AKU terduduk kelelahan. Mata hanya dapat menyorot pergerakan Amin yang seperti ribut. Sekejap di sini, sekejap di sana. Aku sendiri tidak tahu dari mana dikutip segala tenaga untuk menjana setiap pergerakannya.
Sudah lebih sebulan aku mula mengasuh Amin, anak Kak Ngah yang baru mencecah umur 4 tahun. Bermula hari itu juga, waktu tidur dan rehatku berubah.
Letihnya Ya Allah......hanya Tuhan saja yang tahu. Baru aku benar-benar faham mengapa Nizam berkeras tidak membenarkan aku mengasuh Amin.
Habis saja mengemop seluruh rumah, aku kembali ke ruang tamu hanya untuk melihat lantai dipenuhi dengan cecair downy. Dan Amin dengan selambanya meletakkan kembali botol Downy tersebut di sebelah kakiku sebelum menyambung berkubang dengan cecair tersebut.
Dua hari pun bau wangian tersebut tidak hilang. Menyucuk baunya sehinggakan Nizam berkurung saja di dalam bilik setiap kali pulang dari kerja.
Malam pertama menjaga Amin, aku tertidur sebaik saja Nizam baru membuka mukadimah mahu bermesra. Esok pagi, hanya wajah cemberut Nizam saja yang kelihatan sebelum bertolak ke tempat kerja. Marah benar bila aku enak menyulam mimpi sedangkan dia terpaksa tidur dalam frustasi.
Hari-hari mendatang benar-benar menduga bila Kak Ngah ada kalanya terpaksa pulang lewat, memaksa aku membahagi masa untuk Nizam dan Amin. Nasib baik Amin selalunya masuk tidur awal.
"Abang tengok Adah macam makin kurus sekarang."
"Ha?" Terpinga aku bila ditegur semasa sedang berteleku memandang tikar sejadah. Bila melihat jam, baru tersedar yang sudah hampir 15 minit aku duduk di tempat yang sama usai menunaikan solat isya' tadi.
"Sayang Abang sekarang dah kurus." Nizam mampir membantu aku menanggalkan telekung.
Aku diam memerhati. Terasa lengai sahaja setiap tindak balas. Mungkin penat lebih menguasai.
"Perasaan Abang saja tu," aku balas selamba.
"Ini," tulang selangka aku ditekannya berkali-kali. "Dah makin jelas nampak."
"Tangan ni.." Kali ini pergelangan tangan aku dikunci dengan bulatan jari telunjuk dan ibu jari. "dulu cukup-cukup je. Sekarang dah longgar."
Aku tersenyum.
"Baguslah kalau kurus. Selalu montel sangat kan? Bukan Abang selalu kata Adah montel ke?" Aku bergerak bangun. Berdiri untuk memudahkan Nizam menarik kain telekung keluar dari hujung kaki. Sesekali dimanja begitu, aku suka.
"Abang cakap Adah montel, tak bermakna Abang tak suka isteri Abang montel. Beza maknanya tu."
Senyum masih tidak lekang dari bibirku. Saat pinggang aku diraih masuk ke dalam gelungan tangan Nizam, automatik tangan aku naik merangkul lehernya.
"Hmm...kurus ni. Adah kena makan banyak sikit." Omelan Nizam terbang dek angin. Aku sandarkan kepala ke dadanya. Tiba-tiba rindu.
Nizam tidak tahu yang aku sudah lama tidak berkesempatan untuk makan tengahari. Kehadiran Amin membuatkan aku tidak punya masa lagi untuk diri sendiri. Memasak pun dirasakan seperti melangkah masuk ke dewan perang. Sekejap-sekejap aku terpaksa memeriksa Amin, sekejap terpaksa ke dapur semula untuk menyambung masak. Solat pun aku lakukan di ruang tamu depan. Bimbang kalau-kalau Amin memanjat kerusi untuk menarik selak pintu dan keluar.
Hanya di malam hari saja aku berkesempatan untuk makan. Mujur Nizam memahami. Dia akan membelikan makanan sebelum pulang ke rumah. Tidak pernah dia bersuara, tetapi aku tahu dia memerhati di dalam diam. Mungkin kerana dia menghormati keputusan aku untuk mengasuh Amin.
"Kenapa menangis ni? Hmm?"
Menangis?
Baru aku perasan pipi aku sudah lembab dihujani air mata. Langsung tidak tersedar yang aku sedang dirundung sedih. Cepat-cepat aku mengangkat kepalaku menjauh. Sepantas itu juga Nizam menekan kembali kepala aku untuk direbahkan ke dadanya.
YOU ARE READING
Kompilasi Cerita Pendek ( ✔ )
RomanceKompilasi cerita pendek : 1) Cinta Tak Ternilai 'Why don't you kill me instead Rafiq? I'd rather die than humiliating my mother like this.' 'Where's the fun in that? Kalau you nak mati, you boleh pergi lintas jalan or terjun gaung. Tak perlu I bu...