BAB 3

964 31 1
                                    


TUBUH Kamelia semakin lama semakin tidak bermaya. Seakan-akan ada bebanan yang dipikulnya. Semakin hari, dia semakin rasa tidak bersemangat dan tidak selesa. Rasa malas meluap-luap membaluti tubuhnya. Wajahnya yang putih kemerah-merahan juga sudah tiada, berganti pucat lesi. Dengan langkah kaki yang longlai, dia menapak mendapatkan bilik. Dia ingin segera tiba di biliknya. Sudah tidak berdaya rasanya untuk terus membiarkan rasa penat membebani jiwa. Dia perlu istirehat, fikirnya sendiri.

Bzzz... bzzzz... telefon bimbit di dalam poket bergetar menandakan ada pesanan baru yang diterima. Pantas Kamelia menyeluk poket seluarnya lalu mengeluarkan telefon bimbitnya itu. Laju dibuka aplikasi Whatsapp. Pesanan daripada sahabat sebiliknya dibaca sekilas sebelum dibalas seringkasnya. Kamelia segera menukar haluan sebaik sahaja membalas pesanan sahabatsahabatnya itu.

Keadaan agak bising di luar Perpustakaan Hang Nadim sebaik sahaja dia tiba. Terlihat Wirdatul sedang menunggu di luar perpustakaan manakala Shazwani dan Arliza pula pergi memulangkan buku di kaunter peminjaman dan pemulangan buku.

"Lambatnya dia orang ni," ujar Wirdatul separuh merungut.

"Ramai kot dekat dalam tu," balas Kamelia perlahan.

"Hisy! Bila sampai," ujar Wirdatul terkejut. 

Spontan diurut dadanya yang berdebar sambil matanya tetap ditalakan memandang ke arah Kamelia. Perlahan diatur nafas agar kembali tenang. Mulutnya pula tidak henti-henti beristighfar panjang.

Kamelia hanya menyengih memerhatikan tingkah Wirdatul. Sesekali dia menjengah ke laluan masuk Perpustakaan Hang Nadim. Kelibat Shazwani dan Arliza masih tidak kelihatan.

"Dah lama ke dia orang masuk dalam?" soal Kamelia, sengaja mengisi ruang di antara dia dan sahabatnya.

"Lama jugak, sejak aku Whatsapp kau tadi," balas Wirdatul perlahan.

Kamelia mengangguk sebelum kembali membuang pandang ke arah laluan masuk Perpustakaan Hang Nadim. Tidak lama, diliarkan pandangan matanya ke arah kawasan berhadapan perpustakaan itu. Awan biru sudah mula tiada, berganti senja nan kemerah-merahan.

Hu... hu... hu... Kamelia tersentak. Bunyi apa yang didengarnya tadi? Dadanya berdebar-debar. Meliar matanya memerhatikan lorongan jalan menuju ke Perpustakaan Hang Nadim yang mula suram. Tiada apa yang dilihat pada pandangan matanya selain keadaan yang tidak semeriah tadi. Kini, segalanya bertukar kelam sebaik sahaja remang senja menjala dada langit.

Hu... hu... hu... suara itu datang lagi. Kamelia terus-terusan mencari. Kini dia melebarkan pandangan mata ke sekeliling kawasan Perpustakaan Hang Nadim. Sah! Memang tiada apa yang boleh dikaitkan dengan suara tersebut. Rasa tidak tenteram makin kuat menghentak tangkai hatinya. Sekali lagi dia mengawasi kawasan sekitar. Tiada apa yang aneh pada pandangan matanya.

"Kenapa K?" soal Wirdatul. Sedari tadi dia memerhatikan tingkah

Kamelia. Sahabatnya itu seakan tidak selesa. Seperti ada yang mengganggu ketenteraman jiwa Kamelia. Wajahnya juga berubah pucat lesi dengan peluh yang mula berbintil di dahi.

"Aku dengar macam ada suara orang menangis," bisik Kamelia perlahan.

Wirdatul mengerutkan dahinya. Bunyi orang menangis? Semerta bulu roma tengkuknya merinding. Dia turut meliarkan pandangan matanya ke sekeliling. Deria pendengarannya turut ditajamkan. Hampa. Dia tidak mendengar suara tangisan seperti yang didakwa Kamelia.

"Aku tak dengar apa-apa pun," ujar Wirdatul juga dalam nada berbisik.

"Betul Moi! Aku dengar tadi," balas Kamelia agak tegas.

Wirdatul kembali meliarkan pandangan matanya. Hanya suasana senja yang menjadi panorama sekeliling Perpustakaan Hang Nadim. Langsung tiada sebarang bunyi yang mampu ditangkap halwa telinganya.

"Sorry guys, lambat!" Suara Shazwani mematikan tingkah Kamelia dan Wirdatul. Kedua-duanya segera membuang pandang ke arah Shazwani dan Arliza yang tersengih-sengih. Sesekali mereka membetulkan rambut yang mengerbang ditiup angin senja.

"Pulang yang tadi, pinjam yang ni pulak," tambah Arliza.

"Jomlah balik," ujar Kamelia.

Menonong dia berjalan dalam keadaan tergesa-gesa. Tingkahnya itu hanya diperhati pelik oleh Wirdatul sebelum dia turut mengatur langkah. Hatinya mula rasa tidak kena. Ya! Ada yang tidak kena dengan Kamelia.

Kisah Seram Malam Jumaat - KhianatWhere stories live. Discover now