Sentiasa Yang Pertama (I)

6.9K 238 1
                                    

Aku seorang menantu.

Pertama sekali, aku adalah seorang MENANTU.

Dan baru lah kemudiannya, aku adalah ISTERI kepada SUAMIku.

Turutan kepentingan ini memang jelas sudah salah. Tetapi aku tidak dapat membuang perasaan hormat pada mentuaku semudah itu sahaja.

Aku dan Nizam berkahwin atas dasar suka sama suka. Cinta berbalas cinta.

Saat Baba menjabat utuh tangan Nizam untuk memindahkan tanggungjawab menjaga aku, air mata aku menitik. Bukan kerana bahagia bila cinta kami akhirnya bersatu. Tetapi kerana aku sebak melihat mata Baba juga ikut bergenang saat tanggungjawab yang tergalas di bahunya kini sudah berpindah hak.

Mata Baba yang berpindah ke wajahku, aku pandang sayu. Menyampai makna yang aku sayang padanya. Aku tahu saat terputusnya tali tanggungjawab ini sama lah seolah-olah merenggut jantung hati Baba.

Sejak Mama meninggalkan kami sekeluarga 10 tahun lalu, rapatnya aku dengan Baba tidak pernah dapat disangkal sesiapa. Mungkin kerana waktu itu, aku masih bersekolah menengah dan hanya aku saja anak yang duduk di rumah. Kakak dan abang yang lain semuanya bersekolah asrama penuh dan sudah memasuki Universiti. Automatik menjadikan aku dan Baba BFF. Kawan baik sepanjang hayat.

Kami sama-sama belajar menempuhi hidup tanpa Mama di sisi. Memasak, mengemas rumah, membasuh baju, semuanya dilakukan dengan kerjasama berdua.

Kami berjaya.

Hidup beransur-ansur menjadi lebih baik. Walau mungkin tidak pernah sama dengan hasil tangan arwah Mama, tetap aku bersyukur. Percaya qada' dan qadar itu juga adalah satu daripada Rukun Iman. Suka atau tidak, kami harus akur dengan corak takdir yang dilukis oleh-Nya. Kerana kami percaya, ada hikmah di setiap ujian-Nya. Dan Allah s.w.t tidak akan memberi ujian yang tidak mampu digalas hamba-Nya.

Melangkah ke dunia berumahtangga, aku mula merasa bahangnya dalam percubaan menjadi menantu untuk sesebuah keluarga.

"Adah tak apa kan?" Soalan ibu mentuaku terasa mencekik kerongkong.

Aku memandang Nizam sekali imbas. Tidak mahu berlama memandang matanya. Suamiku cukup arif dengan sikapku. Dan aku yakin, dengan sekali panahan mata saja, dia akan dapat menebak apa yang sedang bermain di dalam hatiku.

"Eh, kenapa pula tak boleh. Bukannya bagi mengasuh free. Nanti Kak Ngah kamu bayar lah upah mengasuh." Ibu mentuaku mencelah. Sekaligus membuat aku semakin serba salah.

"Alah...Adah bukannya buat apa pun kat rumah kan? Sambil mengasuh Amin tu, boleh jadi latihan kot kot nanti dah ada anak sendiri pula."

Entah kenapa ayat nasihat Ibu yang sampai ke telinga aku kedengaran seperti ada berbaur sedikit sindiran. Tapi pantas aku tepis semua prasangka menjauh. Husnudzon, itu pesan Nizam setiap kali aku merungut atau berbunyi tanpa sengaja.

"Anak Kak Ngah buas la ibu...Adah lembut macam ni, boleh ke nak handle?"

Aduhh...sekali lagi Nizam cuba menjadi adiwira. Dan pastinya, semua cubaan menyelamatkan aku akan tersungkur menyembah bumi jika pihak lawan adalah ibunya sendiri.

"Pengasuh Amin yang lama pergi mana ibu?" Setahu aku, Amin sudah ada pengasuhnya sendiri. Jadi mengapa cerita ini tiba-tiba timbul?

Ibu nampak sedikit teragak sebelum menjawab. Ketara benar matanya cuba dilarikan dari memandang kami berdua.

"Kak Ngah kamu tak nak dah dia tu. Hari tu ada lebam-lebam kat lengan Amin. Dipukulnya Si Amin ni sesuka hati saja!" Suara Ibu sedikit tinggi di hujung. Tanda marah bila cucunya diperlakukan sebegitu rupa.

Kompilasi Cerita Pendek ( ✔ )Where stories live. Discover now