BAB 1

1.6K 35 1
                                    

ISTIHANA menyumbat telinganya dengan kapas. Tidak mahu mendengar bicara ayah dan ibunya. Asyik-asyik bersembang tentang kakaknya, Ismalina. Menyampah dia mendengarnya.

Ismalina itu dapat suami kaya-raya katanya. Tapi, sekali habuk pun tak pernah dibawa balik ke rumah. Suaminya berlagak, mungkin. Mana nak padan keluarga Ismalina yang tak kaya serupa mereka.

"Kau tak mahu cari laki, Isti? Oh, ibu lupa. Kau tak ada calon pun," katanya.

Sipi-sipi saja kata-kata ibunya itu menerobos masuk ke dalam telinga Istihana. Berdesing juga telinganya.

"Haisy, kenapa cakap macam tu dengan Isti? Berapa kali abang nak cakap, layan Isti macam Piah layan Isma," tegur Encik Ishak.

"Huh, nak layan macam Isma macam mana? Dahlah sekolah pun tak pandai. STPM pun cukup-cukup makan. Tu sebabnya jadi kerani saja. Cuba tengok Isma, apa yang dia dapat sekarang dengan belajar pandai-pandai," juih Puan Sofiah.

Dia cukup tak berkenan dengan kerja anak bongsunya itu. Tak boleh nak dibanggakan langsung. Kerani cabuk kat kilang.

"Itu anak kita juga Piah. Layan sama ratalah. Jangan nak buat macam dia tu anak tiri pula," kata Encik Ishak.

"Isti tak kisah ayah." Tiba-tiba Istihana menjawab. Dia menarik kapas yang ada di dalam telinganya.

"Cuba tengok tu. Boleh dia sumbat telinga dia dengan kapas," tuding Puan Sofiah.

Puan Sofiah menggigit bibirnya. Kalaulah Istihana itu baru berusia 10 tahun atau 12 tahun, sudah dipiatnya telinga Istihana. Ini umur dah dekat 30 tahun, takkanlah dia mahu piat telinga lagi?

"Sudahlah tu, Piah. Isti tu tak larat nak dengar awak asyik membebel saja. Dia tu ada hati dan perasaan juga." Encik Ishak menurunkan suhu kemarahan isterinya.

Terkumat-kamit Puan Sofiah membalas kata-kata suaminya.

Istihana melangkah keluar dari rumah. Hari cuti memang hari yang memenatkan dengan bebelan ibunya. Sehari tak membebel bukan Puan Sofiahlah namanya. Tak kira tempat nak membebel. Janji dia dapat membebel. Motosikal Yamaha LC dihidupkan enjinnya.

"Asal aku nak cakap saja, kau keluar." Mulut Puan Sofiah masih tak berhenti.

Istihana terus pecut motosikalnya. Biarlah nak membebel apa pun, janji dia tak dengar.

"Tengok tu, dengan pakai seluar serupa jantan." Tangannya ditudingkan kepada Istihana yang sudah pergi.

Encik Ishak hanya menggeleng kepala. Kedegilan isterinya itu memang tak dapat disangkal lagi. Hanya kerana Istihana tidak sepandai Ismalina, dia membezakan kasih sayang antara anak-anak mereka.

"Piah fikirlah, selama ini Isti yang banyak tolong kita. Isma?" tebak Encik Ishak.

"Abang jangan pandai-pandai nak bezakan mereka berdua. Isma tu kerja kat sana gajinya mahal, tapi kos sara hidup di sana mahal."

Encik Ishak tak mampu cakap apa-apa lagi. Puan Sofiah tetap membutakan matanya melihat kebaikan Istihana.

MOTOSIKAL diletakkan di bawah pokok rambutan. Istihana hanya menanti di atas motosikal. Apabila Raziana memberitahu dia baru sampai dari Pulau Pinang, terus dia menunggang motosikalnya ke rumah Raziana. Jarak sejauh 20 kilometer tidak terasa langsung.

"Hoi!" sergah Raziana sambil menolak bahu belakang Istihana.

Hampir-hampir Istihana tertonggeng ke tanah. Dia pantas berkalih. Tersengih memandang kawannya itu.

Raziana tersengih juga.

"Kau ni, balik mengejut," katanya.

"Hmm, aku nak kejutkan kau," ujar Raziana sambil ketawa kecil.

Dia duduk di atas kerusi yang sudah sedia ada di situ. Kerusi dan meja simen berwarna oren.

"Kau seronok duduk sana?" tanya Istihana.

