PROLOG

896 16 0
                                    

Oktober 2015

"OIT, sibuk nampak."

Aku tersentak apabila bahu aku tiba-tiba ditepuk dari belakang. Laju aku menoleh ke belakang.

"Hisy, kau ni. Salam mana salam? Terkejut aku."

Nasib tak terbang pasu kaktus di tangan. Mahunya bengkak seminggu dahi tu kena cium dengan kaktus ni.

"Salam? Dari tadi lagi aku bagi salam dekat luar, kau tak dengar ke? Dah pekak pula ke telinga tu?"

Sindiran Orked dibalas dengan sengihan. Asyik sangat melayan perasaan, sampai tak sedar dengan keadaan sekeliling.

"Kau dari mana?"

"Kafe."

Beberapa buah pasu bersaiz kecil aku susun sebaris menghadap tingkap. Cantik. Tapi, yang paling menarik perhatian aku sekarang adalah pokok bunga matahari yang baru berbunga.

"Eh, dari minggu lepas lagi aku tengok kau asyik tilik bunga ni saja. Ada benda yang spesial ke pasal bunga matahari ni? Adam bagi, eh?"

Soalan Orked membuatkan aku diam sejenak.

"Kau dengar tak aku tanya ni?"

Aku mengeluh perlahan sebelum pasu kecil di tangan Orked diambil dan diletakkan di tempatnya semula. "Aku tak tahu."

"Maksud kau?" Dahi Orked nampak berkerut.

"Aku tak tahu siapa yang bagi bunga ni."

Aku sendiri tak tahu bunga ni daripada siapa. Tapi, aku sangat yakin bukan Adam si pemberinya.

"Dah tu, kau dapat bunga ni dari mana?"

"Depan pintu masuk kafe aku."

"Bila?"

"Dua minggu lepas, semasa hari jadi aku."

Hanya nama Mr. Secret yang aku dapat sebagai klu melalui kad yang diberi. Itu pun aku masih ragu-ragu sama ada si pengirim ni lelaki atau perempuan walaupun dah bertulis Mr. di kad itu.

"Untunglah, ada peminat."

"Peminat?" Aku sengih. Rasa kelakar.

"Yalah, untunglah kau sebab dalam diam ada orang suka. Mungkin ada sebab dia rahsiakan identiti diri dia. Mungkin sebab dia belum bersedia untuk jumpa kau atau mungkin sebab dia adalah orang yang kau kenal sangat, macam..."

Aku pandang Orked yang sengaja buat ayat tergantung. Nak curi perhatian akulah tu.

"Macam?" Aku pun layankan juga, sekadar berbahasa.

"Macam Adam."

Terus riak muka aku berubah. "Adam?"

"Yalah. Adam. Kawan baik kau dunia akhirat. Manalah tahu dalam diam dia simpan perasaan dekat kau. Kau tak suka ke?" Orked angkat kening, mengusik.

Tiba-tiba aku rasa nak muntah bila bayangkan benda itu. Mustahil kut!

"Orked, kau dah lunch?"

"Dah kenapa tiba-tiba tanya aku dah lunch ke belum?"

"Sebab kalau belum, aku nak bagi kau lunch sup bunga tahi ayam dengan tapak kasut aku. Nak tak?"

Orked yang tadinya terpinga-pinga ketawa terkekeh-kekeh. Aku pula tayang muka tak puas hati.

"Jaga-jaga, Qina. Mulut aku ni boleh tahan masin juga. Kau kena ingat juga, kadang-kadang apa yang kau nampak pada luarannya tidak semestinya mencerminkan apa yang ada di dalam. Manusia boleh berubah kut."

Aku berdecit. Harap-harap apa yang minah ni cakap hanya sekadar di bibir saja, bukan pada realiti. Kalau ya, mungkin itu satu mimpi ngeri untuk aku.

JODOH AKU READY STOCKWhere stories live. Discover now