Beberapa tahun kemudian...
PENAT sungguh Piah setelah seharian berada di sekolah. Masuk hari ini, sudah tiga minggu mereka berpuasa di bulan Ramadhan. Piah yang baru tiba di rumah, terus terbaring di kerusi rotan.
"Kenapalah lembik sangat kau hari ni Piah? Kalau opah tau ni, disuruhnya aku tidur kat reban ayam," bebel Piah seorang diri.
Kini Piah sudah berusia 15 tahun. Terasa cepat masa berlalu. Sudah lebih 10 tahun dia dibesarkan oleh Saleha. Perlahan-lahan Piah melangkah ke arah dapur. Ketika di dapur, Saleha sedang sibuk menyediakan bahan memasak.
"Opah..."
Opah yang baru sahaja selesai memarut kelapa, menoleh memandang Piah.
"Kenapa tercegat kat situ? Dengan baju tak tukar lagi. Pergi tukar baju, lepas tu solat. Dah solat tolong opah kat dapur," bebel Saleha.
Mak aiii... Dah macam keretapi pula opah ni membebel. Piah sudah cukup masak dengan perangai Saleha yang kuat berleter itu. Pelik pula dia melihat Saleha yang agak sibuk di dapur ketika ini. Setahu Piah, kebiasaannya mereka akan masak untuk berbuka puasa selepas waktu Asar.
Disebabkan hanya mereka berdua sahaja di rumah ini, mereka jarang memasak lauk yang banyak. Ada masanya mereka akan ke masjid untuk berbuka sahaja di sana.
"Kut ye pun opah, bagilah Piah rehat dulu. Ni kenapa banyak sangat lauk? Kita kan berdua aje. Ke opah ada nak buat kenduri?"
Piah terus duduk di meja dapur dan mengambil bakul kecil yang berada di hadapannya. Sambil berbual, tangannya ligat meleraikan daun pucuk ubi dari tangkai.
"Bukan kenduri, tapi malam ni keluarga pak long nak datang. Kan seminggu lagi nak raya..."
Tercengang Piah. Tanpa sedar, habis pucuk ubi di tangannya dikoyak-koyak sehingga hampir hancur.
"Opah biar betul? Semua ahli keluarga pak long ada ke nanti?" Piah sudah tidak senang duduk.
Makin lebar senyuman Saleha.
"Mestilah semua ada. Riha dengan Arul pun macam Piah juga dah bercuti sekolah. Makin meriahlah rumah kita ni, Piah."
"Abang Paan ada juga ke?" Takut-takut Piah bertanya.
Semakin berdebar Piah menanti jawapan Saleha. Kalau memang ada mamat beku tu, tak senang duduklah Piah jawabnya. Kali terakhir Piah berjumpa dengan abang sepupunya itu, kira-kira dua tahun yang lepas. Sejak dah berusia, makin sombong mamat tu.
"Paan pun ada. Lepas ni tak tahulah bila pula opah boleh jumpa dengan Paan. Dahlah duduk kat Kuala Lumpur pun payah nak jumpa. Kalau dah duduk di luar negara, lagi susah opah nak jumpa." Terdengar sayu sahaja suara Saleha ketika ini.
Berkerut dahi Piah mendengar bebelan Saleha. Tetapi yang lagi merisaukan Piah sekarang, macam manalah dia nak menhadap muka si beku itu selama seminggu? Tak pernah nak tersenyum dengan Piah kalau diajak berbual.
"Adoi! Sakit Opah. Kenapa cubit tangan Piah ni?" Menyeringai Piah saat lengannya dicubit kuat. Habis daun pucuk ubi tercampak ke atas lantai.
"Ni! Kau buat apa ni Piah? Habis pucuk ubi aku kau kerjakan Piah oii..."
Geram Saleha melihat Piah yang suka sangat berangan. Pucuk ubi yang segar sudah rosak dikerjakan oleh Piah. Tersengih-sengih Piah memandang wajah Saleha.
"Err... Piah masuk bilik dululah opah. Nak mandi."
Lekas Piah beredar dari dapur. Tidak tahan telinganya mendengar bebelan Saleha. Masuk sahaja di dalam bilik, Piah melangkah ke arah meja tulis. Laci meja ditarik perlahan. Sekeping gambar ketika bersama dengan anak-anak pak long ditatap lama.