"Seronoklah. Pulau Pinang tu." Raziana tersengih.

"Untunglah kau." Istihana berkata perlahan.

Dia juga teringin nak berhijrah, tapi dia tetap ada rasa tanggungjawab kepada ibu dan ayahnya. Sebab itulah dia tidak pergi. Mungkin suatu hari nanti.

"Jomlah ikut aku. Cari kerja kat sana," ajak Raziana.

"Hmm, tak sampai seru lagi. Aku nak duduk di kampung dulu," ujar Istihana meskipun hatinya membuak-buak ingin pergi dari kampung.

Jauh daripada bebelan ibunya. Sekurang-kurangnya dia tak perlu menambah dosa kerana asyik melawan cakap ibunya.

"Kau anak yang baik, Isti," kata Raziana. Dia sudah faham dengan Istihana.

"Kakak kau macam mana? Tak balik ke lepas dia kahwin tu?" tanya Raziana.

Raziana pandang Istihana. Ismalina adalah anak murid kesayangan cikgu-cikgu ketika sekolah. Pandai dan cantik. Pakej lengkap seorang perempuan.

"Hmm, dah setengah tahun pun dia kahwin. Ibu dan ayah aku pun dijemput pergi sehari sebelum dia kahwin. Dia ingat Australia tu dekat macam Pulau Pinang tu ke? Isma memang tak kenang budi. Kami berhempas-pulas kat sini tolong dia belajar, dia buat kami semua macam sampah. Tapi, bagi ibu aku, Isma tetap anak yang baik," ujar Istihana, menunduk.

Raziana mengusap belakang kawannya. Kasihan dengan nasib yang menimpa Istihana. Ibu sendiri tidak sukakan Istihana.

Tapi, Istihana tabah dengan apa yang berlaku dalam hidupnya. Merungut, tapi apa-apa saja yang ibunya perlukan, Istihana tunaikan. Sayangnya, seorang ibu buta menilai kebaikan Istihana.

"Memanglah anak yang tinggal sekali ni lain layanannya. Tapi, aku tahu kau tabah. Kau buat ibu kau tu macam gajah di hujung kampung, tapi tak nampak. Kerja kau okey ke kat kilang tu?" tanya Raziana.

"Okey. Aku ni orang tak kacau aku, aku pun tak kacau orang," balas Istihana. Dia sengih.

"Kau tak nak kahwin ke? Kalau kahwin, kau boleh ikut suami kau pergi jauh-jauh," kata Raziana.

Dia sudah berura-ura mahu berkahwin dengan kekasih hatinya. Sebab itulah dia bertanya kepada Istihana.

"Malaslah aku. Nanti hal dengan suami pula. Dengan ibu aku pun tak selesai lagi, nak cari bala dengan lelaki yang bernama suami pula. Tak naklah aku." Istihana menggelengkan kepalanya.

Tak mahu sesakkan kepalanya dengan masalah lelaki. Dia pernah terluka sebab putus cinta. Meratap terlalu lama ketika itu terjadi. Walaupun ketika itu hanya cinta ketika di sekolah. Tapi, itu kali pertama Istihana jatuh cinta membuatkan dia benar-benar terluka apabila ditinggalkan.

Sekarang, dia tak mahu lagi meratap untuk kali kedua. Lebih baik sendiri.

"Kau tanya aku, kau dah nak kahwin ke?" tanya Istihana. Matanya memaku ke wajah Raziana.

"Tak lama lagi. Lagipun umur kita ni patut kahwin dah. Kau tengok kawan-kawan sekolah kita yang dah kahwin, ada anak yang dah sekolah dah. Kita? Masih sendiri." Raziana gelak.

"Aku tunggu kau kahwin dulu, lepas tu baru aku kahwin." Istihana gelak kecil.

"Aku pegang janji kau," ujar Raziana.

Istihana angkat tangannya. Itu hanya janji kosongnya kepada Raziana. Istihana ketawa kecil.

"Jan atau yang lain?" tanya Istihana.

Raziana berkawan dengan tiga orang lelaki. Nak cari yang serasi katanya.

"Mestilah Jan. Yang dua lagi tu aku kawan tanpa melibatkan perasaan pun." Raziana gelak.

Terbayang wajah Jan, si tentera.

Matahari semakin menghilang. Istihana terus meminta diri. Sekali-sekala bersembang dan bertentang mata dengan Raziana agak menyeronokkan. Selalunya mereka bersembang di aplikasi WhatsApp saja.



















JANGAN TAK BALAS CINTAKUWhere stories live. Discover now