Meskipun masa telah jauh berlalu pergi, namun kenangan tentang apa yang pernah bertandang dalam hidup sukar sekali dilupakan. Pada tempat yang kita pernah bersua muka itu ada cerita tentang suka dan duka, tangis dan ketawa, tentang juga bicara-bicara dahulu akan janji-janji yang pernah kita materai dan persetujui dalam realiti, sehingga kadang terbawa-bawa ke dalam mimpi..
.
Namun, masa itu hadir merubah kehidupan, sedang tempat pula hadir menjarakkan sebuah pertemuan. Kita semakin punya banyak cabaran yang mengajar tentang kedewasaan. Apa yang mampu meneguhkan sebuah pendirian, hanyalah keikhlasan dari hati yang jujur dan telus pada cita-cita yang diimpikan.Kita lemah ketika berseorangan dan menjadi kuat dengan pertolongan Tuhan. Dalam kesukaran menuju sebuah impian, akan ada waktu Tuhan menguji kita dengan berbagai bebanan, namun Dia menghantarkan pula insan-insan yang sudi menghulurkan tangan, yang memudahkan urusan bagi sebuah perjalanan. Samada sementara ataupun lama, mereka tetap membawa kebaikan untuk kita.
.
Cerita hidup antara kita seringkali berbeza dan selalunya tak sama. Akan ada bahagian yang dikurangkan dan akan ada pula bahagian yang dilebihkan. Kesemuanya itu adalah takdir dari Tuhan yang melangkaui pemikiran seorang insan. Kerana kita hidup dalam garis masa yang berbeza, kita akan dapati bahawa apa yang berlaku senantiasa tepat pada waktunya meskipun setiap daripada kita memiliki 24 jam yang sama.
.
Takdir Tuhan itu tidak akan sesekali berganjak dari waktunya, tak terlebih walau sedetik, tak terkurang walau sesaat, dan kita akan tetap menempuhinya dengan sabar dan sedar meskipun dalam pukulan ombak yang tegar. Moga kita tetap istiqamah dalam meniti sebuah perjalanan kehidupan, sehingga sampai waktunya nanti, kita kembali bertemu Allah ‘Azzawajalla.Kredit: Syafii. Sahabat JT