PIAH masih termenung di atas pangkin. Dia keliru dengan keputusannya untuk ke Kuala Lumpur. Mereka dijangka akan bertolak ke sana selepas solat Asar nanti. Terkejut juga Pak Anas sebaik sahaja Piah memberitahu untuk berhenti kerja.
Sejak dari semalam, Fariha seolah-olah sengaja bercerita tentang hidup Farhan. Meluat betul Piah dibuatnya. Jika boleh, dia tidak mahu mengetahui tentang lelaki itu lagi. Dia tidak kisah dikatakan agak ketinggalan zaman kerana tidak mempunyai laman sosial di internet.
Bunyi enjin motosikal, membuatkan Piah berpaling ke belakang. Pelik melihat kelibat Leman muncul di kawasan rumah Saleha.
"Piah!" Panggil Leman dari jauh.
Piah hanya melambaikan tangan supaya Leman duduk di pangkin bersama dengannya.
"Kau cuti ke Leman?" Tanya Piah setelah Leman duduk di sebelah.
"A'ah, aku tengah cuti semester sekarang. Sepupu kau pun tengah cuti kan sekarang. Tak kan kau tak tahu," sindir Leman.
Terlupa pula Piah tentang perkara itu. Leman sekarang sedang menyambung pelajaran di IPTA tempatan yang sama dengan Fariha.
"Betul ke aku dengar kau nak pindah ke KL?" Soal Leman dengan wajah yang sedikit keruh.
Piah mengeluh perlahan. Pasti Leman telah mengetahui perkara ini daripada Pak Anas kerana mereka tinggal berjiran.
"A'ah. Lepas Asar ni aku bertolak. Terpaksalah Leman. Mereka dah rancang supaya aku sambung belajar dekat sana nanti. Rasa kelakarlah pula. Orang lain dah lama masuk belajar, aku baru nak mohon masuk university," seloroh Piah dengan ketawa yang dibuat-buat.
"Hais! Ada ke cakap macam tu. Baguslah kalau kau nak sambung belajar. Harap-harap, kita dapat belajar tempat yang sama. Lepas ni, susahlah aku nak jumpa kau setiap kali balik kampung." Leman menundukkan wajah untuk menyembunyikan rasa kecewanya.
Piah hanya tersenyum kelat. Sedih juga kerana terpaksa meninggalkan tempat di mana dia membesar selama ini.
"Kalau ikutkan hati ni, rasa malas dah nak sambung belajar. Kau pun tahulah aku ni anak yatim piatu. Aku tak sukalah nak susahkan orang. Macam-macam orang kampung ni kutuk aku. Buat itu salah, buat ini salah," adu Piah dengan nada yang sayu.
Piah sudah penat untuk menjaga hati orang lain sedangkan hatinya sendiri pun terluka. Leman turut terkesan dengan luahan Piah. Jujur dia agak sedih untuk berpisah dengan Piah.
"Aku takut juga tadi. Risau kalau mak ngah kau nak buat kerja gila tu lagi. Aku sanggup jaga kau kalau dia masih nak paksa kau berkahwin."
Terkedu Piah. Terasa janggal mendengar pengakuan jujur Leman. Bukan dia tidak tahu sejak dari dulu lagi Leman sudah menaruh hati dengannya. Namun, Piah tidak mampu membalas perasaan Leman.
"Tak ada maknanya aku nak kena kahwin. Muda lagi kut. Aku nak kerja dulu. Kalau ada rezeki, baru sambung belajar."
Leman tersenyum tawar.
"Aku pun tak boleh lama ni. Motor tu pun, aku pimjam dengan Pak Anas. Aku balik dululah ye."
"Cepatnya kau nak balik..." Rungut Piah.
"Kalau ada rezeki, kau ajaklah Fariha jumpa aku kat KL. Bukan jauh pun tempat belajar aku tu dengan ayah saudara kau tu." Leman sebenarnya sudah tidak sanggup terus berhadapan dengan Piah. Dia takut jika gagal mengawal perasaannya itu.
"InshaAllah. Hati-hati bawa motor tu..." Pesan Piah sekadar mengingatkan Leman.
"Ye. Assalamualaikum..." Ucap Leman sebaik sahaja menghidupkan enjin motorsikal.
KAMU SEDANG MEMBACA
Piah Di Hati Mr.Beku (Ready Stok )ebook Blh Dibeli Di Esentral
RomancePiah Dan Mr.Beku Seorang ceria Seorang lagi dingin Piah yang sukakan sepupunya sejak kecil Walaupun Mr. Beku yang dingin, namun masih ada sifat melindungi diri Piah Seksa betul hati Piah mencintai dalam diam Dijodohkan dengan Mr.Beku atas sebab ter...