Seingat Piah, gambar ini diambil ketika dia berusia lima tahun. Riak wajah Farhan ketika ini sentiasa beku. Senyum pun asyik nak kedekut. Mencebik bibir Piah saat teringatkan kenangan itu.
Sapu tangan milik Farhan, masih elok disimpan sehingga sekarang. Dia sendiri pun tidak sedar sejak bila dia mempunyai hati terhadap Farhan. Kalaulah ada sesiapa yang tahu tentang perasannya, mahu ditanam mukanya ke dalam tanah.
Piah tidak mahu menaruh harapan kerana sedar dengan kekurangan dirinya. Mustahil gadis seperti dia mendapat tempat di hati Farhan. Bagai langit dan bumi. Melihat jarum jam sudah hampir berganjak angka tiga, lekas dia menyimpan gambar itu ke dalam laci.
Tuala dicapai dan lekas dia ke dapur untuk ke bilik air. Dia mahu membersihkan diri terlebih dahulu sebelum bersolat.
SETELAH siap mengacau inti kuih karipap di dalam kuali, api dapur ditutup. Akhirnya siap juga inti karipap dari air tangannya. Sebaik sahaja Piah selesai menunaikan solat Zohor, Saleha tiba-tiba sahaja menyuruh dia membuah kuih karipap untuk berbuka puasa. Katanya permintaan pak long.
"Opah, cukup ke banyak ni?"
Saleha menjengah ke dalam kuali.
"Cukuplah tu. Dapat dalam 20 biji, puaslah anak beranak pak long tu nak makan."
Segera inti karipap dialihkan ke dalam mangkuk kecil. Hanya tinggal dua jam lagi masa untuk berbuka puasa. Sempatlah Piah menggetel kuih itu. Kulit karipap yang siap diuli di keluarkan dari peti sejuk.
"Piah, malam nanti jangan lupa kongsi bilik dengan Riha ye," pesan Saleha.
"Ye. Macam tak biasa pula opah ni. Lainlah kalau ada si kembar tu. Memang tidur kat dapurlah jawabnya Piah."
Setiap kali keluarga Suraya balik ke kampung, pasti bilik tidurnya menjadi milik si kembar. Memandangkan si kembar jenis yang sangat cerewet, terpaksalah Piah mengalah dengan berpindah ke bilik dapur. Almari baju dan meja tulisnya akan dikunci rapat setiap kali si kembar itu tidur di biliknya.
"Sampai bilalah nak bergaduh dengan si kembar tu? Pening opah dengan peel kamu semua ni. Mujur keluarga mak ngah tu balik malam raya nanti..."
Gulp...
Balik jugak ke si kembar tu? Alahai, hati Piah sudah mula tidak tenteram. Kalau si kembar tu ada, makin jadi perhatianlah mamat beku tu nanti. Dari dulu lagi Naira sangat sukakan Farhan. Piah juga sudah lama tahu tentang perkara itu.
"Opah nak naik ke atas. Nanti Piah goreng ye kuih karipap tu. Tak lama lagi, sampailah tu keluarga pak long," kata Saleha sebelum naik ke atas meninggalkan dapur.
Terpinga-pinga Piah dengan pesanan itu. Susah hati juga dia dibuatnya setiap kali Syawal menjelang. Setelah hampir sejam, kuih karipap akhirnya siap digentel. Ketika dia memasukkan minyak ke dalam kuali, terdengar bunyi hon kereta dari luar rumah.
Pon... Pon... Pon...
Makin kalut Piah dibuatnya saat ternampak kereta pak long melalui pintu tingkap dapur. Tertelan air liurnya. Hampir terbonjol biji matanya melihat mamat beku itu keluar dari kereta. Dadanya sudah berdebar hebat. Bertabahlah Piah menghadap Paan selepas ini.
💖💖💖💖💖💖💖💖💖💖💖💖💖
Yang dah ada baca Rahsia Hati Mrs Fakrul, ni kisah abang dia dengan sepupunya yang lurus tu, si Piah😘
KAMU SEDANG MEMBACA
Piah Di Hati Mr.Beku (Ready Stok )ebook Blh Dibeli Di Esentral
RomansPiah Dan Mr.Beku Seorang ceria Seorang lagi dingin Piah yang sukakan sepupunya sejak kecil Walaupun Mr. Beku yang dingin, namun masih ada sifat melindungi diri Piah Seksa betul hati Piah mencintai dalam diam Dijodohkan dengan Mr.Beku atas sebab ter...