Stesen Komuter Kuala Lumpur.
Lama juga dia tak naik komuter. Sejak membeli kereta dah jarang sangat dia menggunakan pengangkutan awam. Tetapi, hari ini untuk kesekian lamanya dia menggunakan kembali, demi mahu bertemu dengan makwe seorang ini.
+Hai Eja. Ni Reza. Kita jumpa di Langkawi hari tu. Remember me?
-Hai, Reza. Ye, saya belum lupa :)
Kerana balasan mesej Eja yang itu, dia jadi berani untuk mengajak Eja bertemu mata.
+Boleh kita jumpa?
+Saya kena pulangkan semula hadiah Eja tu.
+Awal sangat Eja berikan hadiah kahwinnya.
+Saya ni calon pun belum jumpa lagi.
+Calon yang ada pun dah lari.
+Jadi, hadiah tu patut saya pulangkan balik.
Setiap ayat itu dihantar berbeza tempohnya, selang beberapa saat juga. Hampir beberapa minit berlalu, sebelum dia berputus asa akhirnya Eja menjawab juga.
-Jumpa kat stesen komuter KL, boleh?
-Saya ada kat sana besok. Around 10 a.m.
Paat tarik nafas lega. Tak kesahlah di mana pun, asalkan Eja sudi berjumpa dengannya. Sekurang-kurangnya dia masih punya peluang untuk meminta maaf kepada Eja. Tentang hal di lapangan terbang tempoh hari.
"Stesen Kuala Lumpur. Kuala Lumpur Station." Pengumuman daripada operator perempuan kedengaran dari corong pembesar suara. Membawanya kembali pada hari ini. Perbualan di WhatsApp dengan Eja semalam itu tidak diapanjangkan.
+Ok. Jumpa esok.
Ringkas mesejnya membalas, mengakhiri 'perbualan' malam tadi.
Dia sengaja, sekurang-kurangnya dia masih punya modal untuk memulakan perbualan. Kalau semalamnya sudah puas berbual, apalagi yang tinggal untuk hari ini.
Train mulai berhenti. Dia yang sedia berdiri itu sekadar menunggu pintu terbuka saja. Hari ini orang agak ramai. Cuti hujung minggu. Tetapi, di stesen ini tidak ramai yang turun.
Sebaik pintu train terbuka, dia melangkah keluar dengan berhati-hati. Di kaki lima stesen dia masih teragak-agak, ke arah mana yang perlu dia tuju. Di dalam perbualan mesej semalam, mereka tidak menyatakan tempat secara tepat, sekadar menyebut nama stesen komuter saja.
Dia masih setia berdiri di tempat dia turun tadi. Matanya melilau sekeliling, kalau-kalau ternampak kelibat Eja.
Elok saja keretapi mula bergerak pergi, dia memandang ke seberang sana. Ke arah rail keretapi yang bertentangan. Matanya masih cuba mengenal pasti di mana Eja berada. Saat itu juga wajah Eja menyapa pandangannya. Ada senyuman tergaris di situ, di bibir makwe yang dia terjumpa beberapa hari yang lalu di Langkawi.
Melihat Eja yang sedang melambai, bibirnya spontan mengukir senyum. Lambaian Eja itu dibalasnya.
Dejaavu. Keadaan mereka sekarang ini seperti di akhir pertemuan mereka sebelum ini.
Dia, Eja saling bertentangan. Bezanya kali ini lambaian mereka bukanlah ucapan perpisahan, sebaliknya permulaan satu pertemuan.
Senyumnya dikoyak, menjadi semakin lebar.
***
Setiap kali keretapi dari arah bertentangan tiba, dadanya bagaikan dipalu seperti gendang. Berdetak kuat. Terasa hendak luruh jantung pun ada.
Setiap kali keretapi berhenti, setiap kali itulah dia menahan nafas. Selepas itu buat sesi tarik dan hembus nafas seperti ketika membuat regangan otot.
Jari jemari yang basah dek peluh itu digosok pada seluarnya berkali-kali. Matanya langsung tak lepas daripada memandang ke arah seberang.
