Rupa Kadir hiba, memaksa yang melihat segera menerima pelawaannya.
Maka keluarga kecil itu duduk makan berlima. Mereka tidak ke ruang makan, kerana hidangan sudah dipersembahkan oleh Kadir di atas tikar mengkuang yang mengalas lantai dapur saja.
Memang enak semua juadahnya. Nyata air tangan sulung Kadir tidak menghampakan Hamdan, Bada, Maria dan Hafiz.
Di mata Hamdan, Kadir nampak canggung duduk bersimpuh bak anak dara. Namun lelaki yang masih tegap malah awet muda itu makan dengan sopan dan selesa.
Bada pula perasan Kadir asyik meratah ikan masin yang tak pernah dulu dijamahnya. Yang Bada tahu Kadir lebih gemar makanan manis, macam kuih-muih dan serawa.
Waktu mengemas meja, Maria terdengar Kadir yang menyapu menyanyi lagu entah apa, tak pernah keluar radio atau televisyen.
"Psst, kak. Kenapa tadi Pak Su gelar diri dia Kadariah?" bisik Hafiz sambil cuci pinggan.
"Heh!" desis Maria. Tak kena tempat Hafiz bertanya. Kalau didengar dek Kadir, terasa pula dia nanti.
"Ya, ada! Kan dia sebut tadi!" Hafiz membalas, berdesis juga.
"Hafiz nak tahu siapa Kadariah?" suara Kadir memecah suasana. Tak siapa pun sedar bila dia melangkah ke belakang mereka.
Terkejut, Hafiz berpaling memandang bapa saudaranya. Kadir datang mendekati mereka.
"Inilah Kadariah, kembar emak kau berdua yang mati masa dia dilahirkan dulu," kata Kadir, tenang, sambil tundingkan dadanya. Sejurus kemudian Hafiz dan Maria ditinggalkan.
Terpana, dua beradik itu memandang saja lelaki itu pulang ke rumahnya.
"Ih, meremang bulu roma!" ujar Hafiz sambil keringkan tangan dan luruskan lengan baju Melayu.
Maria bergegas naik ke atas. "Mak, Pak Su kata mak ada kembar masa mak lahir dulu. Betul ke?" tanya gadis pelajar Semester 5 di UiTM itu.
Baru selesai Isyak, Bada tergegar mendengar pertanyaan itu. Hal kembarnya yang meninggal dunia pada hari kelahiran mereka itu, tak pernah diceritakan pada umum. Yang tahu perihal yang berlaku pada tahun hujung 1960an itu cuma ibubapanya, datuk, nenek serta bidan dan ketua kampung saja.
Hamdan sendiri tak pernah diberitahu.
"Betul ke, emaknya?" soal Hamdan yang masih diam di atas sejadah.
"Kalau mengikut cerita arwah mak, memang ya, saya lahir berdua. Tapi kembar saya, keluar saja dari perut mak, dah tak ada. Tapi Kadir tak pernah mak dengan abah saya beritahu," perlahan saja Bada mengakuinya.
"Kadir tu tak OK tu," putus Hamdan. "Rasanya dalam badan dia ada sesuatu."
YOU ARE READING
KadirKadariah
HorrorNamanya, Kadir, umur, 48. Kadangkala, dia jadi Kadariah. Itulah masalah Marhamah.