BAB 6

798 30 0
                                    

ILHAN pandang Ismalina yang sedang menyikat rambut di depan cermin. Rambut yang semakin gugur dengan banyak itu dimasukkan ke dalam tong sampah.

Ismalina pandang rambut palsunya. Dengan rambut palsu itulah dia menyembunyikan kepalanya yang hampir botak.

"Semakin banyak." Ismalina sengih. Dia berpaling kepada Ilhan.

Luarannya Ismalina nampak sihat, tapi dalamannya dia semakin tidak sihat.

"Awak kena kuat, Isma," kata Ilhan, memberi kata-kata perangsang.

Sejak dulu lagi, dia hanya dapat memberi sokongan.

"Entahlah. Syukur kita sempat balik ke Malaysia." Ismalina tersenyum tawar.

Galau hatinya kerana apabila ajal hampir tiba, barulah dia teringat mahu pulang ke sisi keluarganya. Dahulu, ketika sihat dia lupakan keluarganya yang banyak menyokongnya. Dia seperti kacang lupakan kulit.

"Esok saya nak balik ke Pulau Pinang. Kalau awak nak ikut pun tak apa. Nanti kita datang lagi ke sini," usul Ilhan.

Dia senyum memandang Ismalina.

"Tak apalah, saya nak tinggal di sini," balas Ismalina.

"Nanti Deeja macam mana? Takut dia merengek pula."

Ilhan bimbang dengan Deeja yang kerap merengek sejak akhir-akhir ini. Tak tahu kenapa. Padahal sebelum ini Deeja senang untuk dijaga.

"Tak apa, ibu dan ayah ada. Isti pun ada," ujar Ismalina.

"Isti tak suka budak-budak," kata Ilhan.

"Eh, mana tahu? Han stalk dia ke?" Ismalina ketawa kecil.

"Dia yang cakap," balas Ilhan.

Ismalina berjalan ke katil. Dia duduk di sisi Ilhan. Jemari Ilhan dipegang dan diciumnya.

"Han, tanpa awak, saya tak mampu teruskan hidup," ujarnya lagi. Diciumnya lagi jemari Ilhan.

"Dah banyak kali awak beritahu perkara yang sama, Isma."

"Saya tak jemu, Han. Awaklah penyelamat kami berdua. Tanpa awak, dah lama saya mati," kata Ismalina. Air mata bergenang di tubir matanya.

Ilhan capai dagu Ismalina. Mereka bertentang mata. Ilhan mendaratkan ciuman di dahi Ismalina.

"Bila nak cakap kepada ibu dan ayah pasal ni?" tanya Ilhan.

Jika simpan lama-lama pun nanti mereka akan tahu juga. Bahu Ismalina dipeluknya.

"Tunggu masa yang sesuai. Han kena ada sekali ya." Ismalina mendongak, memandang Ilhan.

"Lepas saya balik dari Pulau Pinang nanti, kita beritahu," usul Ilhan.

"Terima kasih, Han."

"Kenapa suka sangat ucap terima kasih ni? Kita suami isteri, Isma," balas Ilhan.

"Awak tahu kenapa saya selalu ucap terima kasih, Han." Ismalina senyum.

Ilhan hanya menggelengkan kepalanya.

ISMALINA pandang Istihana yang sedang membasuh motosikalnya. Kerusi dibawa mendekat dengan Istihana. Waktu inilah dia boleh bercakap dengan Istihana. Ibunya membawa Deeja ke rumah ibu saudara mereka.

"Isti," panggil Ismalina.

Istihana pantas mendongak. Ekspresi mukanya tidak manis ketika memandang Ismalina.

"Aku nak cakap sesuatu dengan kau," kata Ismalina.

"Apanya?" Acuh tak acuh Istihana bertanya.

Dia sebenarnya malas bersembang dengan Ismalina. Setiap kali memandang Ismalina, dia teringatkan Firzan yang meninggalkannya. Dah lama dia lupakan Firhan, jantan tak guna itu. Menabur janji manis, tapi bila jumpa Ismalina, dia lupakan Istihana terus.

JANGAN TAK BALAS CINTAKUWhere stories live. Discover now