Jam di tangan dilirik sekali lagi. Entah sudah berapa kali dia melihat ke jam tangan, bilangannya sudah tak terhitung.
Apabila diingat semula perbualannya dengan Reza semalam, ada terselit rasa menyesal juga. Sepatutnya dia memilih tempat yang lebih bagus. Contohnya seperti di mall atau café. Boleh juga dia buat windows shopping. Atau paling tidak menjamu tekak, telinga dan matanya jika duduk menunggu di café.
Ini tidak, setiap kali nampak keretapi dia jadi tak senang duduk. Sudahlah panas, hingar pula dek bunyi keretapi. Walaupun bunyi itu hanya wujud pada waktu-waktu tertentu saja, berlaku pada setiap kali keretapi lalu.
Dia buat keputusan untuk bertemu di sini disebabkan juniornya zaman belajar MASKOM ada membuat penggambaran di sekitar sini. Pembikinan sebuah klip video untuk sebuah peraduan di stesen tv.
Sebenarnya, dia boleh saja tidak datang ke sini. Pembikinan video tersebut tidak memerlukan kemunculannya secara visual. Dia hanya diminta menyumbangkan suara bagi latar video tersebut. Dia datang sini pun sekadar mahu melihat-lihat dan memberikan sokongan moral.
Untuk itu, sengaja dia mengatur pertemuan di tempat ini. Kalaupun Rza tak datang, dia tak adalah membuang masa sangat. Ataupun, jika pertemuan dia dan Reza itu tidak mengambil masa yang lama, dia boleh saja merayap di sekitar sini. Alasan untuk menjelajah kotaraya, barangkali. Ke Sogo mencuci mata pun boleh jadi.
Eja membuang pandangannya ke seberang landasan. Team juniornya itu nampak sedang bertungkus lumus bagi mendapatkan shoot yang terbaik. Merakam seorang lelaki yang duduk secara bertentang dengannya.
Pada tangan model lelaki tersebut terdapat sebuah gitar. Beberapa ketika, sebuah lagu mula berkemundang. Bunyinya jelas tanpa kehadiran sebuah keretapi.
Pertama kali mendengar lagu baru ada rasa janggal pada pendengarannya. Lama kelamaan dia sendiri tenggelam di dalam lagu tersebut. Debar yang dia alami sejak dari mula tiba di sini semakin lama semakin berkurangan. Kini, ketenangan yang mula dia alami.
Namun, tumpuannya pada lagu tersebut terganggu dengan bunyi sebuah keretapi yang baru tiba. Sebaik saja keretapi pergi, pandangannya kembali kepada model lelaki yang tadi, masih mendendangkan lagu. Sehinggalah pandangannya beralih kepada kelibat yang berdiri tidak jauh dari tempat model tersebut.
Reza. Desis hatinya.
Daripada duduk dia bingkas berdiri. Memandang ke arah Reza yang masih tidak nampak akan dirinya. Diperhatikan saja telatah Reza yang sedang meninjau mata ke sekeliling stesen, mencari dia.
Melihat Reza begitu, dia tersenyum nipis. Itulah mimik wajah Reza sewaktu dia nampak di Pulau Payar tempoh hari.
Telefon bimbit dikeluarkan, mahu menghubungi Reza. Tetapi, belum sempat taliannya dihubungkan, lelaki itu sudah perasaan akan kehadirannya.
Tangan yang masih menggengam telefon bimbit itu diangkat separas bahu, dilambai pada Reza yang berdiri di seberang sana. Sapaan itu hadir bersama sebuah senyuman untuk Reza.
YOU ARE READING
TRIP (tribute version - Jemari Seni Publishing)
AléatoirePada awalnya TRIP ini ditulis semata-mata untuk merakamkan percutian semasa di Langkawi dulu. Kemudian, cerita ringkas ni mendapat perhatian daripada rakan-rakan pembaca. Jadi, saya berhasrat sambung menjadi sebuah novel dan hantar kepada penerbit J...