut. "Kam pun sayang nyawa sendiri juga."
YOU ARE READING
GALAU
No FicciónMemadam sejarah silam tidak semudah membuang kotoran di belacu usang. Makin dihindar makin mendekat. Mungkin hanya maut yang mampu menghalau segala musibat