Agama itu ada nilai seni bahasa, kesantunannya dan kelunakannya dalam berbicara. Apa yang terpacul pada kata-kata, itulah yang terbit dari hati nurani dan jiwa seorang manusia.
.
Hati yang baik akan tertarik pada kata-kata yang baik, manakala hati yang jahat akan tertarik pula pada kata-kata yang kesat. Lihatlah pada apa yang menjadi kesenangan hati. Jika senang dengan cacian dan kejian, maka begitulah rupa hati yang gusar dalam kebencian. Jika senang dengan kata-kata yang baik dan sopan, maka begitulah rupa hati yang tenang dalam kebaikan dan kebenaran.
.
Hati yang menyeru kepada perdamaian selalunya menuturkan kata yang menenangkan & menitipkan kebahagiaan, manakala hati menyeru kepada permusuhan selalunya melontarkan kata-kata yang menjelekkan serta menjengkelkan.
.
Berbicaralah dengan penuh kesopanan dan kesantunan. Jika bertegas, jangan sampai memaki. Jika berselisih, jangan sampai berkelahi. Jika berbeza, jangan sampai menghina. Kita semua miliki 26 aksara rumi yang sama. Cuma yang membezakannya adalah bagaimana kita menyusun dan menuturkannya menjadi kata yang baik, bermakna dan sesuai dengan apa yang hendak disampaikan.
.
Begitulah akhlak dalam berbicara. Akhlak yang baik akan meletakkan diri kita sesuai dengan kedudukan sebagai seorang manusia dan hamba Tuhan. Akhlak yang baik juga akan meletakkan orang lain sesuai dengan kedudukannya sebagai seorang manusia, hamba Tuhan dan juga saudara.
.
Perkataan itu ada kesan pada manusia, baik di dunia dan juga di akhirat sana. Maka pilihkah kata-kata yang baik sahaja. Kata-kata yang baik mendapat pahala, sedang kata-kata yang buruk mendapat dosa.
.
Demikianlah seruan Tuhan dalam al-Quran ;
“..dan ucapkanlah kepada manusia dengan perkataan-perkataan yang baik..” ( al-Baqarah:83 )Credit: Syafii.Sahabat JT