KadirKadariah 3

399 38 7
                                    

Jeda yang mengelirukan.

"Apa maksud ayah, ada sesuatu dalam badan Pak Su?" tanya Hafiz, bendul.

"Virus?" teka Maria yang mengkhusus dalam bidang biologi di universiti. Dia turut terfikirkan tentang zombie, tapi akalnya menentang logik itu.

"Takkanlah awak nak kata kembar saya ada dalam badan adik lelaki saya tu? Kembar saya perempuan, memanglah perangai dia lembut sikit tadi.. Tapi.." Bada tak mahu ke situ.

"Maksud saya.. Er.. Jin, penunggu, agaknya ada tersampuk apa-apa tu," terang Hamdan. Suaranya perlahan, hampir berbisik.

Empat beranak kembali merenung Kadir yang masih menyanyi di meja solek lama milik allahyarhamah emaknya, yang diletak di situ kerana Bada sekeluarga beli set baru beberapa tahun dahulu. Rambutnya pendek tapi gaya Kadir menyikat rambut, macam puteri Mayang Mengurai saja.

Dia menyanyi perlahan, yang mereka dapat dengar, perkataan 'bunga Melati'. Selebihnya tenggelam.

"Dah, masuk tidur semua," Hamdan kerah anak-beranaknya. Lagi ditengok si Kadir tu, lagi risau jadinya.

Esok paginya, sekitar 9.30pagi, Maria sudah berlalu ke universiti naik Komuter dari stesen Sungai Gadut, Hafiz yang menghantarnya pula sudah ke Speedmart, tempat dia bekerja separuh masa sambil menunggu keputusan SPM keluar.

Hamdan sudah ke ladang lembu di sebelah tapak rumah mereka, tapi Kadir tak ikut sama seperti biasa. Bada pergi menjenguk adiknya yang muda 7 tahun daripadanya itu.

"Kadir, dah makan? Ni ada bihun," pelawa Bada sebaik saja naik ke rumah Kadir yang memang jarang dikunci di siang hari. Pintu depan memang terbuka, dan dari bawah tadi Badariah nampak adiknya tekun mengerjakan sesuatu.

Selesai naik tujuh anak tangga dan berlabuh di ruang tamu, barulah Bada nampak yang Kadir sedang memotong sehelai kain pelekat untuk dijadikan sesuatu.

"Dah makan kak, ada cucur tepung tu, makanlah," Kadir pula pelawa kakaknya.

"Kau masak pakai apa? Bila masa kau beli dapur gas?" tanya Bada.

"Pagi tadi aku pergi rumah Mak Aji Maznah, dia tak larat masak katanya," mudah saja Kadir terangkan. Mak Aji Maznah memang tinggal sendirian sejak suaminya beritahu yang dia punya isteri nombor dua di Seremban. Keluarga Kadir selalu saja jagakan kebajikannya.

"Kau masaklah ya? Kalau macam tu, bihun ni simpanlah buat makan tengah hari nanti," kata Bada sambil belek hasil kerja Kadir. Kain pelekat itu sudah dipotong kepada tiga bahagian, dua bahagian kecil, dan satu bahagian yang besar itu sedang ditebuknya pakai gunting.

"Kau nak buat apa dengan kain ni Kadir?" tanya Bada.

"Baju yang ada ni semua tak cantik," komplen Kadir. "Nak buat baju baru," tambahnya.

"Banyak je aku tengok T-shirt Billabong kau tu, seluar Levis ada, Dockers ada. Kan itu stail kau," kata Bada hairan. Memang Kadir gemar bergaya sebab dia selalu ke bandar menjual lembu pada kilang-kilang, sekali-sekala, menghadiri kursus Fama.

"Semua seluar, aku nak yang berangin sikit," tergelak kecil Kadir. Ketawanya, aneh. Tersipu-sipu.

Bada diam sekejap. Kemudian dia beranikan diri bertanya. "Kadir, mana kau tahu pasal Kadariah? Uwan cerita pada kau ke?"

Terhenti Kadir memotong kain. "Aku tahulah Kak Badariah oi. Sebab akulah Kadariah," balasnya tenang sambil pada muka Bada yang mula berpeluh.

"Janganlah main-main, Kadir. Masa Kadariah lahir, dia bernafas sekejap sangat. Lepas tu dia meninggal."

"Sekejap di dunia ni, tapi lama di dunia aku."

Dua beradik itu berpandangan. Dalam riak wajah Kadir, ada sesuatu yang menggentarkan Bada.

KadirKadariahWhere stories live. Discover now