BAB 1
Aku bersembunyi dalam dunia ni terlalu lama, aku dah tak tahu wajah aku yang sebenar. Walaupun aku sendiri takut menghadap topengku yang retak dan berdarah, semua orang nampak bahagia. Semua orang gembira dengan topeng aku yang sesak dan bau bangkai.
"Nan, ikut saya ke pejabat." Pengurus syarikat, Haleem, berlalu dengan muka ketat tanpa pernah peduli untuk singgah.
Sungguhpun begitu aku agak suka dia, sekurang-kurangnya Haleem bukan talam dua muka yang tersenyum di depan dan menyeringai di belakang. Hubungan kami hanya sekadar pekerja dan majikan, itu pun paling efektif hanya di pejabat.
"Ya Encik Haleem?"
"Maaf terpaksa beritahu kamu dalam keadaan ekonomi yang macam sekarang."
"Ya... teruskan."
"Kamu tahu yang kamu dah lukakan hati anak pengerusi syarikat Interglobal Holding kan?"
"Saya tak rasa itu ada kena-mengena..."
"Ia ada kena-mengena dengan perbincangan kita. Ia semuanya tentang perbincangan kita. Kontrak antara syarikat ni dengan Interglobal Holding tak dibenarkan lulus sebab anak pengerusi syarikat yang nak macam tu. Kamu faham sekarang? Tangan pengerusi terikat dengan anaknya dan tangan saya terikat dengan pengerusi."
Dan leher aku yang terjerut macam anjing tersepit di antara mereka.
"Baik. Saya faham, Encik Haleem."
"Saya tahu kamu akan faham. Sekarang keluarlah. Perletakan jawatan kamu akan diberikan notis dalam tempoh 24 jam."
Aku kepal tangan di belakang, "Baik, encik."
Keluar dari bilik Haleem, budak-budak pejabat kelilingi aku.
"Hei bad mood nampak."
"Hei Hasnan. Kau okey tak ni? Bos panggil sebab apa?"
"Aku kena buanglah."
Salah seorang daripada mereka terkejut, dan aku lebih terkejut sebab terkejutnya dibuat-buat. Dia suka aku kena buang ke? Oh, kalau aku tak ada, dia dapat naik pangkat. Kenapa aku lambat pick-up? Mungkin aku lupa, aku baru kena buang. Gelegak emosi aku belum reda lagi.
"Sebab apa botak tu buang kau Nan?"
"Tak tahu, kau tanyalah dia."
"Janganlah marah Nan. Dunia politik dalaman rasanya ni. Mungkin ada yang tak suka kau kot."
"Yalah Nan. Lepaskan jelah. Kau tu ada bakat. Keluar syarikat ni, syarikat lain mesti nak punya."
"Aku tak apa-apa." Senyum, hatiku kelam. "Macam kau cakaplah, banyak lagi syarikat lain yang nakkan khidmat aku. Bukan syarikat ni je."
"Ha macam tulah Nan. Aku tahu yang kau ni kuat semangat. Sabarlah ya?"
Senyum. Angguk. Aku keluar daripada pejabat yang dipenuhi makhluk yang langsung tak memberi makna pada aku kecuali sekadar tempat aku habiskan waktu sementara menunggu gaji masuk.
***
Rokok perlahan-lahan membakar paru-paru. Hari ni bukan hari yang teruk. Malahan ini bukan hari yang teruk langsung. Keadaan ini normal. Hiruk-pikuk Kuala Lumpur dari jejantas kotor, sentuhan lelaki perengus yang tak reti basuh tangan, yang balik kerja tak sempat mandi. Ya, ini normal.
Asap rokok aku hirup, kemudian hembus. 'Spirit-spirit' rokok mencapah berpecah di muka. Aku berpaling semula menghadap bandar. Asap nikotin akhirnya berlalu pergi dengan tenang. Aku sadaikan dagu ke tapak tangan.
YOU ARE READING
(preview) TOPENG - sebuah novel Bali Balim
Mystery / ThrillerApa rasanya memakai topeng di hadapan manusia? Tersenyum masa marah, ketawa masa hati kelam. Aku dibuang sejak bayi dan hidup meringkuk dalam memori demi memori yang memberi kesan mendalam pada jiwaku, wajahku, kerana topengku kini berlapis-lapis. A...