ILHAN pandang Istihana yang sedang duduk tidak memberi reaksi pada percakapan ibunya. Ilhan tahu Istihana menyumbat kapas ke dalam telinganya. Kalaulah dia tahu apa yang ibunya sedang bicarakan, mesti Istihana akan mengamuk.
Puan Sofiah menghampiri Istihana. Kepala Istihana ditolaknya kasar. Barulah Istihana tengadah. Dia memandang ibunya.
Puan Sofiah mengangkat tudung Istihana. Telinga Istihana terus dibeleknya. Kapas yang berada di dalam telinga Istihana terus ditarik keluar dan dilempar ke tanah.
"Ibu!" Istihana terjerit.
Ibunya menjegilkan mata kepadanya.
"Aku cakap, kau tutup telinga dengan kapas. Kau memang tak hormatkan aku," sembur Puan Sofiah.
Tangannya sudah naik sekali untuk menolak kepala Istihana.
"Piah, jangan ikut hati sangat." Encik Ishak menegur isterinya.
"Dengar sini! Aku nak kau kahwin dengan Han. Biar Deeja dapat mak baru pun daripada keturunan kita juga," kata Puan Sofiah.
Tiada ayat pujukan. Terus kepada perkara penting.
Istihana? Dia ternganga dengan usul ibunya. Dia pandang ayahnya sebelum mendaratkan matanya ke mata Ilhan.
"Tak naklah Isti! Ibu ingat Isti ni apa? Boleh pula ibu paksa-paksa. Isti manusia, ibu!" jerit Istihana.
Dia bukannya barang yang boleh ditolak ke sana sini. Dia ada hati dan perasaan.
"Aku dengan abah dengar permintaan terakhir Isma kepada kau. Kau sanggup tolak?"
"Isma dah meninggal, ibu. Kalaupun kita tak ikut apa yang dia mahu, tak berdosa pun. Ibu nak orang cakap kubur anak masih merah, ibu kahwinkan pula anak kedua dengan menantu?" Istihana tidak puas hati.
Dia bangun, mengharapkan Ilhan juga menolak.
"Habis, kau nak tunggu sampai bila? Sampai berkedut baru kau nak kahwin? Kau tu tak ada lelaki yang nak. Kenalah paksa kahwin macam ni," cebik Puan Sofiah.
"Ibu benci sangat dengan Isti, kenapa ibu tak picit aje hidung Isti masa Isti kecik? Senang. Tak payah Isti dapat dosa kerana melawan cakap ibu." Istihana sudah tidak tahan.
Terlalu lama dia memendam rasa. Rasa yang mungkin menambah dosanya sebagai seorang anak.
"Aku tak benci kau." Suara Puan Sofiah kendur.
"Piah, Isti tak nak, jangan dipaksa lagi," kata Encik Ishak.
"Han dah setuju. Walau bagaimanapun, Isti kena kahwin juga dengan Han." Puan Sofiah berkeras.
Istihana terus memaku pandang kepada Ilhan. Ilhan setuju?! Ah, dasar lelaki gila seks. Istihana mencebik.
"Kau pun sama gila dengan ibu aku ke?" Istihana menuding jarinya kepada Ilhan.
Mata Istihana merah kerana marah. Muka tak usah ceritalah, macam singa nak makan orang. Kalau boleh terjojol, agaknya dah terjojol bebola mata Istihana.
"Isti, cuba fikir untuk Deeja seketika. Isma pun tak mahu Deeja dijaga orang lain," pujuk Ilhan.
Dia bersetuju atas sebabnya yang tersendiri. Biarlah dia tidak cakap apa-apa sekarang. Biarlah alasan sekarang hanya pasal Deeja.
"Lagi-lagi budak tu. Aku dah cakap aku tak suka budak kecik. Kalau kerana budak tu tak ada maknanya, aku memang tak suka budak. Kalau kau dah gila seks sangat, pergilah kahwin dengan siapa-siapa. Kau kaya kan, mesti ramai perempuan berebutkan kau. Petik aje jari ramai yang menyendeng." Istihana sudah tidak dapat menahan hatinya yang panas.
YOU ARE READING
JANGAN TAK BALAS CINTAKU
RomanceWHATSAPP 013 2588069 WWW.DEARNOVELS.MY Tajuk: JANGAN TAK BALAS CINTAKU Penulis: Zaza Qry ISBN: 978-967-2116-16-5 Harga: RM25.00 / RM28.00 Istihana betul-betul rimas dengan bekas abang iparnya. Kubur isteri masih merah dia sudah bersetuju berkahwin...