Rahsia Hati

252 4 1
                                    

Menjadi rutin harian aku apabila bulan puasa, selepas tamat saja kuliah aku dan rakan-rakan akan pergi ke bazaar untuk membeli makanan sebagai juadah berbuka puasa. Walaupun penat menelaah pelajaran masih terasa namun rasa nikmat berbuka ramai-ramai amatlah berlainan. Tetapi pada hari ini aku menerima telefon dari mak long yang meminta aku untuk pulang ke rumah untuk berbuka bersama-sama. Bukan soal itu yang menjadikan fikiran aku runsing sebaliknya berita kepulangan Iqmi Maliki, anak teruna mak long merangkap abang saudara aku menjadikan aku serba tidak kena sepanjang hari itu.

Hubungan aku dengan keluarga mak long bermula semenjak umur aku sebelas tahun manakala Iqmi ketika itu tujuh belas tahun. Selepas pemergian ibu bapaku dan ayah Iqmi dalam nahas jalan raya, mak longlah yang menjaga dan membesarkan aku. Tetapi sebelum sempat aku meningkat remaja Iqmi telahpun berangkat ke luar negara untuk menyambung pengajiannya. Dan sehinggalah menginjak sepuluh tahun lamanya aku tidak pernah bertemu lagi dengan Iqmi.

Tetapi pada hari ini aku akan bertemu semula dengannya malah akan tinggal serumah dengan Iqmi. Aku semakin terasa janggalnya kerana semasa kecil-kecil dulu aku pernah menyimpan perasaan terhadap Iqmi. Malangnya aku hanya bertepuk sebelah tangan dan Iqmi pula menyukai rakan kelasnya. Rentetan peristiwa itu akibat rasa malu aku jarang menegur dan bermain dengannya sehinggalah dia pergi ke luar negara.

"Tambah lagi Iqmi, bukan senang nak dapat makan nasi kat sana" beria-ia mak long melayan Iqmi yang memang sedang berselera.

"Cedok nasi untuk abang" pinta mak long pula kepada aku sementelah periuk nasi disebelah aku saja.

Terkial-kial aku untuk menyedok nasi ke dalam pinggannya. Sejujurnya aku begitu terkejut dengan gelaran 'abang' yang diberi. Tiba-tiba aku teringat sewaktu kecil dulu aku memanggil Iqmi dengan gelaran itu. Ah, mak long.

"Terima kasih" ucapnya. Aku tahu ada nada janggal juga disuaranya.

"Adik ambik kos apa sekarang? Kata mak lagi setahun nak habis kan?"

Adik? Terasa sungguh kelat nasi yang aku yang telan seolah-olah aku sedang makan pasir saja. Aku berdehem seketika mencari suara aku yang tiba-tiba hilang akibat rasa kejutan itu.

"Orang ambik accounting. Ha'ah baru tahun dua"

Selepas berbuka puasa, kami berjemaah bersama-sama. Ketika Iqmi mengambil tempat imam aku berasa was-was maklumlah bertahun-tahun tinggal di luar negara macam-macam benda boleh berlaku. Tetapi rupanya jangkaan aku meleset. Iqmi fasih dan lancar saja menuturkan ayat-ayat al-Quran. Malah bacaannya juga penuh syahdu dan teratur. Aku berasa kagum dengannya ketika itu.

"Kau nak makan apa buka nanti?" tanya aku pada Qila, rakan bilikku semenjak semester satu lagi.

"Entah, tak fikir lagi. Eh, hari itu lepas kuliah kenapa tiba-tiba kau balik rumah?"

"Abang saudara aku baliklah" balasku sambil menghadap ke hadapan. Bahaya sewaktu kelas Puan Azizah ini. Matanya yang tajam memang pantang jika melihat ada pelajar yang leka didalam kelas.

"Aik, sejak bila pulak kau ada abang saudara?" seperti aku, Qila juga terkejut dengan kedatangan abang saudara baru tiba-tiba ini.

"Sejak hari tulah"

"Hah?"

"Hah ada apa Aqila? Apa yang awak tak faham tu?" tiba-tiba suara Puan Azizah kedengaran menegur Qila. Nak tak nak terpaksalah Qila menghadap.

"Mengigau ye awak dalam kelas. Dreaming!" Ya, Aqila memang sedang berkhayal. Sampukku dalam hati dan Qila memandang aku dengan muka tak puas hati.

"Baik kau cakap betul-betul kat aku. Siapa abang saudara kau?"

Rahsia HatiWhere stories live. Discover now